Sharifah Aini Terkilan Dimaki Kerana Seorang Artis

'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 10 Oktober 1999)

 

 

Sharifah Aini sedih dan terkilan dimaki hamun kerana mulut artis?  Begitulah aduannya kepada Huzz.  Dia mengakui diganggu beberapa panggilan telefon ke rumahnya.  Panggilan itu dilakukan oleh orang yang marah kepadanya kerana kononnya simpati pada seorang artis perempuan yang tak kurang popular kalau disebut namanya.

"Ketika saya tidak ada di rumah panggilan itu masuk ke mesin perakam.  Yang ditinggalkan bukan mesej tapi maki hamun oleh beberapa orang yang jaki dengan saya.  Saya dimaki hamun dengan percakapan yang bukan-bukan.  Satu malam (di minggu lalu) saya menjawab panggilan daripada lelaki yang saya tak kenali ini.  Saya tidak memarahinya walaupun percakapannya kepada saya cukup kasar.  Saya beri salam dan bercakap dengan baik walaupun yang memanggil itu (lelaki) bersuara kasar dan sewenang-wenangnya menyuarakan perkataan yang tidak patut berbahasa kotor dan memalukan.  Saya terus bercakap dengan lembut dan bertanya apa masalahnya dia nak maki hamun saya.  Sampailah yang bercakap kasar itu bercakap lembut dan mengakui kepada saya kenapa dia buat begitu terhadap saya.

"Rupanya saya diberitahu kerana seorang artis perempuanlah lelaki ini melakukan semua ini.  Memanglah hati kecil saya tersentak.  Terkejutnya saya ... sedihnya juga memikirkan ... kerana selama ini saya tak pernah menyakiti artis perempuan tu.  Apalagi dia tu pernah saya kenal.  Kalau dia jumpa saya ... dia cukup lembut.  Macam tak percaya dia buat semua ini di belakang saya.  Mengapa di belakang saya dia hasad, dengki dan iri pada saya.  Apa dosa saya kepada dia?  Artis perempuan itu dikatakan kecewa dan semacam marah kerana saya kebelakangan ini mendapat layanan kelas satu daripada syarikat rakaman EMI Malaysia.

Apa masalahnya kalau pun saya mendapat layanan kelas satu.  Artis itu patut sedar saya sudah berada di EMI Malaysia itu sudah 30 tahun lamanya.  Sejak EMI Malaysia itu berpejabat di Chow Kit Road sampailah di waktu ini sudah berpejabat di suatu kawasan mewah menghadap ke The Mines.  Artis EMI Malaysia ada yang datang dan pergi, pegawai dan kakitangan pun ada yang datang dan pergi ... syukur Alhamdulillah dengan izin Allah ... saya masih di sini menjadi penyanyi dengan bilangan album, terus bertambah dari tahun ke tahun.  Salahkah sayrikat EMI Malaysia meraikan perayaan ke 30 tahun saya tahun ini dengan menerbitkan tujuh album sampai akhir tahun ini bermula dengan album ke 69 saya berjudul Sharifah Aini Melayu Klasik dan hari ini memasarkan pula album ke-70 saya dengan kompilasi pop hits saya termasuk satu rakaman lagu baru Rindu Serindu-rindunya.

Apa masalahnya sampaikan artis perempuan itu didakwa juga telah mengedarkan surat layang tak berpuashati konon EMI berat sebelah.  Menjadikan saya ni anak emas.  Artis perempuan itu tak perlulah merasa iri pada saya.  Tanyalah dengan pihak syarikat kenapa saya mendapat layanan begini.  Dia pula bukanlah artis yang setia dan duduk dibumbung syarikat begitu lama.  Dia pernah meninggalkan EMI Malaysia.  Pernah menyertai beberapa syarikat lain.  Albumnya pun tak banyak di EMI Malaysia.  Bukan saya mula nak membandingkan.  Tapi saya cukup ralat, sedih dan terkilan kerana dia  yang saya kenali didakwa melakukan perbuatan memburukkan saya dan cuba menyakiti saya dengan komen-komen yang tak berasas di belakang saya.  Sebagai manusia saya berperasaan dan saya tentulah amat sedih dengan sikapnya yang bermasalah dengan syarikat tapi cuba mencari masalah juga dengan orang lain.

Saya tak kata saya tak pernah melalui masalah menunggu giliran album saya dipasarkan, tapi saya tak pernah menceritakan hal itu pada akhbar atau orang luar apabila keluar daripada pejabat EMI Malaysia.  Saya anggap masalah saya dalam syarikat ibarat masalah suami isteri.  Pandai-pandailah menyelesaikannya.  Saya belum pernah memburuk-burukkan EMI.  Saya cuma meminta di sini agar mana-mana pihak yang mendapat surat layang atau mendengar komen buruk terhadap saya tidak mengambil peduli kerana ianya datang daripada orang yang seolah-olah jaki dan iri kepada saya hanya kerana masalahnya dengan EMI Malaysia," sedih Sharifah Aini bercerita.  Sharifah mengakui dia amat menghormati Aishah, Aris dan beberapa artis lain walaupun terdengar mereka ada masalah dengan syarikat EMI tetapi tak pernah iri atau dengki dengan artis lain di dalam EMI yang dapat layanan baik.  "Mereka tak pun melakukan hal macam ni malah menghormati sesama artis.  Kenapa artis yang satu ni tak boleh begitu.  Apa masalah artis perempuan yang satu ni?" tanya Sharifah Aini.