'Hanya Lelaki Yang Berjaya Pikat Aliff Boleh Kahwini Saya' 'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 23 September 2001) |
Amboi dalam diam-diam Huzz dengar kisahnya wanita berwajah cantik, bersuara lemak merdu yang memiliki karisma tinggi – Sharifah Aini (yang dah 33 tahun menjulang nama sebagai penyanyi) kini dalam perhatian dua orang hartawan. Bukan Datuk atau Tan Sri kat Malaysia tapi dua hartawan – ahli perniagaan di luar negara you! Seorang hartawan berketurunan Lebanon dan Arab Saudi yang mempunyai bisnes di Eropah dan seorang lagi ahli perniagaan hebat berbangsa Inggeris yang duduk di hujung dunia. Amboi akak dalam diam-diam sering berhubung di telefon dan internet rupanya ya? Seorang sahabat terapat dengan beliau sudah bocor ini rahsia sama Huzz. Katanya, "Oktober depan saudagar arab yang bernama N.A.W (maaf tak boleh disebut nama penuh) akan datang menemui Kak Aini. Pergilah ke rumahnya pujuklah dia pasti Huzz dapat menatap wajah hartawan arab yang dalam perhatian menjadi calon suaminya tu." Malam Rabu lalu lewat tengah malam Huzz pun singgah ke rumah Sharifah Aini. Penyanyi yang jenis tak suka keluar rumah (tanpa sebarang urusan tu) berada di kamar besar bawah rumahnya (yang dibuat sebagai pejabatnya) sedang sibuk dengan latihan untuk beberapa buah lagu untuk album terbaru beliau (yang ke-75 dan masih dengan syarikat EMI Malaysia). Sebelum mengorek rahsia tu, sempatlah Huzz mendengar enam buah lagu yang dah dirakamkan. Sungguh bersemangat dan 'hidup' rakaman lagu terbaru itu. Macam yang A Samad Said (Sasterawan Negara) pernah katakan 'Sharifah penyanyi yang memberi jiwa pada lagu.' Lagu seperti Terlerai (ciptaan Ajai), Qasidah di Jabal Rahmah (M. Nasir) dan Cinta Alaika (M. Nasir) dijangka hits. Aduh bercakap mengenai album baru tu buat pertama kalinya dia meluahkan perasaan malam tu yang beliau teringin mencari penaja. "Kalau boleh Kak Aini nak buat klip video di tengah kota Venice naik gondola mengelilingi kota, nak menyusur jalan di tengah kota cinta Paris untuk sebuah dua lagu. Kalau siapa sudi nak menaja rancangan bikin klip video tu boleh hubungi EMI Malaysia." Eh apahal cari penaja, salah ke kalau EMI Malaysia keluar belanja. Kak Aini bukankah artis paling lama di syarikat itu sejak tahun 60-an? Hmm nak ke Venice, nak ke Paris, sahlah hati hanyut lagi di alam percintaan ya? Huzz terus bertanyakan perihal hartawan dan perkahwinannya yang dibualkan member terdekat kononnya nak kahwin awal tahun 2002 pulak! Bulan ini cukup empat tahun dia dah berpisah dengan Datuk S. Cukup empat tahun hidup menyepi tanpa seseorang bernama suami. "Huzz, sampai masa Kak Aini akan umumkan," pengakuannya. Malam itu akhirnya dapat juga Huzz menatap wajah hartawan arab yang sudah mengirimkan beberapa keping gambarnya pada Kak Aini kita. Hmmm handsome bukan main. Usia dalam 40-an. Seorang duda. Kulit aduhai cantik bersih, hidung jangan cakap duduk terletak. Bibir, kumis dan mata memang bisa menyemarakkan perasaan wanita yang memandang. Tinggi 6 kaki lebih. Begitulah dengan yang seorang lagi hartawan bernama S yang memiliki ketinggian dan wajah handsome tapi usia dalam 30-an. "Tapi yang penting bakal suami mesti pandai pikat Aliff dengan perlakuan dan kejujurannya. Kalau Aliff menerima, Kak Aini tak ada masalah. Juga jika hati sudah buat keputusan memilih siapa di antara dua ni barulah Kak Aini akan perkenalkan kepada Datuk S bekas suami. Itu janji Kak Aini semasa kami berpisah, Kak Aini berjanji akan kenalkan siapa bakal suami jika sudah datang jodoh baru. Ya, Kak Aini dah Datuk kini cuma sahabat baik." Apakah dah kahwin hartawan luar negara nanti Kak Aini akan berhenti terus daripada dunia nyanyian? Harap tidak. Peminat-peminatnya tentu akan terasa satu kehilangan apalagi kalau dia merancang mengikut suami duduk di luar negara! Dua minggu lagi beliau akan melangkah masuk ke istana Anak Bukit Kedah kerana akan menerima satu-satunya anugerah tertinggi dalam industri seni iaitu Anugerah Biduanita Negara yang akan disampaikan oleh Sultan Kedah sempena Hari Keputeraan Sultanah Kedah. "Macam tak percaya mulanya bila diberitahu akan anugerah ini. Apa pun Kak Aini berterima kasih atas kesudian sultan memberikan anugerah tu." Ha ... lepas dah ada anugerah ni kut boleh dapat lampu hijau nyanyi kat Dewan Filharmonik tu kan Kak Aini? Tanya Huzz. "Ha ... kat sana tu? Kenalah tunggu usia Kak Aini dah bertongkat agaknya. Sekarang dia orang macam tak pandang penyanyi tempatan untuk diberi keutamaan. "Kak Aini bagaimanapun tumpang gembira bila Tan Sri Datuk SM Salim dapat menyanyi di sana. Mungkinkah bila usia Kak Aini macam Tan Sri, barulah berpeluang naik ke atas pentas dewan tu?'' |