SHARIFAH AINI SELEPAS 42 TAHUN

oleh Amirah Amaly Syafaat  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 7 Februari 2010)

Melihat kepada raut wajahnya, pasti ada yang tidak percaya bahawa dia sudah menghambakan diri lebih 40 tahun dalam industri hiburan tanah air.  Bermula tahun 1968 sehingga hari ini, nama biduanita Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar kekal meniti di bibir peminatnya.  Malah, beliau diminati oleh semua peringkat usia.  Keunggulan yang ada pada anak kelahiran Singapura yang dibesarkan di Johor Bharu ini tidak perlu dipertikaikan lagi.  Kejayaan yang boleh dibanggakan apabila beliau berjaya menghasilkan 98 album termasuk album kompilasi dengan 1,000 lagu pelbagai genre.

Ia merupakan satu pencapaian hebat buat insan seni yang tidak pernah putus asa dalam perjuangannya.  Dia pernah jatuh tersungkur dan kembali bangkit daripada kesilapan lampau.  Sharifah Aini juga tidak pernah merasakan apa sahaja masalah yang ditempuhinya itu satu bebanan malah menjadikannya sebagai perencah kehidupan buat penyanyi sepertinya.  "Alhamdulillah kehidupan saya semakin bahagia dan tenteram.  Ini semua datang daripada-Nya.  Saya percaya apa sahaja rezeki yang diberikan, kita patut membalas dengan sujud syukur," katanya bersulam senyuman.

Apa tidaknya, nama Sharifah Aini itu sendiri sudah diukir sebagai satu jenama.  Sebab itu, penyanyi yang diberi jolokan nama Joan Collins Malaysia ini sentiasa diberi penghormatan untuk menjayakan majlis makan malam korporat yang berprestij.  Jangan tidak percaya, wanita berhati waja ini masih menerima undangan menyanyi.  Meskipun pernah dinasihatkan untuk berehat sebentar, tetapi akhirnya beliau menerima undangan itu kerana tidak 'terdaya' melihat wajah kecewa penganjur.  Apa yang menjadi pengukur buat peminat Sharifah Aini ialah keupayaan berkomunikasi yang dimilikinya dengan baik mampu menghiburkan sesuatu majlis.

Keinginan Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah ini jelas dalam perjalanan kehidupannya.  Selain memiliki kesenangan duniawi anugerah Tuhan, beliau menaruh harapan untuk melengkapkan tabung ukhrawi pula.  "Apa yang kita miliki ini tidak kekal lama.  Selepas 42 tahun dalam dunia seni, Kak Pah sedar hanya satu perkara yang boleh mengisi rohani ialah dengan cara membahagiakan anak-anak yatim.

"Kak Pah buat secara ikhlas.  Sejak 42 tahun lalu, Kak Pah sudah membuat 3,800 pertunjukan amal.  Sungguh, ini bukan cara Kak Pah untuk menunjuk-nunjuk baik tetapi ia adalah ajaran yang boleh membersihkan hati seseorang itu," katanya.  Beliau berpendirian, kekayaan dan kemiskinan adalah petaka dan musibah kerana Allah SWT menguji seorang hamba dengan keduanya.  Allah melapangkan kuasa-Nya kepada orang kaya dan menahannya ada orang miskin.

RAHSIA KELIHATAN MUDA   

Apabila disoal tentang rahsia muda penyanyi ini, tiba-tiba sahaja Sharifah Aini menguntum senyuman.  Katanya, dia tidak mempunyai apa-apa rahsia melainkan berfikiran positif.  Apa yang penting ialah sentiasa membahagiakan diri sendiri.  Jujurnya, Sharifah Aini seperti manusia lain yang mementingkan kesihatan.  Tidak salah sekiranya mengeluarkan sedikit belanja untuk memastikan hanya yang terbaik mendapat tempat untuk tubuh badan.

"Kak Pah memperbanyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran.  Namun, hanya mengambil bahan makanan organik sahaja seperti telur dan sayuran hijau.  Cara masakan juga perlu betul.  Tidak boleh terlalu berminyak.  Sebab itu, Kak Pah mempelbagaikan kaedah masakan sama ada berkuah, separuh masak atau mentah.  Selain itu, Kak Pah juga suka makan masakan Jepun," katanya.

Bekas juruhebah sambilan di RTM Johor Bahru ini juga suka memanjakan dirinya di spa.  Sebab itu, dia boleh duduk seharian di pusat kecantikan berkenaan untuk rawatan dari hujung rambut hingga kaki.  Pemenang Anugerah Pelakon Harapan Terbaik bagi filem Hapuslah Air Matamu di Festival Filem Asia di Seoul, Korea Selatan pada 1976 ini juga menganggap ia adalah satu rawatan tekanan yang paling mujarab.

Apatah lagi buat seorang 'penjual suara' sepertinya yang seringkali memerlukan kaedah terbaik yang memanjakan diri sendiri.  Bekerja dalam suasana tertekan dan tidak tentu masa.  Selain itu, Sharifah Aini juga gemar bersenam dan melakukan kerja rumah sendiri.  Tidak kira apa juga aktiviti yang dilakukan asalkan boleh mengeluarkan peluh.  Antara kegemaran wanita ini adalah mengubah atur kedudukan perabot rumahnya.  Ia dilakukan selama dua bulan sekali bergantung kepada 'mood' ketika itu.

Bintang filem Sumber Ilhamku dan Bintang Pujaan ini juga gemar membaca buku agama, biografi dan motivasi.  Terbaru buku bacaannya ialah Purification of The Heart - signs, symptoms and cures the spiritual disease of the heart oleh Hamza Yusuf.  "Buku ini sememangnya merawat penyakit hati dan memberi satu motivasi kepada pembacanya.  Kak Pah sendiri tersendiri mendapat inspirasi setelah membacanya.  Sebab itu, Kak Pah sanggup mengimport sebanyak 100 naskah dari Amerika Syarikat (AS) untuk dijadikan buah tangan buat kawan-kawan atau sahabat handai," katanya.

SYARAT PILIH MENANTU

Sharifah Aini tidak pernah menodngak langit atas kejayaan yang dimilikinya selama iniTatkala diajukan soalan kebenaran mengatakan biduanita itu bakal mendapat menantu Sharifah Aini menunjukkan reaksi terkejut.  Sememangnya, isu berkenaan belum pernah dibincangkan bersama anaknya, Aliff Omar.  Katanya, anak bujangnya yang berusia 28 tahun itu tidak pernah bercerita tentang teman wanita malah belum bersedia untuk membicarakan perkara tersebut.  "Aliff tidak pula bercakap mengenai perkahwinan.  Biarlah dia yang bercakap sendiri tentang perkara itu.  Bagi Kak Pah, biarlah dia habiskan pengajian terlebih dahulu.  Ada pekerjaan tetap dan barulah berfikir tentang perkahwinan," katanya.

Saat ditanya apakah Sharifah Aini akan mengenakan sebarang syarat untuk gadis yang berjaya menawan hati Aliff,  katanya sebagai ibu, sudah pasti beliau mengharapkan bakal menantunya seorang yang ikhlas.  Selain itu tidak memandang keduniaan (materialistik), gadis yang soleh dan boleh diharap untuk menjadi suri yang baik dalam urusan rumah tangga.  Tambahnya, Aliff adalah satu-satunya darah daging beliau.  Oleh itu, dia mahukan kesempurnaan dan apa sahaja yang terbaik buat Aliff yang mendapat pendidikan menengah di Madinah sejak berusia belasan tahun.

KONSERT AMAL

Perkembangan terbaru buat penyanyi Bunga Tanjung ini adalah bakal mengadakan konsert amal, Up Close and Personal With Sharifah Aini.  Ia dijadualkan pada 17 April ini bermula pukul 8 malam di Grand Ballroom, Hotel Concorde, Kuala Lumpur.  Pada konsert berkenaan, Sharifah Aini bakal menyampaikan 25 hingga 30 lagu termasuk secara medley.  Sudah pasti lagu yang menjadi taruhan termasuk Seri Dewi Malam, Hapuskanlah Air Matamu, Percayalah, Jatuh Cinta, Seroja, dan Dekatlah Padaku.

Persembahan selama tiga jam itu juga mempertaruhkan rantaian lagu-lagu daripada bahasa Inggeris dan Arab selain himpunan lagu popularnya sejak era 1970-an hingga 1980-an.  "Kak Pah mahu jadikan masa tiga jam itu sebagai satu detik paling indah bersama peminat yang hadir.  Kak Pah mahu 350 pengunjung yang datang akan berpuas hati dengan menyanyi bersama dan saling berkomunikasi antara satu sama lain," katanya.  Tambahnya, semua hasil kutipan disalurkan kepada Rumah Ijabah Anak Yatim dan Al-Hafiz, Subang Jaya.

Tempahan boleh dilakukan dengan menghubungi talian 019-3488054 dan 012-9332373 atau e-mel kepada limeevent@gmail.com.

Sharifah Aini juga merancang untuk membuat kolaborasi konsert amal bersama Datuk Ahmad Jais.  Baginya ikon berkenaan mempunyai aura tersendiri dalam menyampaikan lagu-lagu klasik dan joget.  Apa yang diimpikannya adalah untuk menggabungkan kedua-dua peminat dan berhibur secara aman.  Sekiranya diizinkan Tuhan, konsert berkenaan bakal dibuat selepas menyambut hari Raya Aidilfitri tahun ini.