SHARIFAH AINI MAHU UNDUR DIRI

oleh Khadijah Ibrahim  (Utusan Malaysia: Isnin, 9 Disember 2002)

Penyanyi popular tanah air, Sharifah Aini nekad akan meninggalkan bidang seni yang diceburinya sejak tiga dekad lalu mulai tahun 2006.  Sharifah Aini mengambil keputusan tersebut demi untuk menjaga perasaan anak kesayangannya, Aliff Omar, 20, yang kini sedang belajar di Madinah.  Menurut penyanyi yang berasal dari Johor ini, keputusan yang diambil adalah atas kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Beliau juga tidak akan menyesal dengan keputusan tersebut.  Malahan penyanyi itu juga berkata, beliau tidak mahu menceburi bidang seni sehingga akhir hayat. Lagipun ketika ini banyak bakat baru yang berkebolehan.

"Aliff tidak pernah meminta saya berhenti menyanyi.  Saya mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi kerana tidak mahu Aliff tertekan dengan keadaan sekeliling.  Lagipun saya ingin menjadi seorang ibu yang lebih prihatin dan menumpukan sepenuh kasih sayang pada anak-anak yang kian membesar itu," katanya dengan wajah ceria bila bercerita tentang anak-anak.  Bagaimanapun, sebelum mengundurkan diri sepenuhnya, untuk tiga tahun yang akan datang ini Sharifah Aini bercadang mengadakan konsert selamat tinggal untuk peminat-peminatnya.

Selain konsert tersebut, beliau juga berhasrat untuk menjayakan beberapa projek berkaitan seni yang boleh dijadikan bahan rujukan oleh generasi muda.  Meskipun beliau tidak akan aktif lagi mengadakan persembahan seperti sekarang, namun dalam tempoh persaraannya beliau tidak akan menolak jika diundang. 

Percaya bahawa keputusannya untuk bersara mendapat pelbagai reaksi daripada peminat, namun penyanyi Seri Dewi Malam itu tetap dengan keputusannya.  "Ada peminat minta kak Pah jangan tinggalkan dunia seni, mereka kata nanti hilang seri dunia hiburan.  Kak Pah terharu dengan pandangan peminat. Namun, sebagai seorang wanita dan ibu, kak Pah sedar satu hari bidang ini akan ditinggalkan juga. Kak Pah tidak mahu menyanyi untuk selama-lamanya," jelas Sharifah Aini.

Mulai tahun depan, beliau telah mengatur jadual kehidupannya. Setiap tiga bulan sekali beliau akan pergi ke Madinah untuk bertemu dengan Aliff yang akan belajar di sana dalam tempoh sembilan tahun lagi.  Beliau yang sekarang sibuk mengendalikan kedai Pods & Petal Giftlab di Petaling Jaya bersama dua orang rakan niaga berkata, perniagaan mereka berjalan lancar.  Pods & Petal bukan sekadar menjual jambangan bunga, malahan mereka juga mengambil tempahan untuk pelbagai gubahan.  Sejak dibuka dua bulan lalu kedai mereka banyak mendapat tempahan daripada pihak korporat.