SATE BAYARAN PERSEMBAHAN SHARIFAH AINI

oleh Nurazhari Zainooddin  (Utusan Malaysia: Jumaat, 3 Jun 2011)

RM10 dan 10 cucuk sate merupakan antara bayaran yang pernah diterima oleh biduanita negara, Datuk Sharifah Aini di awal kemunculannya di persada seni tanah air sekitar 42 tahun lalu.  Bagaimanapun, bayaran berkenaan tidak sekali-kali mematahkan semangat pelantun lagu Bunga Tanjung itu untuk terus mengabadikan diri sebagai anak seni.  Baginya, apa yang penting adalah semangat dan kerja keras perlu dilakukan agar nama yang baru berputik akan terus mekar berkembang.

"Kak Pah bermula dengan susah.  Kak Pah masih ingat lagi sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke ibu negara, di tangan Kak Pah hanya ada RM75 sahaja.  Namun Kak Pah tanam dalam diri, Kak Pah harus berusaha demi membantu keluarga di kampung," jelas biduanita itu ketika berkongsi pengalamannya bersama penuntut Asia e Universiti (AeU) sempena hari terbuka universiti itu baru-baru ini.

Sharifah Aini yang mesra membahasakan dirinya sebagai Kak Pah, diundang oleh universiti berkenaan untuk berkongsi pengalamannya sepanjang 42 tahun bergelar anak seni dan berkongsi rahsia kejayaannya untuk terus bertahan dalam industri hiburan tanah air.  Bagaimanapun, jelas Sharifah Aini atau nama sebenarnya Sharifah Aini Syed Jaafar, mengharungi era susah itu adalah detik paling indah dalam hidupnya.  Baginya, segala kesusahan itulah yang membuatkan dirinya bertambah cekal dan bersemangat untuk terus mengejar impian.

"Kesusahan itulah yang menjadikan Kak Pah seperti hari ini.  Bukan mudah untuk bertahan dalam tempoh yang lama dalam industri hiburan.  Kak Pah rasa bertuah kerana kesusahan mengajar Kak Pah untuk terus berusaha selain mengingatkan Kak Pah agar tidak lupa diri," ujarnya.  Mengenang kembali zaman awal pembabitannya dalam industri hiburan tanah air,  Kak Pah rancak bercerita tentang sejarah silam hidupnya.  Jelasnya, detik-detik awal pembabitannya sebagai anak seni tidak mungkin padam dan terhapus dari kotak memorinya.

"Masih lagi Kak Pah ingat bagaimana Kak Pah berhimpit-himpit dalam sebuah kereta dalam perjalanan ke Kelantan untuk membuat persembahan.  Bayangkanlah betapa jauhnya perjalanan yang terpaska Kak Pah harungi untuk sampai ke sana dengan keadaan jalan raya yang tidak begitu elok.  Namun semua itu mengajar Kak Pah erti kehidupan.  Artis zaman sekarang tidak melalui semua itu," luah Sharifah Aini petang itu.

Tambah anak jati Kampung Majidee, Johor Bahru itu lagi, tekadnya untuk terus memahat nama dalam industri hiburan tanah air adalah demi membantu keluarga.  Dengan niat itulah, Sharifah Aini cekal dan bekerja keras bagi memastikan kakinya terus melangkah meniti pancaroba dunia seni.  "Alhamdulillah, bermula penghujung tahun 1970-an, Kak Pah mula mendapat bayaran sekitar RM250 sehingga RM350 untuk satu persembahan.  Dari situ Kak Pah dapat belikan sebuah teksi baru untuk tok Kak Pah selain membawa keluarga berpindah ke rumah yang lebih selesa," ceritanya.

KELAS MALAM

Selain itu, kata pelakon filem Hapuslah Air Matamu itu lagi, dengan duit yang ada beliau ke kelas malam untuk membelajari bahasa Inggeris demi meningkatkan tahap dirinya dalam bidang seni.  "Bayangkanlah anak kampung macam Kak Pah ini, mana tahu sangat menggunakan bahasa Inggeris, lalu Kak Pah tekad mahu belajar bahasa itu.  Dua tahun Kak Pah ikuti kelas bahasa Inggeris dan alhamdulillah, selepas itu Kak Pah sudah boleh berinteraksi dengan fasih.  Malah selepas itu, Kak Pah dapat merakamkan lagu Inggeris di mana Kak Pah sendiri tidak pernah terfikir akan mempunyai album Inggeris," jelasnya yang mempunyai 11 album Inggeris.

Ditanya apakah rahsia beliau mampu mempertahankan nama di persada hiburan tanah air, sambil tersenyum, Sharifah Aini menjawab; "Jadilah diri sendiri dan sentiasa merendah diri.  Selain itu, jangan malu untuk terus menimba ilmu dan jangan sekali-kali berhenti berusaha."   Bersandarkan itulah, katanya, sepanjang lebih 40 tahun bergelar anak seni, beliau boleh menyesuaikan diri dengan artis baru dan lama biarpun jarak usia membezakan mereka.

Sementara itu, dalam kesempatan berbicara petang itu, Sharifah Aini sempat menyelitkan nasihat untuk bakat-bakat baru yang semakin membanjiri industri seni hari ini.  "Jangan sekali-kali berhenti belajar kerana ilmu adalah kuasa untuk mematangkan diri.  Jangan kedekut untuk berkongsi ilmu yang ada.  Selain itu, jangan takut pada kritikan, umpatan dan kata-kata kurang enak yang dilemparkan.  Ambil semua itu sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya," ujar biduanita yang pernah menjadi juara qariah lima tahun berturut-turut semasa zaman persekolahannya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Bersolek Di Bawah Lampu Jalan (Berita Harian Jumaat, 27 Mei 2011)