Kak Pah Kongsi Kesedihan Rakan

'Soseh-Soseh'  (Harian Metro: Rabu, 31 Mac 2010)

 

 

Sahabat yang baik adalah sahabat yang sedia bersusah-payah dan sentiasa berada di sisi rakan jika mereka sedang berduka.  SS akui sukar untuk mencari sahabat setia seperti itu kerana lumrah manusia hanya lebih suka berdampingan pada saat senang saja.  Namun, itulah Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih dikenali sebagai Kak Pah.  Harus SS akui, Kak Pah seorang yang berhati mulia dan sentiasa ingatkan kawan-kawan.  Minggu lalu, kawan SS ada menerima kiriman SMS daripada seseorang yang dekat dengan Kak Pah.  Ia mengundang kawan SS ke majlis tahlil yang diadakan beliau khusus untuk Allahyarham Muhammad Ikhwanul Ashraf Manja, 18.

Ashraf adalah anak bongsu Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa TV7, TV8, TV9 serta Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail, yang maut dalam kemalangan jalan raya di USJ, Selangor, baru-baru ini.  Sewaktu SS membaca kiriman SMS itu, hati SS sangat tersentuh kerana kalau diikutkan Kak Pah dan Datuk Manja bukannya ada pertalian darah, sebaliknya mereka cumalah kenalan lama.  Namun, demi menghargai erti persahabatan dan atas perasaan keibuan, Kak Pah dengan ikhlas hati mengadakan majlis tahlil itu walaupun tidak pernah meminta agar liputan diberikan media.

Ini pun entah-entah SS akan ditegur Kak Pah kerana sudah memberitahu kepada pembaca mengenai niat Kak Pah itu.  Ramai yang hadir pada majlis itu terutama kakitangan Media Prima Berhad dan kawan rapat Kak Pah.  SS dimaklumkan lagi, majlis itu diserikan dengan kehadiran kira-kira 100 anak yatim dan pengajian tahfiz dari Puchong dan Subang Jaya untuk bersama-sama bersolat jemaah serta bertahlil. 

Sememangnya SS sedar, Kak Pah selalu mengadakan majlis seumpama itu di kediamannya dan boleh dikatakan Kak Pah antara artis yang paling kerap mendampingi golongan kurang bernasib baik.  Semoga Tuhan akan memberkati Kak Pah sekeluarga.