Sharifah Aini Mengaji Untuk Rafeah Buang Di Hospital 'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 12 Mei 2002) |
Kata seorang sahabat dia menemankan biduanita Sharifah Aini ke hospital minggu lalu apabila Toh Puan Datin Rafeah Buang mahu sangat bertemu Kak Pah. Dengar ceritanya Kak Peah rindu nak jumpa kawan-kawan lama seperti seniman Ahmad Jais, Kak Pah, Huzz dan Mama Juwie. Keadaannya sekarang belum sembuh sepenuhnya. Kata sahabat bernama S itu lagi: "Kak Pah yang mendapat pesanan daripada Huzz terus bergegas pulang ke rumah di Ampang untuk menukar baju dan memakai tudung. Kebetulan masa Huzz bagi pesanan, kami ada dinner di sebuah hotel. "Di hospital Kak Pah baca Yasin dan mendirikan solat. Kak Pah banyak beri semangat dan keyakinan untuk Datin menempuh dugaan itu. Kak Pah mengajak Datin bersama-samanya membacakan doa agar disembuhkan penyakit itu. Datin macam suka sangat melihat Kak Pah membacakan doa untuknya. Memang sungguh terharu melihat suasana itu. Kak Pah duduk kat hospital sampai pukul 3 pagi (dari pukul 12 malam). Kak Pah banyak memberikan kekuatan kepada Datin yang menghidap sakit barah. Kata Kak Pah dia memohon agar Allah sembuhkan Datin. Doa boleh merobah takdir. Kepada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang kita kena yakin ketika berdoa dan keajaiban sesuatu itu datang dari Allah juga antaranya termasuklah seperti sembuhnya penyakit. Saya turut berasa terharu melihat dua sahabat lama itu malam tu. Itu ialah kali ketiga Kak Pah datang menziarahi, cuma kali ketiga itu baru Kak Pah dapat berbual dengan Kak Peah." Begitulah Kak Pah yang Huzz kenali sangat mengambil berat kalau kawan sakit. Huzz diberitahu pada 1 Jun ini Kak Pah berhajat nak menunaikan umrah pula di Mekah. Marilah kita semua menghadiahkan doa buat Datin Rafeah memohon Allah sembuhkan sakitnya. Hanya Allah sebaik-baik tempat kita memohon, berdoa dan mengadu di kala susah dan senang hidup kita. Kepada Kak Pah selamat pergi dan kembali menunaikan umrah. |