CINTA SHARIFAH AINI DENGAN PILOT IRAQ KIAN MEMBARA

oleh Bahyah Mahmood  (URTV, 1 Jun 1977)

Akhir-akhir ini sudah kedengaran pula bisik-bisik tentang personal SHARIFAH AINI ... kononnya Aini di waktu ini sedang dalam percintaan, hatinya sudah dicuri oleh Juruterbang Iraq dari sebuah syarikat penerbangan Timur Tengah.  Apa yang saya tau sememangnya Sharifah Aini sedang mabuk cinta.  Hubungannya dengan pemuda Iraq itu bukan lagi suatu cerita rekaan yang sengaja diada-adakan untuk menjadi bahan gossip.

Sesungguhnya hubungan Aini dengan lelaki luar negera itu telah lama menjadi rahsia di kalangan teman-teman rapatnya cuma penyanyi terkenal ini tidak mau kisahnya itu dihebah-hebuhkan sangat.  "Malu rasanya kalau ditakdirkan Tuhan pemuda Seberang laut itu bukan jodoh Ani," ujarnya tersenyum riang.  Setiap detik hatinya dilamun bimbang serasa tidak berdaya dia mengalami kekecewaan demi kekecewaan seperti di masa-masa lalu - sesunggunya cinta perosak jiwa.

Tapi entah mengapa kali ini Aini begitu berterus-terang menumpahkan keluh kesah hatinya yang sedang mabuk cinta.  Memang sebenarnya kisah cintanya dengan pemuda Iraq itu sudah lama berada dalam pengetahuan saya ... setiap perkembangan sentiasa dibisikkan ke telinga saya.  Hingga pada suatu ketika, saya masih ingat lagi iaitu kira-kira dua bulan lalu, pembantu di rumah Aini menalipon saya memberitahu Aini sakit perut sepanjang siang tadi dan dia baru saja pulang dari doktor.

Saya bergegas ke rumahnya, di sana ada beberapa orang tetamu yang saya kenal, kecuali seorang pemuda ... dalam hati saya berkata-kata dia bukan orang Melayu dan saya sudah dapat meneka-neka ... dalam pada itu Aini yang kelihatan masih lesu terus memperkenalkan saya kepada temannya itu ...  "Perkenalkan!  ... ini dia ..."  (Maaf Aini meminta saya merahsiakan dulu nama kekasihnya itu) dan kami bersalaman.  Sampai sekarang saya masih dapat membayangkan, aduh! kacaknya pemuda Iraq itu ... mukanya merah, bibirnya merah, hidungnya tercatuk, macam seniman Hindustan Shashi Kapoor pula berkata-kata hati saya ... tapi orangnya agak pendiam dan pemalu.  Dia begitu manja dengan Aini.

Sharifah Aini dalam ketawa bergurau meminta temannya itu berbual-bual dengan kami, tapi ujar kekasihnya itu, dia tak tau apa yang nak dibualkan ... dia terus tersenyum dan tersenyum memanjang mendengar usikan kami.  Anih juga saya memikirkan, mengapa Aini kali ini begitu berterus terang.  Selama ini saya tidak pernah tau siapa boyfriendnya di masa lalu, cuma saya mendengar saja cerita-cerita Aini yang seringkali gagal dalam percintaannya dan saya mengikuti kekecewaanya melalui lagu-lagu sedih pilu yang banyak dinyanyikannya.

Bagaimanapun sejauh ini saya tau Aini memang tidak pernah ada apa-apa rahsia sesama artis, baik pelakon filem ataupun penyanyi.  Tapi ternyata kali ini cintanya paling serius.  Kekasihnya tu tidak pernah luput dari ingatannya, sampaikan teman-teman rapatnya pernah menceritakan gerak-geri Aini akhir-akhir ini ganjil sekali, selalu dia menceritakan kisah pilot itu dan gambar pilot itu sentiasa dalam tatapan, ke mana-mana dibawanya bersama.

"Kadang-kadang hati ini terlalu rindu, tapi di mana hendakku cari dia? ,,," keluhnya dengan nada hiba.  "Dia seperti burung yang terbang bebas di awan biru! ..." ujarnya lagi ... matanya merenung jauh mengikuti awan-awan yang berarak perlahan.

Demi cintanya yang semakin membara, Aini menemui Ahmad Nawab meminta penggubah lagu yang terkenal itu menciptakan dua buah lagu, judulnya sudah tersedia - 'Kau Tinggi Di Awan Biru' dan 'Surat Dari Seberang', Aini siang-siang sudah menyusun senikata untuk kedua-dua lagu itu.  Rupanya 'cinta' dapat mengubah tingkahlaku seseorang ... Aini yang sedang tenggelam dalam percintaan, kalau tidak ke stage show, dia mengurung diri di rumahnya yang terhias indah itu.

Dia sudah dapat mengagak hari ketibaan lembaran cinta dari kekasihnya itu ... lembaran biru penuh rahsia cinta itu pasti tiba sekurang-kurangnya dua kali seminggu.  Pada Aini lembaran biru itulah menjadi penghibur hati - penawar rindu dan istimewanya pula lembaran biru itu tidak tentu dari arah mana datangnya.

Aini tunjukkan sekeping poskad dikirim dari Jedah ... antara lain tertulis: "Ainiku Sayang.  Taukah kau, aku sekarang berada 35,000 kaki di atas awan ... aku kehilangan kau, yang dapat ku lihat hanyalah kepulan awan yang tebal mengelilingi kapal terbang ini.  Tunggu, sayang kedatanganku ke negerimu."  Dalam surat yang lain pula, kekasihnya itu menceritakan lagi ... "Di suatu malam di musim sejuk aku memandu kereta dalam perjalanan yang jauh sambil mendengar naynyianmu melalu kaset hadiah darimu tempohari.  Suaramu yang lemak merdu itu menjadi pengubat rindu.

Wajah Aini yang riang tadi bertukar menjadi sayu setelah membaca semula lembaran-lembaran cinta dari kekasihnya itu.  "Bila dia rindukan Ani, terubat juga hatinya mendengar suara Aini di kaset dan rekod ... tapi bila Ani rindukannya, Ani nak dengar apa?" tanya dengan suara tenang.  "Ada tak ada Ani renunglah gambarnya berjam-jam dan Ani baca kembali surat-suratnya ..."  Ani terus mengemaskan semula surat-surat biru itu dimasukkan ke dalam laci katilnya yang terhias indah itu.  Potret pilot Iraq itu besar terpampang diletakkan di sisi bantal kepalanya.  

Nampaknya Aini sungguh-sungguh telah membuat pengakuan jejaka inilah bakal menjadi teman hidupmya ..."  Ani rela mengikutnya ke mana saja ... tapi terserahlah kepada takdir ... takdirlah yang menentukan ... jodoh di tangan Tuhan!" ujarnya dengan nada lesu.  Aini masih ingat lagi pertemuannya kali pertama dengan pemuda Iraq ini di kota London .. di Harrods, kami sama-sama membeli-belah.  "Kuasa Tuhan, tidak lama selepas pertemuan itu, kami bertemu lagi di Zurich, Switzerland ..."

"Anih sungguh ya!  Sungguh kecil dunia ini, aku berjumpa kau lagi!" kata pemuda itu pada Aini.  "Entah mengapa aku merasakan sesuatu yang anih ... kami berjalan berdua-duaan di bawah rimbunan daun-daun kering yang hampir luruh ... aduh sejuknya tiupan angin kencang, dan daun-daun kering itu berguguran bagaikan hujan menyimbah tubuhku dan dia ...

"Sejak itu dia menjadi teman baikku ... Sejurus sebelum Ani berangkat pulang, dia memegang tangan Ani lalu berbisik ... "Sesungguhnya aku cintakan kau ...,"  Ani rasakan bagai mimpi menerima kata-katanya itu, tapi Ani lindungi dengan senyum penuh bermakna.  Perhubungan Ani kian hari kian mesra dan dia akan datang menemui Ani di Kuala Lumpur bila kapal terbangnya mendarat di sini, tidak tentu masanya, kadang-kadang dua minggu sekali .. tiga minggu ... sebulan ... 

"Kadangkala dia menalipon Ani dari jauh ... dari London ... dari Frankfurt ... dari Bangkok ... dari Paris dan entah dari mana-mana lagi untuk menyakinkan Ani bahawa dia senantiasa merindui Ani."  Sesungguhnya cinta mereka terus membawa walaupun keduanya dipisahkan beribu-ribu batu.

Bila saya tanyakan tentang perkahwinan ... Ani termenung sejenak, pertanyaan itu mengusik hatinya ... "Kami berdua bercadang hendak berkahwin tahun depan - 1978 ... mungkin di pertengahan tahun ataupun di akhir tahun.  "Ibunya ada menulis surat meminta gambar Ani ... tapi Ani belum sempat mengirimnya lagi.  Dan dua bulan dulu dia telah temukan Ani dengan abangnya yang ketika itu berada di Bangkok."

Jejaka pilihan Aini berbintang 'Pisces' usianya meningkat 29 tahun ...  "Dia penyayang!  Dan selalu dia menasihatkan Ani jangan berkerja terlalu teruk!"  Cuma Sharifah Aini kesalkan, ada manusia-manusia yang benar-benar zalim ...  "Walaupun dia datang sekali-sekali, tapi ada orang-orang yang mengambil kesempatan cuba menabur budi, menceritakan sesuatu yang tidak benar kepadanya, mereka cuba membuat fitnah.

"Ani merasakan diri Ani sekarang benar-benar dikasihi ...dialah jejaka yang benar-benar memahami diri Ani."