SIAPA 'DATUK DARLING' SHARIFAH AINI oleh Saharudin Musthafa (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 19 Disember 1999) |
Pepatah Melayu yang menyebut "orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa," menggambarkan betapa tingginya budi pekerti masyarakat Melayu. Dalam konteks kehidupan masyarakat Melayu hari ini, sesiapa sahaja sentiasa akan berusaha sedaya mungkin untuk menjalin sebuah hubungan yang cukup erat sesama manusia. Demikian juga halnya dengan penghibur evergreen Sharifah Aini, yang baru-baru ini mengadakan majlis istimewa meraikan teman-teman wartawan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara. Meskipun tugas wartawan tidak menuntut sebarang 'pulangan' daripada mana-mana pihak, namun Sharifah dan syarikat rakaman mengambil inisiatif mengadakan majlis makan malam yang cukup istimewa. Majlis yang bersifat 'ramah mesra' antara lain turut dijadikan 'medan' bagi penghibur bertahi lalat itu untuk menterjemahkan emosi dan perasaannya selama bergelar penghibur lebih 30 tahun. Mungkin terjemahan emosi dan perasaan Sharifah sudah didengari berkali-kali oleh peminat. Mungkin juga ramai yang boleh bercerita kembali sejarahnya melibatkan diri dalam bidang seni selama ini. Bercerita mengenai penglibatannya dalam bidang seni Sharifah berkata, sebagai manusia dia mengakui kehidupannya seperti juga manusia lain. "Saya juga seperti manusia yang lain, tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Adakala saya di atas dan ada kalanya saya berada di bawah. Kehidupan saya juga kadangkala tidak sempurna. Namun saya bersyukur kerana Allah terus memurahkan rezeki dan memanjangkan umur saya untuk terus berjuang dalam bidang seni," ujar penyanyi kelahiran Johor berusia sekitar 40-an ini. Kata Sharifah lagi, dalam kehidupannya hari ini, dia juga sudah tidak mendambakan apa-apa lagi melainkan memanjatkan doa kepada Tuhan supaya memberikan kebahagian kepada dia dan anak-anaknya. "Anak-anak bagaikan permata dalam hidup saya. Saya merasa amat bahagia sekali dengan kehadiran mereka dalam hidup saya," ujarnya mengenai kehadiran enam cahaya mata dalam hidupnya itu. "Saya tidak malu apabila cerita mengenai keluarga saya dan cerita saya di mahkamah didedahkan kerana ia adalah sejarah hidup saya. Apa yang mampu saya katakan ialah, saya tidak boleh lagi menoleh ke belakang dan mengingati kisah silam, kerana saya masih mempunyai tanggungjawab yang harus diselesaikan," ujarnya dalam nada sebak. Pada sidang video itu juga, Sharifah buat pertama kali mendedahkan identiti suami kedua beliau yang pernah hadir dalam kehidupannya. Jawapan mengenai siapakah 'Datuk S' atau 'Datuk Darling' yang pernah hidup selama 16 tahun dengan Sharifah dapat diketahui oleh para peminat setia menerusi tayangan video istimewa Sharifah yang bakal ditayangkan di televisyen sempena dengan Hari Raya yang bakal tiba ini. |