LELAKI DI MATA SHARIFAH AINI

oleh Saharudin Musthafa  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 4 March 2001)

Biar berpuluh kali bertemu dengannya, saya pastinya tidak terlepas daripada meneliti tahi lalat di mukanya trademark yang saya kira tiada pada orang lain melainkan dia seorang.  Selain itu, pantang berjumpa, saya sering mengajukan persoalan bagaimana dengan kehidupan sehariannya.  Kebiasaannya bintang legenda Sharifah Aini akan menjawab penuh selamba yang dia cukup bahagia melayari kehidupan sebagai ibu tunggal bersama anak-anaknya selain sibuk memberi tumpuan kepada kerjayanya sebagai penghibur.  Bagaimanapun, jawapan yang saya terima ketika bertemu dengannya baru-baru ini berbeza daripada jawapannya sebelum ini.

"Kebelakangan ini saya terasa begitu sunyi sekali," lemah sekali jawapan yang diberikannya.  Mendengar jawapan itu membuatkan saya cuba untuk mencungkil rahsianya, namun hajat itu terbantut apabila melihat dia mengukir sekuntum senyuman penuh manis tetapi menyimpan seribu makna.  Bagaikan memahami hasrat hati saya, Sharifah meneruskan perbualan dengan menjawab persoalan yang sememangnya sudah `bersarang' di ruang fikiran saya.  "Orang sering bertanya, mengapa Sharifah Aini tidak mencari teman hidup?  Jawapannya mudah, iaitu ramai lelaki takut untuk mendampingi saya," ikhlas jawabnya sambil ketawa kecil.

Selepas hampir tiga tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, penghibur ini memberitahu, dia terpaksa lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk memilih teman hidup.  Melalui gaya pertuturannya, Sharifah sebenarnya lebih senang atau hanya layak didampingi oleh lelaki yang romantis.  Berdasarkan gaya hidupnya pula, penghibur yang sudah memiliki 73 buah album selama 32 tahun bergelar penyanyi syarikat rakaman EMI (M) Sdn. Bhd. ini lebih layak ditemani oleh lelaki yang memahami kerjaya seninya.  Juga yang lebih utama, wanita ini memerlukan seorang lelaki yang berakhlak mulia untuk memimpin dia dan anak-anaknya.

"Saya benci lelaki yang besar egonya serta tidak pandai memujuk.  Justeru, saya selalu berdoa kepada Allah andai kata ditakdirkan saya bertemu jodoh biarlah saya ditemukan dengan lelaki yang tidak akan mempersia-siakan hidup saya.  Dan yang lebih penting saya mahu menjalani kehidupan bersamanya sehingga ke liang lahat,'' tenang sekali dia menjelaskan.  Namun begitu, apa yang dikatakan oleh Sharifah tidak lebih daripada hasrat yang mungkin ada atau terjadi kepada wanita lain yang melalui kehidupan sepertinya.  Dengan pengaruh dan kedudukan yang ada padanya, dia mengakui, bukan mudah untuk dia memiliki apa yang dihajati andai kata tidak melalui sebarang dugaan atau pengorbanan.  "Saya sudah puas melalui dugaan dan pengorbanan dan kerana itu saya sekadar inginkan keselesaan dalam kehidupan saya, tidak lebih daripada itu," tambahnya yang cukup manis dengan jubah yang melitupi tubuhnya selain tudung di kepala persis wanita Arab.

Bercerita mengenai pengorbanan juga, bertepatan dengan ketibaan Hari Raya Aidiladha Selasa ini, kata Sharifah sambutan itu sering kali menggamitnya untuk menghalusi maksud keinsafan di sebalik pengorbanan.  "Hati saya sering kali sayu apabila tiba Hari Raya Aidiladha lebih-lebih lagi apabila memikirkan mengenai pengorbanan yang dituntut oleh agama," jelasnya sambil menghela nafas yang panjang.  Apabila berpeluang mendekati dan mendasari jiwanya saya sebenarnya sudah boleh meneka apa yang sedang sarat ditanggung oleh seorang wanita yang jelita, popular, glamor dan berpengaruh sepertinya.  Dan Sharifah Aini juga sudah tentu mempunyai jawapan yang lebih tepat untuk menjawab persoalan mengenai lelaki dari kaca matanya.