Sharifah Aini Lancarkan Haruman Empat Musim

'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 1 Oktober 2000)

 

 

Biduanita Sharifah Aini bukan saja terkenal memiliki penampilan mewah, rupa paras menarik dan suara merdu.  Kalau nak tahu dialah artis yang paling minat dengan minyak wangi.  Di rumahnya ada berpuluh-puluh minyak wangi di bilik tidur, bilik air dan bilik solekan!  Ha ... Jumaat lalu dia terpilih untuk melancarkan satu perasmian minyak wangi di Malaysia!  Nama haruman itu X-traction untuk lelaki dan perempuan.  Haruman yang diusahakan oleh rakyat Malaysia ini sudah mendapat tempat untuk pasaran luar negara.  Haruman ini dijual dari harga RM80 sampailah ke RM5,000.  Penerbit haruman ini ialah syarikat Clique Option 2000 yang diusahakan oleh anak jati Melayu kita iaitu Muhd Radi Ayop, Mohamad Faridh Yusoff dan Zulkifli Mohamed Nor.

"Saya sangat menyokong usaha anak-anak tempatan untuk menghasilkan produk yang boleh dimegahkan di mata dunia.  Kerana itulah saya sudi melancarkan haruman ini," katanya.  Malah yang istimewanya produk haruman terbaru mereka ini menggunakan ramuan bunga-bungaan serta teknologi canggih di mana haruman dengan empat bau untuk empat musim dihasilkan dalam satu botol.  Pemakainya akan berbau harum dengan empat bau berlainan mengikut masa.  Kelas gitu!  Malah pembeli bukan saja boleh mendapatkan haruman yang sudah ada dalam bentuk satu bau, mereka boleh menempah bau-bauan yang disukai yang akan dicipta khas mengikut keinginan mereka.  Pati minyak wangi ini tidak mengandungi alkohol tapi tahan lama, bersesuaian dengan perfum, X-traction Woody Mood ini mengandungi pati minyak wangi seratus peratus!

Setelah perasmiannya dibuat oleh Kak Pah kita, peminat-peminat haruman bolehlah membuat tempahan atau membelinya di merata salun, butik atau gedung yang akan membekalkan haruman ini untuk jualan.  "Kalau mereka ingin membuat tempahan pun mereka boleh menghubungi kami di talian 03-41498095 atau faks 03-41498237," kata Nurul Fisha Damanhuri dari bahagian pemasaran.  Minggu depan gambar-gambar perasmiannya boleh dilihat di serata majalah dan akhbar.

Sementara itu kepada semua peminat Sharifah Aini yang terpilih menaiki kapal mewah dan terbesar pada pelancaran albumnya Seribu Mawar 5-6 Oktober ini jangan lupa bersiap sedia untuk mengikuti program istimewa yang dah disediakan.  "Saya akan menghiburkan mereka selama 45 minit dalam satu show pada malam 6 haribulan itu.  Saya sangat gembira untuk menemui mereka," akui Sharifah Aini.

Para wartawan tak lupa dijemput.  Program atas kapal ini bukan saja dengan kerjasama Radio Era tetapi juga akhbar nombor 1 Malaysia, Mingguan Malayia.  Kepada wartawan yang nak bertanya Kak Pah di atas kapal itu nanti ... jangan lupa tanya cerita terbaru yang Huzz baru terima beberapa hari lalu.  Kata seorang peminat Sharifah Aini dari Pahang (Vistana Apartment): "Seorang profesor dari Mesir telah datang ke Malaysia mencari beliau (Sharifah Aini).  Dia terkejut mendengarkan lagu Ishar yang sudah didendangkan semula oleh Sharifah Aini.  Lagu itu ialah lagu nyanyian penyanyi popular di tanah Arab bernama Fairuz.  Malah profesor itu mengakui dia terlibat dalam memperkenalkan Fairuz di sana.  Dia mengakui nyanyian Kak Pah memang jelas dalam bahasa Arab malah sungguh lemak merdu.  Dia datang ke sini untuk mencari Sharifah Aini kerana mahu memperkenalkannya di Mesir, Jordan dan merata tanah Arab."

Ha ... apakah Kak Pah sudi berada di sana untuk tempoh setahun bagi memperkenalkan nama?