ARTIS PERLU ADA ILMU, CERDIK

oleh Siti Rohayah Attan  (Utusan Malaysia: Sabtu, 21 Jun 2003)

Biduanita Sharifah Aini kini bergelar Datuk.  Gelaran bukanlah buruannya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke dunia seni lebih 35 tahun lalu.  Namun, penghormatan sebesar itu adalah tuah yang membuktikan budinya tetap menjadi sanjungan negara.  Budinya bukan sekadar menghasilkan 77 album malah lebih jauh daripada itu pemikirannya terhadap dunia muzik.  Baginya, yang penting artis perlu ada ilmu dan perlu cerdik jika mahu berjaya.  Ikuti wawancara Siti Rohayah Attan bersama Ratu Muzik Tiga Dekad ini di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sepanjang lebih tiga dekad dalam bidang seni, apakah perkara yang paling menggembirakan dalam hidup Datuk?

Saya masih bertahan.  Masih ada album.  Masih banyak buat show.  Maintain.  Konsisten.  Inilah perkara-perkara yang menggembirakan hidup saya.  Bukan mudah untuk mempertahankan apa yang telah saya lakukan selama 35 tahun ini.  Lebih-lebih lagi saya setia kepada satu syarikat iaitu EMI selama 35 tahun dengan 77 album.  Saya rasa ini mungkin satu rekod.  P.Ramlee sendiri hanya bertahan selama enam tahun dalam satu syarikat rakaman.  Yang penting saya ada duit untuk meneruskan kehidupan saya.  Dengan duit itu saya dapat membina dan menjaga keluarga serta memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak.

Bagaimana pula perkara yang paling mengecewakan?

Kadang kala orang tidak menyedari betapa susahnya menjadi artis.  Ada ketika orang memandang kita sebagai simbol sex, sebagai objek sex.  Mereka kaitan artis dengan perkara yang tidak elok.  Itu sungguh mengecewakan, mengguris perasaan saya.  Sebagai ibu tunggal selama enam tahun ini saya terpaksa melalui kepahitan pandangan negatif ini.  Kena tipu semasa membuat show juga perkara yang mengecewakan.  Perkara ini telah berlarutan sejak dulu hingga sekarang.  Saya pernah tertipu.

Di media elektronik pun kadang kala saya rasa tertipu.  Mereka panggil kita buat show, kononnya sebagai hos tetapi apabila program berlangsung mereka mengundang ramai artis hingga menjadikan program itu rojak.  Ini menunjukkan stesen televisyen itu tidak percaya kepada bakat artis.  Sekiranya dipanggil sebagai hos, kita tidak diberi kebebasan untuk memilih artis undangan.  Tidak diberi peluang mengemukakan idea, jadi ke mana idea kita dapat diimplementasikan?  Kerana itulah, program hiburan kita masih ditakuk lama.  Sepatutnya kalangan artis diberikan peluang untuk berbincang, diberi kepercayaan.  Kalau mahu jadikan program itu berkonsep muhibah atau talentime, jangan ada hos.  Bagi saya perkara ini perlu berubah sekiranya kita mahu maju.  Artis mesti diberi peluang supaya mereka dapat belajar dan menjadi penghibur yang baik.

Realitinya kita sukar memiliki insan seni yang konsisten, komited dan hebat seperti Datuk dari segi kerjayanya.  Pada pendapat Datuk apakah yang mendorong fenomena ini?

Komitmen sebagai artis.  Kita kena kreatif dari segi pemikiran.  Tidak boleh bergantung kepada syarikat rakaman saja.  Artis harus beli input.  Harus beritahu pendirian kita, bukan hanya mengikut saja apa arahan syarikat rakaman.  Memanglah, pokok persoalan akan kembali kepada soal kewangan tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak mengemukakan idea.  Satu lagi hal, ramai orang kata jadi artis senang.  Pakai cantik dan pegang mikrofon sudah boleh bergelar artis.  Ke mana-mana ada PR0 (Pegawai Perhubungan Awam) syarikat rakaman menemani.  Baju ada orang bawa, disolek, dibawa promosi dengan kereta cantik.  Semua ada.  Mereka tidak merasa susah.  Mereka dalam zon selesa.  Saya tidak macam itu.  Saya bersusah dulu.  Buat show dapat RM15, pergi naik bas atau bersesak dalam van dengan rakan lain.  Belajar solek sendiri, cari dan buat baju sendiri.  Susah.  Saya tidak mahu begitu selamanya, lalu saya belajar dan mencari ilmu melalui pembacaan.  Saya tidak ada ijazah sebab keluarga saya susah.

Tapi prinsip saya ilmu bukan sekadar ijazah tetapi melalui pembacaan.  Saya baca banyak buku, pelbagai bidang termasuk tentang tokoh-tokoh dunia, tentang biografi mereka.  Saya datang ke Kuala Lumpur pada tahun 70-an.  Saya mahu jadi orang yang bagus.  Saya belajar bahasa Inggeris selama tiga tahun, masuk 'public speaking', belajar 'make-up' dan sebagainya.  Saya perlu tahu tentang dunia.  Jadi artis, cantik saja tidak cukup, tidak membantu.  Akal yang akan membantu mereka.  Ilmu akan menyebabkan kita lebih yakin menghadapi hidup.  Ini mungkin berbeza dengan artis sekarang.  Ramai di antara mereka yang tidak peduli dengan persekitaran.  Itu sebab wujud pandangan yang menyatakan artis kita cantik tapi bodoh.  Itu mengguris hati saya.

Siapa penyanyi generasi baru yang Datuk fikir mampu pergi lebih jauh dan berjaya mencuit hati Datuk untuk meminatinya?

Ada beberapa orang tapi saya tidak akan namakan.  Saya tidak mahu kelihatan menyebelahi mana-mana orang.  Pada pengamatan saya mereka boleh pergi lebih jauh tetapi harus belajar lagi.  Jangan fikir soal cantik sebab cantik itu tidak akan kekal.  Ilmu yang penting.  Memang ramai yang cantik tetapi apabila buka mulut (bercakap) lain yang ditanya, lain yang dijawab.  Kecantikan dan populariti tidak kekal.  Mereka harus cerdik.  Paling penting jangan sampai mereka dimanipulasi oleh syarikat rakaman sebagai `mesin cetak duit'.  Saya juga harap mereka tidak mendedahkan diri kepada publisiti yang tidak bermutu.  Maksudnya, mereka hanya perlu muncul di media apabila ada perkara yang perlu diberitahu.  Saya sendiri hanya akan muncul di media sekiranya ada album baru, show atau perkara yang sesuai dijadikan berita.

Artis kita sebenarnya harus bagaimana; maksudnya apakah harus ada pendidikan formal dalam bidangnya atau mengikut tradisi `sekali air bah, sekali pasir berubah'?

Saya sebenarnya tidak layak menjawabnya.  Apa yang kita perlukan adalah artis yang mahu belajar.  Artis yang ada PR.  Jangan jadi seperti 'kacang lupakan kulit' kepada media.  Ada yang berkawan dengan media apabila mereka perlukan publisiti, selepas itu ambil sikap tidak peduli.  Saya akui saya perlukan reporter, perlukan media untuk membantu kerjaya saya.  Kita harus ada hubungan yang baik dan saling berhubung dengan wartawan supaya wartawan tidak merasakan yang diri mereka dipergunakan.  Jangan sampai kita digelar artis yang `zero PR', tidak sensitif dan selfish.  Sikap negatif ini perlu dikikis jika mereka ingin berjaya.

Apa yang sedang Datuk lakukan sekarang?

Saya sedang bekerja untuk menyiapkan biografi atau memoir.  Tunggulah masa yang sesuai, insyallah ia akan menjadi kenyataan.