BIAR USIA 60 TAHUN, SAYA MASIH INGIN BERUMAHTANGGA

oleh Huzz  (URTV, 1 March 2003)

Setelah 32 tahun menceburi bidang seni, biduanita Sharifah Aini, 40-an, masih berdiri teguh sebagai penyanyi yang diminati.  Walaupun ketika di pentas, penyanyi yang terkenal dengan imej rambut kembangnya, berpakaian cantik dan glamor tetapi mendekati diri penyanyi ini anda pasti akan terkejut.  Sharifah Aini di pentas berbeza dengan Sharifah Aini di rumah yang lebih selesa berkaftan, rambut diikat ekor kuda dan wajahnya dibiarkan tanpa secalit mekap.  Kini selain menyanyi dan menghiasi rumah, Sharifah Aini suka menanam pokok bunga.  Menjejak kaki ke rumahnya, anda akan dapat melihat kehijauan yang menghiasi sekeliling banglo dua tingkat tu ... sejuk dan nyaman mata memandang.

Sambil duduk minum teh di sudut 'Itali dan Bali' berhampiran kawasan air terjun dalam kawasan rumahnya, Sharifah Aini menjawab soalan-soalan yang berkaitan tentangnya.

Siapakah lelaki yang pernah anda kenali, kasihi dan cintai dalam hidup anda yang tak dapat dilupakan sampai saat ini?

Dia ialah kekasih saya dari Iraq,  Seorang juruterbang yang kemalangan jalan raya.  Rancangan kami untuk berkahwin tidak jadi kerana dia meninggal dunia.  Saya abadikan kisah cinta kami dalam lirik ciptaan saya Kau Tinggi Di Awan Biru.

Anda bersendiri lagi setelah berpisah dengan dua insan yang pernah bergelar suami (Ali Bakar seorang promoter dan Datuk Salleh seorang ahli perniagaan) dalam hidup anda.  Mahukah berkahwin lagi?

Mengapa tidak.  Walau usia 60 tahun pun saya mahu berumahtangga.  Tapi kalaulah ketika itu saya masih solo.  Saya mahu mempunyai seseorang bernama suami.  Saya tidak serik berkahwin lagi.  Kini saya hanya menunggu takdir menemukan saya.  Saya mengahwini lelaki bukan kerana hartanya, tapi kerana kasih sayang dan cinta.  Kalau dia muda tak mengapa.  Asalkan bukan anak-anak muda yang sebaya anak saya?

Di kalangan artis anda cukup dikenali meminati minyak wangi.  Berapa banyak minyak wangi dalam koleksi anda?

Barangkali anda tidak percaya kecuali yang sudah melihatnya.  Saya mempunyai lebih 50 botol minyak wangi di dalam kamar tidur saya dari pelbagai jenama.  Ada yang saya beli dan ada yang dihadiahkan oleh kawan-kawan.  Begitulah kamar mandi, terdapat koleksi yang banyak.  Saya suka haruman.  Bilik saya juga ada lilin-lilin wangi dan pot-pourri yang harum sepanjang waktu.  Selain hadiah minyak wangi saya selalu dapat hadiah losen badan, kain baju dari kawan yang balik dari luar negara.

Warna kesukaan anda?

Ungu, hitam, hijau zamrud dan peach.

Percaya pada tukang tilik?

Tidak.  Saya takut dengan ramalan yang dibuat, bimbang saya tak boleh lena malam.  Pernah ada yang mempelawa saya untuk menilik nasib saya ... tapi saya menolak.

Kawan baik, anda percaya kepada kemestian mempunyai kawan baik?

Mengapa tidak?  Malah kawan-kawan boleh menjadi seperti keluarga.  Saya mempunyai tiga belas orang kawan baik.

Ada kawan baik di kalangan lelaki?

Tidak ada yang lelaki tulen, sebab saya kasihan nanti kerana berbaik dengan saya, mereka kena fitnah.

Penyanyi antarabangsa yang ingin anda temui?

Oh ... ya impian saya, kalau boleh nak sangat berjumpa dengan penyanyi Celine Dion, Barbara Streisand, Lata Mangeskhar dan Fairuz (penyanyi dari Lubnan).  Saya kagumi mereka dan suka mendengar suara mereka.

Hadiah istimewa yang pernah anda terima?

Saya ada sebuah kitab al-Quran yang kini saya letakkan di dalam kereta saya.  Kalau nak tahu al-Quran itu saya terima semasa saya berda di Masjidil Haram sewaktu menunaikan umrah tak lama dulu.  Seorang lelaki yang tak dikenali menghadiahkan kitab itu.

Pengalaman di zaman kanak-kanak yang tak dapat dilupakan?

Saya tidak dilahirkan sebagai anak orang senang.  Semasa saya baru dilahirkan, emak dan ayah berpisah, lalu emak meninggalkan saya dengan ayah.  Sejak itu saya diasuh dan dijaga oleh datuk dan nenek, kerana itu saya memanggil mereka abah dan mak.  Saya menolong mereka menjual kuih, antara kuih yang pernah saya jaja di serata Kampung Majidee Johor Bahru ialah kuih kepal, wajik durian, dodol dan halwa maskad.  Saya bawa kuih yang disusun cantik dalam raga.  Saya akan meneriak nama-nama kuih yang saya jual.  Saya juga bawa nangka masak yang dicucuk dengan lidi.  Orang kampung panggil saya Pah Aini.  Ingat lagi, kalau saya tak menjaja sehari ada yang datang menanyakan saya di rumah ... mereka risau kalau tak nampak saya.  Dalam pada menjaja kuih, saya juga mengambil upah menjahit baju dan menggiling lada semasa usia 7 tahun.  Walaupun cuma 50 sen waktu itu tapi saya seronok bila dapat duit.  Hahaha ... siapa sangka ya, yang menjaja kuih itu ... hari ini ialah saya yang menghiburkan orang dengan menyanyi pula.

Negara yang ingin dilawati?

Mana ya?  Banyak.  Saya suka bercuti ke luar negara bila nak berehat.  Pergi dengan anak-anak dan kawan-kawan.

Apakah masakan anda yang sering mendapat pujian kawan?

Hmmm ... kalau Hari Raya mereka suka makan masakan saya yang istimewa seperti laksa Johor, nasi bukhari dan nasi briyani.  Tapi ... kalau hari biasa mereka suka masakan kari kepala ikan, asam pedas daun kesom serta rojak tauhu dan soto ayam.  Jadi saya suka sajikan masakan itu bila mereka datang.

Rahsia bertahan lama?

Entah!  Misteri ... saya pun kadangkala bertanya apakah yang membuat saya boleh bertahan lama hingga ke hari ini.  Bagaimanapun saya sentiasa bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dimurahkan rezeki untuk saya dalam bidang menyanyi.  Selain tu kita mesti banyak bersabar dan rajin belajar untuk memantapkan persembahan.  Yang lain tu saya sendiri susah nak jawab.  Tapi antara yang penting saya tak suka tayang muka di merata tempat di KL sehingga ada kata, susah nak nampak muka Sharifah Aini kalau jalan-jalan di KL.  Saya anggap itu antara rahsia seseorang artis menjaga nama dan penampilan dalam dunia hiburan.

Nama lain di kalangan kawan?

Kawan saya akan memanggil saya dengan nama Sherry, Aini atau Sayang.

Impian akan datang sebagai penyanyi?

I want to be in a class of my own.

Gelaran sepanjang menjadi penyanyi?

Ratu seni suara, ratu buluh perindu, primadona, diva, ratu segala ratu, biduanita dan macam-macam lagilah saya yak ingat.  Tapi melalui keratan akhbar dan majalah yang saya simpan dan peminat hadiahkan, saya menyedari semasa awal penglibatan sampailah sekarang ada macam-macam cerita dan gelaran diberikan.  Termasuk yang lucunya ada yang pernah memanggil saya Dolly Parton Malaysia.

Ada cadangan hendak menghadiahkan sebahagian besar koleksi anda ke muzium?

Ya ... saya akan menghantar baju, kasut atau sebahagian besar koleksi penting saya yang diperolehi dengan hasil duit menyanyi ke pihak muzium suatu hari nanti.  Saya tidak ada rancangan menjualkannya.

Anda suka mengutamakan barang kemas tulen seperti emas dan berlian.  Apakah anda alahan kepada 'costume jewellery'?

Oh tidak ... saya tidak alah kepada 'costume jewellery' yang sudah menjadi trend sekarang.  Malah ada kawan pernah menghadiahkannya kepada saya.  Saya juga suka pakai emas tulen dan berlian kerana saya memang minat sejak dulu lagi, sebab itu saya tak rasa ralat membelinya.

Anda seorang yang boros?

Boros?  Ya, saya memang boros kalau membeli-belah tapi tak sampai tak ingat dunia.  Apa pun saya seorang yang pemurah hati.  Jika ada duit berlebihan saya suka menderma kepada yang patut.  Bila membeli sesuatu barang, saya lebih suka membelinya sedozen.  Misalnya celak, bedak atau 'eye-shadow' yang saya suka ... saya akan beli cukupkan 12.  Begitu juga jika membeli baju ... kalau berkenan saya akan membeli sampai tujuh helai dengan warna yang berlainan.  Tetapi selalunya saya senaraikan apa yang nak saya beli untuk pakaian, beg tangan dan macam-macam lagi.  Selalunya saya membeli-belah setiap enam bulan sekali.  Masa tu saya 'shopping' betul.

Benarkah ada cerita kononnya lori menghantar barang-barang anda bila sesekali anda membeli-belah?

Ya ... pernah ketika itu saya memang banyak membeli.  Saya juga pernah mendapat barangan perabot dan barangan tertentu daripada kawan yang menghantarnya dengan lori.  Bukan saya minta daripada mereka, tetapi bila mereka memberi, saya menerimanya dengan ikhlas.  Saya juga pernah dihadiahkan dengan perabot yang dibuat daripada kayu jati oleh seorang peminat.  Peminat itu yang mempunyai kilang perabut menghadiahkannya kepada saya setelah berpeluang melihat saya secara 'in person'.

Apakah anda merasa susah menjadi Sharifah Aini - seorang 'celebrity' dan penghibur terkenal?

Memang tidak.  Bayangkan ke mana saya pergi ada mata memandang.  Saya perlu berhati-hati kerana orang selalu mencari salah saya.

Di rumah, anda tidak mengenakan solekan, apakah anda bencikan solekan?

Tidak juga, saya tetap akan bersolek kalau keluar rumah, tapi tidak sehebat bila muncul dalam rancangan TV atau di pentas.  Di rumah, beginilah saya.   Suka sederhana.  Tanpa mekap pun tak apa.  Tetapi sesuatu yang saya suka ialah wangi sepanjang masa.