ARTIS BUKAN AHLI NERAKA

oleh Ku Seman Ku Hussain, Ruhaidini Abd Kadir & Saharudin Musthafa  (Mingguan Malaysia: 30 Julai 2000)

Setiba di sebuah rumah mewah di Petaling Jaya Khamis lalu, kami di bawa ke sebuah bilik yang bertulis Office.  Ia adalah sebuah pejabat yang lengkap.  Ada komputer, mesin faksimile, fail-fail, buku-buku ilmiah, kamus dwibahasa dan dua buah al Quran di rak.  Inilah pejabat penyanyi Sharifah Aini di rumahnya.  Pejabat ini menggambarkan betapa komitednya penyanyi ini terhadap dunia seni.  Orang barangkali tidak pernah membayangkan bagaimana Sharifah Aini begitu bersungguh-sungguh menguruskan kariernya.

Bagaimanapun, di luar ada segelintir masyarakat yang menolak seni, hiburan dan artis.  Di Masjid Ar Rahman, Universiti Malaya pada hari Jumaat 21 Julai misalnya pelajar-pelajar berdemonstrasi membantah konsert 'Bollywood' dan 'Vengaboys'.  Ini seolah-olah memperlihatkan hiburan merosakkan masyarakat.  "Berbahagialah mereka.  Mereka nak berjuang cara mereka, pergilah.  Tapi suatu hari saya percaya mereka akan datang kepada saya untuk pertunjukan amal.  Saya akan bantu," demikian kata Sharifah Aini mengulas mengenai demonstrasi itu.

Beberapa hari lalu tercetus pula isi suara wanita adalah aurat.  Mingguan Malaysia menemuramah Sharifah Aini kerana dia adalah orang yang terkiblat secara langsung dalam isu ini kerana aset hidupnya adalah suara.  Apakah pandangan seorang sesetengah golongan terhadap hiburan dan timbulnya isu suara sebagai aurat wanita akan menjejaskan kehidupan artis?  Apa pula pandangan Sharifah Aini terhadap kalangan artis yang terbabas?

Ikuti wawancara wartawan KU SEMAN KU HUSSAIN, RUHAIDINI ABD KADIR dan SAHARUDIN MUSTHAFA dengan Sharifah Aini mengenai prasangka sesetengah pihak terhadap artis.

Mingguan Malaysia:

Apa komen Sharifah terhadap demonstrasi membantah konsert dan hiburan secara total?

Sharifah Aini:

Saya tidak bimbang apa-apa mengenai demonstrasi itu.  Mesej saya ialah berbahagialah mereka.  Mereka hendak berjuang cara mereka, pergilah.  Tetapi saya percaya suatu hari nanti mereka memerlukan saya atau artis-artis lain untuk membuat pertunjukan amal.  Saya tidak akan berdendam malah akan bantu mereka.  Ini bukan masalah besar bagi saya.  Walau dalam demonstrasi itu ada seribu orang yang bantah, itu adalah perjuangan mereka.  Saya berpendapat mungkin ada artis yang keterlaluan yang mungkin menakutkan mereka.  Pada mereka, artis-artis ini umpama syaitan-syaitan besar atau ahli-ahli neraka.  Saya akui memang ada artis macam itu.  Ada yang secara terbuka cakap pasal seks, pasal fantasi, kita nak salahkan orang macam mana?  Tetapi saya tidak dapat menerima pandangan bahawa hiburan merosakkan masyarakat.  Tidak.  Sepanjang penglibatan saya dalam dunia hiburan tidak ada apa yang merosakkan saya misalnya dari budak yang baik waktu dulu menjadi sebaliknya ketika ini.  Sebab saya tahu matlamat saya.  Saya tahu apa yang saya hendak.

Mingguan Malaysia:

Apa perasaan anda mendengar tanggapan negatif sesetengah golongan terhadap artis?

Sharifah Aini:

Sesetengah golongan merasakan taraf artis ini terlalu rendah.  Saya tidak tahu mengapa ini terjadi.  Penarafan ini mungkin dibuat dari aspek moral tetapi itu pada saya adalah suatu yang subjektif.  Kalau kita bercakap tentang moral, kita mesti bersikap adil.  Di Malaysia sekarang, masalah moral bukan masalah artis semata-mata.  Orang-orang yang tidak bermoral ada yang datang daripada keluarga ternama.  Keluarga diraja, anak-anak orang besar dan ternama juga ada masalah moral.  Moral ini bukan masalah artis semata-mata.  Tetapi oleh kerana artis macam kami ini terdedah kepada masyaraat, secara tidak langsung orang selalu menggunakan kami sebagai contoh terutama mengenai aspek-aspek yang tidak baik.  Mereka tidak mengambil contoh tidak baik itu daripada moral orang-orang besar dan ternama.

Mingguan Malaysia:

Berdasarkan realiti dunia artis, mungkin orang ramai mempunyai justifikasi untuk menganggap golongan artis sebagai kumpulan yang tidak bermoral?

Sharifah Aini:

Ya, saya mengaku memang ada artis-artis yang tidak senonoh.  Tetapi janganlah kerana satu dua orang, hukum kesemua sekali.  Janganlah kerana seekor kerbau membawa lumpur, kami semua dipalitkan.  Apa yang terjadi dalam dunia artis juga berlaku dalam bidang-bidang lain.  Ini sama juga dengan kes pegawai kerajaan yang ambil duit orang dan melakukan rasuah.  Takkan kita hendak hukum semua pegawai kerajan sebagai mengambil rasuah?  Saya juga belajar agama.  Sebagai manusia, perkara-perkara yang tidak baik kita tidak buat.  Kalau kami golongan artis tidak bermoral, mereka yang berhimpit-himpit lelaki perempuan semasa buat demonstrasi antihiburan itu macam mana?  Mereka kata mereka tidak suka maksiat.  Memanglah seboleh-boleh dosa-dosa ini kita jauhkan.  Bukan orang yang pandai atau alim saja fakir macam itu.  Ada ramai artis yang juga berfikir macam itu.

Mingguan Malaysia:

Beberapa tahun lalu konsert Allayarham Sudirman di Universiti Kebangsaan Malaysia dibantah.  Sudirman seorang yang patriotik.  Apabila konsert Allahyarham juga dibantah, kita menjadi bingung, masyarakat juga bingung.  Apa komen Sharifah?

Sharifah Aini:

Orang yang membantah ini mereka melihat artis-artis semata-mata dari sudut hiburan seolah-olah artis itu tiada sumbangan lain.  Mereka kadang-kadang sama macam kalangan orang alim yang bercakap pasal agama, pasal mencegah maksiat tetapi kalau mereka pergi menangkap orang berkhalwat, mereka panggil TV, panggil orang surat khabar.  Kenapa mereka berbuat demikian sedangkan mereka kononnya orang yang tahu agama.  Sedangkan kita tahu Allah tidak galakkan kita mendedahkan aib orang di dunia.  Orang yang termasuk dalam kumpulan ini hanya fikir soal aurat, dosa dan maksiat artis sahaja.  Mereka fikir soal-soal ini untuk menjatuhkan maruah kami.  Mereka tidak sedar bahawa ada di kalangan artis yang mempunyai asas agama yang kukuh.  Saya tidak kata saya arif tentang agama tetapi saya mempunyai asas agama yang kukuh.  Saya dibesarkan dalam latar belakang yang macam itu, pergi belajar ke sekolah agama, lepas itu baru jadi penyanyi.

Mingguan Malaysia:

Berdasarkan pengamatan Sharifah, sejak bila gejala menghukum dan melemparkan kesalahan terhadap golongan artis bermula?

Sharifah Aini:

Masa dulu ia tidak begitu ketara.  Saya lihat kecenderungan itu mula berkembang sejak 15 atau 20 tahun lalu.  Saya benar-benar tidak faham dengan keadaan ini.  Secara terbuka ada golongan mengatakan orang macam kami tidak tahu agama.  Sedangkan agama itu peribadi.  Saya tidak mahu memberitahu dunia yang saya sembahyang, saya membuat amal jariah dan aktiviti agama di rumah.  Tuhan tidak mengalakkan orang menjadi takbur.  Soal bertudung, ada orang tanya, "Sharifah you dah 40 tahun lebih, kenapa tidak pakai tudung"?  Saya kata saya belum bersedia.  Saya tak mahu membohongi Allah.  Kalau saya bersedia, saya pakai tudung dan tak akan buka sampai mati.  Kalau bertudung mengikut trend supaya orang mengatakan kita sudah bertaubat nasuha, saya rasa itu salah.  Saya tidak akan buat kerja macam itu.

Mingguan Malaysia:

Dengan isu suara itu aurat wanita dan wujud golongan antihiburan seperti ini, bagaimana golongan artis hendak meneruskan hidup?

Sharifah Aini:

Saya hendak tanya, kenapa kepada artis-artis saja dikatakan suara itu aurat?  Kenapa tidak kepada pekerjaan lain seperti pensyarah, cikgu dan doktor?  Saya tertanya-tanya adakah sekarang ini perempuan di Malaysia sudah tidak boleh bekerja?  Selama ini berpuluh-puluh sudah qariah kita menang dalam musabaqah membaca al-Quran, kenapa baru sekarang kata suara mereka aurat?  Menyanyi tidak boleh kerana suara aurat kata mereka.  Okay, saya boleh pejam mata dan kata suara menyanyi itu aurat.  Tetapi selama ini orang mengaji al-Quran, kenapa dulu tidak dikatakan suara wanita yang mengaji itu aurat?  Kalau perkara ini besar kesalahannya, mana pergi alim ulama kita sebelum ini.  Kalau perkara ini begitu besar kesalahannya dari sisi agama, takkan mereka diam sahaja.

Mingguan Malaysia:

Kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu yang dikuasai Pas melarang artis-artis mengadakan konsert di kedua-dua negeri itu.  Adakah ini memberi kesan kepada golongan artis?

Sharifah Aini:

Tidak apalah mereka hendak halang artis-artis mencari rezeki.  Rezeki di bumi Allah ada di mana-mana.  Kalau kita tidak boleh masuk Kelantan dan Terengganu untuk mencari rezeki, bukan bermakna artis-artis akan mati tidak makan.

Mingguan Malaysia:

Pada pandangan Sharifah yang mana lebih berbahaya: Pelampau agama atau artis?

Sharifah Aini:

Tentulah ahli politik yang melampau.  Orang-orang macam kami tidak berbahya.

Mingguan Malaysia:

Tetapi pelampau-pelampau ini kata artis-artis yang lebih merosakkan masyarakat.

Sharifah Aini:

Saudara kata artis-artis merosakkan masyarakat?  Beritahu saya macam mana artis merosakkan masyarakat?  Beri contoh kepada saya bagaimana artis merosakkan masyarakat?

Mingguan Malaysia:

Demonstrasi kumpulan antihiburan yang diadakan baru-baru ini menganggap artis-artis merosakkan masyarakat.  Kerana itu mereka menentang konsert 'Bollywood' dan 'Vengaboys?  Tetapi kalau kumpulan nasyid Raihan mengadakan persembahan, misalnya, mereka tidak bantah.  Kenapa?

Sharifah Aini:

Saya ingin beritahu saudara bahawa hiburan tidak ada kena-mengena dengan moral, apa kaitannya hiburan dengan kerosakan kepada masyarakat.  Kalau kumpulan-kumpulan nasyid menyanyikan lagu berunsur dakwah mereka terima, itu bagus.  Saya juga suka melihatnya.  Kalau kumpulan nasyid ini menyanyikan lagu nasihat yang menjurus kepada ketuhanan, mereka kata bagus, saya juga kata bagus.  Tetapi tidakkah mereka yang antihiburan ini terfikir bagaimana kalau ada kumpulan nasyid yang mempunyai moral yang rendah?  Tetapi kerana penyanyi-penyanyi nasyid ini pakai songkok, orang yang terlibat dalam demonstrasi itu tidak tahu tentang diri mereka yang menyanyikan lagu-lagu nasyid ini.  Di sini kita boleh buat penilaian bahawa kumpulan yang berdemonstrasi ini melihat orang berdasarkan apa yang mereka nampak.  Perkara yang berlaku di sebalik apa yang mereka lihat, mereka tidak tahu.  Begitu juga kalau saya pakai tudung dan pergi menjelajah seluruh Negara cakap pasal agama.  Mereka akan terus terima semata-mata kerana saya bertudung.

Mingguan Malaysia:

Mungkin ada orang akan kata Sharifah Aini boleh cakap pasal moral kerana Sharifah Aini tidak pakai skirt pendek, tidak tindik pusat.  Tetapi moral artis-artis muda sekarang ini bukankah kita boleh persoalkan?

Sharifah Aini:

Tentang perkara itu saya sendiri tidak boleh mempertahankan mereka.  Saya sendiri tidak suka apa yang mereka lakukan.  Tetapi saya hendak beritahu saudara bahawa artis-artis dulu tidak ada yang macam ini.

Mingguan Malaysia:

Adakah kerana pada waktu itu puak pelampau ini tidak wujud, maka apa yang dilakukan oleh artis-artis pada masa itu tidak dipersoalkan?

Sharifah Aini:

Pada masa lepas puak pelampau tidak wujud dan artis-artis macam ini pun tidak ada.

Luahan ... Sharifah Aini ketika diinterviuMingguan Malaysia:

Barangkali pada waktu itu dunia tidak terbuka, belum ada Internet, TV dan media lain belum berkembang.

Sharifah Aini:

Tidak benar.  Waktu itu kami semua tahu tentang Hollywood tetapi perangai-perangai tidak baik di kalangan artis tidak berlaku.  Saya fikir semua ini terletak pada individu.  Cuba fikir, takkan kerana bertindik pusat misalnya saya boleh bertahan lama dalam bidang ini.  Aset saya sebagai penyanyi ialah suara dan saya dibentuk oleh proses kematangan.

Mingguan Malaysia:

Kematangan yang bagaimana?

Sharifah Aini:

Semasa saya berlakon filem "Hapuslah Airmatamu" dulu, saya rasa begitu seronok.  Itu dulu.  Tetapi kalau saya tengok filem itu sekarang, saya rasa malu.  Ketika saya berlakon filem itu, saya tidak rasa apa-apa.  Kalau sekarang, diberi sejuta ringgit pun saya tak mahu berlakon.  Saya berubah kerana saya telah melalui zaman kematangan.

Mingguan Malaysia:

Tetapi Sharifah, filem "Hapuslah Airmatamu" tidak menyolok mata?

Sharifah Aini:

Tetapi saya pakai 'bareback' dalam filem itu.  Sekarang kalau diminta berbadan macam itu, saya tak akan pakai. Saya sudah ada anak.  Saya kena jaga maruah mereka.  Masa dulu pun saya fikir juga:  Kesian mak ayah kalau saya buat benda yang tidak baik.  Tidak tahulah saya mengapa sekarang ada artis yang tidak fikir langsung soal menjaga baik nama keluarga?  Adakah kerana terlalu banyak ambil Ecstasy?  Adakah bila dia cakap dia tak sedar dunia?  Atau adakah kerana mereka terbongkang dalam kelab kerana minum minuman keras?  Cara hidup yang macam ini memang saya tidak suka.  Saya boleh memahami kalau mereka yang membantah artis-artis itu kerana benda macam ini berlaku dalam dunia hiburan tetapi tidak bolehlah mereka membuat generalisasi.  Tidak bolehlah kalau ada seratus, sepuluh yang buat benda tidak baik, maka kita hukum yang seratus.  Secara jujur, saya nak tanya pula apakah tanggungjawab saudara sebagai orang media yang mendedahkan artis terkangkang pakai pakaian singkat?  Sekarang kita bercakap tentang moral.  Saya fikir pihak yang membawa hal ini keluar ialah media massa.

Mingguan Malaysia:

Adakah Sharifah fikir perlu ada satu garis panduan berhubung perilaku artis?

Sharifah Aini:

Memang perlu ada garis panduan seumpama itu tetapi soalnya sekarang artis-artis sendiri patut tahu sempadan-sempadan mereka.  Takkan mereka tidak ada emak bapak dan sanak saudara yang boleh menasihati si anu yang sudah tunggang terbalik, moral ke mana, karier ke mana.  Sanak saudara kena betulkan artis-artis yang melencong ini.  Saya patut beritahu saudara, saya tidak tahu sangat tentang mereka kerana saya sebenarnya tidak bergaul sangat dengan artis-artis

Mingguan Malaysia:

Mengapa tidak bergaul dengan mereka?

Sharifah Aini:

Saya orang rumah.  Saya memang suka duduk di rumah.  Saya tidak suka pergi disko.  Kalau saya kata tak pergi langsung, saya berbohonglah.  Tetapi sudah 25 tahun saya tidak pergi disko. Itu bukan tempat saya.  Ketenangan saya ialah di rumah.

Mingguan Malaysia:

Apa sumbangan artis kepada masyarakat?

Sharifah Aini:

Kalau dilihat dari segi ekonomi, industri muzik memang memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.  Dari sudut lain, saya misalnya menyanyi sejak umur tujuh tahun sehingga sekarang.  Sepanjang 31 tahun menyanyi secara professional, saya sudah buat 3,000 persembahan amal tanpa dihebohkan.  Saya puas. Itu sumbangan saya.  Tetapi benda-benda macam ini saya tidak cari publisiti.  Misalnya kita tidak cakap di Kelantan dan Terengganu sudah berpuluh-puluh madrasah dibina hasil duit amal kita.  Saya banyak merakamkan lagu-lagu dakwah.  Maknanya saya tidak leka.  Saya seorang ibu.  Saya ada anak.  Siapa yang mahu tengok anak mereka kelam kabut kerana hiburan?  Saya tahu batas-batas.  Kerana itu kalau ada pihak menyalahkan hiburan sebagai merosakkan moral saya tidak dapat terima.

Mingguan Malaysia:

Apa komen Sharifah terhadap sesetengah artis sekarang?

Sharifah Aini:

Dengan perangai sesetengah artis, memang saya meradang.  Mereka tidak ada komitmen.  Sebagai orang lama saya tak suka cara macam itu.  Bila sudah banyak duit mata jadi merah.  Sebagai manusia Islam, saya tidak suka benda-benda tidak senonoh.  Bukan kerana Pas cakap perkara ini, tetapi itu memang pendirian saya.

Mingguan Malaysia:

Apakah golongan artis dijadikan kambing hitam untuk diletakkan punca gejala sosial dalam masyarakat?

Sharifah Aini:

Gejala sosial berlaku bukan kerana artis.  Artis-artis yang tidak senonoh berperangai macam itu juga bukan kerena mereka artis.  Mereka buat benda macam itu kerana mereka hendak buat.  Kita kena ingat bahawa remaja-remaja ini ada kawan mereka sendiri.  Kalau cakap pasal tangkap khalwat, ustaz pun kena tangkap, orang di luar industri hiburan pun ramai yang kena tangkap.  Kenapa tidak besarkan penangkapan mereka.  Kenapa asyik-asyik artis saja yang dibesar-besarkan?  Adakah dosa mengenal kasta?

Mingguan Malaysia:

Adakah ini kerana artis-artis tidak ada kuasa politik?

Sharifah Aini:

Memanglah kita tidak ada kuasa politik, sebab itu kita jadi macam ini.  Saya pun tak berminat dengan politik.  Tak jadi orang politik pun dah teruk, tambah lagilah jadi orang politik.  Tetapi sebagai orang paling dewasa di kalangan artis-artis saya tidak boleh terima artis kena cacian sebegini hina.  Orang politik menjadikan artis sebagai kambing hitam.  Kepada yang buat bantahan terhadap hiburan dan artis ini, adakah mereka masih menganggap kami ahli neraka kalau misalnya kami menolong mengangkat mereka yang jatuh di tepi jalan?  Adakah mereka masih menganggap kami orang jahat?  Kalau hukum telah memilih kasta, saya tak tahulah apa hendak jadi dengan dunia ini.  Islam satu agama yang lembut.  Islam fleksibel.  Saya bersekolah Arab walaupun bukan pandai tetapi saya belajar agama.  Siapa kita hendak menghukum orang?  Kalau kita rasa terlalu alim, terlalu baik, orang yang baiklah yang tidak akan menghukum orang lain. Itu Islam.

Mingguan Malaysia:

Sebagai orang lama dalam dunia nyanyian, apa pandangan Sharifah terhadap Ning Baizura?

Sharifah Aini:

Saya tidak mempertahankan Ning Baizura.  Tetapi saya cuba berlaku adil di sini.  Sebagai kakak yang tua dalam industri, saya memandang Ning sebagai seorang adik.  Saya fikir Ning tidak begitu stabil.  Mungkin dia berada dalam berbagai-bagai keadaan.  Hanya Allah saja yang tahu, tetapi kerja kita bukan menghukum.  Saya sebenarnya hiba membaca banyak laporan dan gossip tentang dia.  Saya hiba kerana saya orang Melayu dan perkara yang dikatakan itu terlalu peribadi.  Saya juga ada fantasi saya sendiri tetapi tidak ada sesiapa boleh tahu.  Dari satu segi lain saya rasa dia masih kebudak-budakan.  Ning perlu tahu dan belajar hidup dalam masyarakat beragama.