Betul Ke Konsert Kak Pah Kita Dipinggirkan? 'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 30 April 2000) |
Ketawa
rakan wartawan yang duduk makan semeja dengan Kak Pah (Sharifah Aini)
bila mendengar dia berkata: "Nak tahu kenapa nama konsert saya
Konsert Di Pinggir Kayangan? Yelah ... nak menyanyi di Istana
Budaya tak dapat ... tak boleh. Ada yang kata tak boleh.
Jadi menyanyilah di pinggir kayangan saja ... di DBKL sajalah," katanya
ketawa. Tak tahulah berseloroh atau melepas rasa terkilan.
Setahu Huzz Kak Pah memang pernah menyuarakan hajatnya nak menyanyi di
Istana Budaya yang tersergam indah itu. "Khabarnya dia orang (ada
pegawai di sana) memaklumkan banyak sangat aktiviti dibuat di
situ... jadi nak selit masuk konsert saya ni tak dapat. Saya
pernah berusaha untuk mendapatkan peluang menyanyi di sana. Memang
tak dapat. Entah kenapa ... iyalah kut tak layak menyanyi di sana."
Di hari sidang akhbarnya sempena
konsert bersama Di Pinggir Kayangan tu, Huzz dengar wartawan bertanya
mengapa mesti dipentaskan di DBKL lagi setelah dua tahun lalu Kak Pah
menjayakannya dengan sukses selama tiga hari tiga malam. Wartawan
mengharapkan biduanita yang sudah 31 tahun menyanyi dan pernah diundang
untuk satu konsert besar di Victoria Symphony Hall Singapura ini
berpeluang mengadakan konsertnya di Istana Budaya atau Fillharmonik KLCC.
Itulah standardnya sekarang apalagi dia kini terkenal menyanyi dengan
iringan pemuzik orkestra. Nak buat macam mana nampaknya hanya DBKL
dan Dewan Merdeka PWTC selalu bersetuju dan mengizinkan Kak Pah kita
menyanyi di tempat mereka.
OKlah, untuk konsert di DBKL tu nanti
tiket berharga RM100 dan RM200. Sudah dijual di Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur sejak seminggu lalu. Sharifah Aini yang diberi gelaran
biduan negara oleh sebuah akhbar minggu lalu dan penerima anugerah AIM
2000 tentu tidak mahu ketinggalan kerana konsert ini dijangka meriah. Mana tidaknya peminat lagu irama Melayu
–
asli, keroncong, zapin dan
boleh dikatakan irama klasik
– akan dihiburkan selama dua jam lebih pada
malam 19 dan 20 Mei ini. Masa pementasan ialah jam 8.30 malam.
Antara lagu dendangannya bersama orkestra DBKL di bawah pimpinan Ishak
Ali Muda dan Johari Salleh ialah Jauh Di Mata, Burung Pungguk,
Teratai, Kenang Daku Dalam Doamu, Gurindam Jiwa,
Tiba-Tiba Rindu, Sri Mersing, Sri Kedah, Semenjak
Kita Berpisah, Seroja, Hiburkanlah Hatiku, Kain
Songket, Kucurah Kasih Di Dalam Lagu (irama Hindi) dan banyak
lagi.
Sementara itu pada 7 Mei ini bertempat
di Hotel Empress Kuala Lumpur Kak Pah akan muncul pulak di sana sempenea
Hari Ibu. "Untuk meraikan show amal itu sempena Hari Ibu saya meraikan
ramai ibu-ibu yang akan datang dengan anaknya. Show itu juga bertujuan
mendapatkan kutipan untuk tabung anak yatim dan kutipan amal untuk
mereka yang memerlukan (termasuk tabung Nurul Afiqah). Macam
konsert di DBKL juga saya beramal mendapatkan tabung amal untuk mereka
yang memerlukan," akuinya. Nak ke show di hotel itu telefon Puan
Rozi (bahagian pemasaran) di 03-8467777.
Pihak syarikat rakaman EMI Malaysia
pula telah menerbitkan sebuah album khas untuk seluruh peminat Kak Pah
dan Broery Marantika. Album kompilasi itu diberi nama Hapuslah Air
Matamu. "Album ini mengenangkan Broery sebagai penyanyi (Broery
meninggal dunia awal April lalu kerana sakit angin ahmar). Di
dalam album itu terdapat lagu hits seperti Hapuslah Air Matamu,
Haruskah Kita Berpisah, Perasaan Hati, Hatiku Hatimu
dan lain-lain di mana terdapat lagu duet Sharifah dan Broery. |