BERSOLEK DI BAWAH LAMPU JALAN

oleh Zaidi Mohamad  (Berita Harian: Jumaat, 27 Mei 2011)

Sharifah Aini kongsi suka, duka 42 tahun dalam dunia seni

Selama 42 tahun berada di dalam arena seni, maka dalam jangka masa itu juga Datuk Sharifah Aini, terus mengutip pengalaman berharga.  Suka duka silih berganti, namun itu bukan alasan bagi biduanita negara berusia 57 tahun ini untuk terus berbelah bagi dalam merencana kerjaya seninya.  Adat bergelar anak seni, hampir setiap inci ruang kehidupannya diintai masyarakat.  Hati menangis siapa yang tahu kerana selalunya hati gembira saja yang nampak di mata peminat.  Bermula daripada bawah termasuk berdepan dengan kesusahan hidup menjadi resipi terbesar kejayaannya hingga kini.

Maka sebab itu juga, beliau yang mesra membahasakan diri dengan nama Kak Pah diundang pihak Asia e University, Jalan Kampung Attap untuk berkongsi rahsia mempertahankan jenamanya termasuk melakukan proses memperbaharui diri seiring dengan peredaran masa.  "Ini bukan kali pertama Kak Pah memberi ceramah.  Kali pertama seingat Kak Pah, pada 1976.  Masa itu Kak Pah berceramah di Universiti Malaya," katanya membuka bicara.

Kehadirannya dalam dewan kecil di universiti terbabit membuatkan ramai yang terpana malah terasa asyik dibuai dari satu ke satu destinasi perjalanan kehidupannya.  Menambah keseronokan ialah turut dipaparkan gambar zaman kecil dirinya hingga sekarang.  "Bentuk badan Kak Pah yang kurus dulu sudah tiada.  Tapi tak mengapa, sebab Kak Pah masih rasa cantik dengan badan sekarang," katanya dalam nada berseloroh hingga membuatkan ramai yang ketawa besar.

Penyanyi lagu Bunga Tanjung dan Seri Dewi Malam ini juga menegaskan, sebelum mengecapi kehidupan yang senang hari ini, beliau sebenarnya bukan datang daripada keluarga senang.  Tapi itu tidak menjadi alasan bagi Kak Pah untuk merasai kebahagiaan bersama keluarga tersayang.  "Kesusahan hidup ini yang menjadi pelajaran terbesar dalam hidup Kak Pah.  Kak Pah bukan celik mata sudah hidup senang.  Dengan bakat yang ada, Kak Pah guna untuk memperoleh kesenangan.  Kak Pah masuk sebuah pertandingan mencari bakat di Singapura pada 1968.  Ia anjuran stesen TV kini dipanggil Mediacorp.

"Kak Pah juga dulu selalu buat persembahan fun fair.  Teringat kenangan dulu masa membuat persembahan fun fair di sebuah negeri di Pantai Timur, Kak Pah hanya mencantikkan diri termasuk bersolek bertemankan lampu jalan dan cermin kereta.  Bila dikenang balik, Kak Pah sendiri tersenyum sendirian," katanya sambil memberitahu duit sebanyak RM500 bergelar naib juara dalam pertandingan itu diberikan kepada keluarga.

Menurutnya lagi, wang yang diperoleh dengan menjual suara, dimanfaatkan untuk kepentingan keluarga.  Pada umur 17 tahun, beliau berjaya mengumpul wang untuk membelikan teksi kepada datuknya.  Menerusi wang itu, juga Kak Pah dapat menyenangkan hati keluarganya untuk berpindah daripada rumah kayu ke rumah pangsa.  "Kak Pah mula terasa pegang duit di tangan penghujung zaman 1970-an.  Tapi artis zaman sekarang lebih bertuah kerana lebih mewah menerima ganjaran.  Tapi Kak Pah tak pernah menyesal.  Berbekalkan duit sebanyak RM75 juga, Kak Pah memberanikan diri ke Kuala Lumpur," katanya yang memiliki 98 buah album nyanyian termasuk 11 album berbahasa Inggeris.

Sesuatu yang wajar dipuji, Kak Pah juga mengambil inisiatif untuk belajar bahasa Inggeris selama dua tahun hingga mampu menguasainya dengan baik.  "Kak Pah ambil kelas malam di Universiti Malaya.  Kalau tak dapat ke kelas, profesor yang terbabit akan datang mengajar di rumah.  Untuk memantapkan keupayaan berbahasa Inggeris, Kak Pah bukan saja belajar teori tetapi menekankan aspek amalannya juga," katanya yang juga aktif berinteraksi di laman sosial Facebook.

Dalam sisi lain, tanpa ketinggalan berada dalam aliran semasa, Kak Pah juga kini memikul tanggungjawab sebagai mentor kepada Shiha dalam program Mentor musim kelima.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sate Bayaran Persembahan Sharifah Aini (Utusan Malaysia Jumaat, 3 Jun 2011)