Radang Paru-Paru: Sharifah Aini Diarahkan Berehat 'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 18 November 2001) |
Ramai peminat pastinya terkejut kalau Huzz ceritakan di sini bahawa biduanita negara Sharifah Aini belum sembuh daripada sakit malah disahkan doktor menghidap penyakit radang paru-paru sebulan lalu. Penyanyi yang sudah 34 tahun menyanyi itu telah keluar dari hospital dan dia kini berehat di rumahnya. Ramai kawan, adik angkat, kakak angkat serta saudara terdekat sudah datang melawatnya. Dia yang terlantar sakit semenjak pulang daripada majlis Anugerah Era yang diadakan di Genting Highlands sebulan lalu terpaksa membatalkan banyak show akhir-akhir ini kecuali sebuah konsert di Shah Alam. Katanya, pada waktu itu dia memang tidak sihat tetapi apabila mendengar muzik bergema di atas pentas, dia bersemangat nak menyanyi. Apa pun Huzz difahamkan doktor mengarahkan Kak Pah berehat terus. Rawatan terhadapnya benar-benar serius. Sesudah keluar hospital dia kini berehat di rumah. Malah doktor mengarahkannya melupakan soal rakaman album atau sebarang rancangan rakaman sampai akhir tahun ini. Sebelum jatuh sakit Kak Pah sempat merakamkan enam buah lagu untuk album terbaru yang dijangka berada di pasaran awal tahun depan. Dia masih lagi dengan syarikat rakaman EMI Malaysia. Ketika melawatnya, Huzz tengok keadaannya memang tidak seperti sebelum ini. Beliau mengakui menghidap sakit radang paru-paru. Rakan-rakan termasuk artis terkejut mendengar cerita penyanyi terkenal itu tidak sihat. Maka kami mula bercerita mengenainya. Kata seorang teman artis, "Tidak ada artis di Malaysia ini memegang rekod macam dia. Selama 34 tahun bernaung di bawah satu syarikat. Bayangkan daripada zaman EMI Malaysia berpejabat di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit Road sampailah sekarang syarikat itu sudah berdiri megah di atas bukit The Mines ... Sharifah Aini masih di situ. Sedangkan artis popular sekarang mudah berubah angin untuk berhijrah ke tempat lain. Nak kata dia mendapat hadiah sebuah banglo atau kereta Mercedes tak juga. Nak kata EMI tatang dia macam minyak yang penuh, tak nampak pun. Namun setianya Sharifah Aini kepada EMI Malaysia menjadi satu sejarah bagi mana-mana syarikat rakaman atau insan artis ... dia mampu bertahan begitu lama." Ha ... tu baru bab setia. Pada Huzz pencapaiannya sebagai penyanyi versatil amat membanggakan. Irama Melayu, tradisional – inang, zapin, ghazal, deli, joget? Irama Arab, lagu Inggeris? Semuanya dia boleh menyanyikannya. Malah rentak hip hop (dengan kumpulan Too Phat) pun ada. Belum ada artis Malaysia menandingi jumlah albumnya yang sudah lebih 73 buah sekarang ni! Seniman M. Nasir mengakui Kak Pah berjaya meletakkan dirinya di satu tempat yang patut dikagumi. "Biduanita Sharifah Aini dianugerahkan Tuhan dengan bakat besar selain memiliki wajah cantik. Dia memiliki X factor! Dia tahu bila masa yang sesuai untuk publisiti dirinya, bila waktu untuk sibuk dengan show ... pendek cerita dia pandai membawa diri sehingga bertahan diminati." Seperkara lagi dia disenangi ramai termasuk oleh rakan wartawan kerana wajahnya yang bukan jenis bersidai. Susah nak jumpa dia di serata KL kalau di sebelah malam atau siang. Ini patut dicontohi oleh artis lain. Selain itu apabila mengadakan show, konsert dan persembahan di merata majlis dia bersungguh-sungguh hinggakan bayaran mahal sekali pun tak dianggap merugikan penonton. Teringat kata Allahyarham Sudirman: "Sharifah Aini ialah penyanyi yang sudah masuk dalam golongan royalty singer." Tidak cukup dengan itu, dalam penglibatan seni suara dia pernah mendapat gelaran Biduanita Negara, The Living Legend, Megastar Singer, Ratu Seni Suara, Sparkling Diamond of EMI Malaysia dan penghibur bersuara emas. Kehidupan dan kejayaannya menjadi idaman ramai pihak. Namun apakah kini sampai masanya Sharifah Aini berhenti menyanyi? Mungkinkah selepas ini peminat-peminat tidak lagi akan mendengar lemak suara merdunya itu? Bagi peminat-peminat seni, setakat ini belum ada artis tempatan memiliki suara lemak merdu setanding Sharifah Aini. "Insya-Allah saya akan terus di sini, doakanlah saya sihat," kata Kak Pah kepada Huzz. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraannya. Semoga Kak Pah cepat sembuh ... sejahtera dalam perlindungan-Nya. |