SHARIFAH AINI SUDAH PISAH DENGAN DATUK DARLING?

'Syhhh' dikendalikan Bahayah 'BAM' Mahmood  (URTV, 1 Januari 1989)

 

 

BAM terperanjat mendengar desas-desus kononnya SHARIFAH AINI sudah berpisah dengan DATUK DARLING?  Desas-desus ini sedang rancak diperkatakan oleh orang-orang yang mengaku rapat dengan penyanyi ternama ini.  Tapi apakah ini benar?

Seorang kawan karibnya menyatakan rumahtangga Aini telah bergoncang hebat sejak beberapa bulan yang lalu, malah sepanjang bulan Disember yang baru berlalu keadaan rumahtangganya semakin berantakan.  BAM sendiri beberapa kali gagal untuk menghubungi Aini di rumahnya.  Hingga hati BAM berkata-kata mungkin Aini sengaja 'menggantung' telefonnya atau sengaja diputuskan taliannya.  Dia tidak mahu diganggu barangkali!.

'Sharifah Aini tengah problem sekarang,' kata seorang sahabat karibnya bila BAM mengadu susah nak bercakap dengan Aini, telefon tak pernah yang dapat.  Hingga pada suatu petang akhirnya BAM dapat juga bercakap dengannya.  Bila ditanya, apa yang sudah berlaku dalam rumahtangganya?  Aini pada mulanya tak kuasa nak bercerita, tapi akhirnya dia menjawab lemah: "Apa nak buat dah nasib Ani, dan Ani harus tabah menghadapinya."  Dia enggan bercerita panjang.  "Nanti kita jumpa boleh cerita panjang-panjang," katanya dengan suara sebak.

"Ani harus kuatkan semangat dan bertungkus-lumus untuk membesarkan anak-anak Ani, " ujarnya lagi, dan enggan berterus terang mengenai hubungannya dengan Datuk Darling, apakah setakat berpisah sementara atau telah memutuskan segala-galanya.  Cuma yang dikatakannya: "Biarlah Ani bersendirian dulu, nak tenangkan fikiran."  Sebelum meletusnya perang rumahtangga, Ani sering mengeluh katanya, orang tidak tahu selama ini hidupnya sunyi.  Maklumlah bersuamikan suami orang.  Ada suami pun seperti macam tak bersuami.  Sesuka hati dia datang dan pergi. 

Bahkan sejak berkahwin dengan Datuk Darling kira-kira lebih dua tahun yang lalu sampai saat ini, orang tidak tahu siapa sebenarnya suami kedua Sharifah Aini selepas dia bercerai dengan suami pertamanya Ali Abu Bakar.  Begitu misteri perkahwinannya yang kedua kali ini.  Namanya begitu dirahsiakan.  Orang hanya tahu beliau seorang bisnesman yang bergelar Datuk.  Datuk apa?  Rahsia!  Akhirnya JUWIE menggelarkan beliau DATUK DARLING setelah Aini bersama suami barunya itu mengadakan pertemuan dengan JUWIE dan BAM, dan kami berdua mendengar sendiri Aini memanggil suami barunya itu DARLING!  Lalu melekatlah panggilan DATUK DARLING hingga sekarang.  Sedangkan nama sebenarnya tetap menjadi rahsia!   Tapi tidak rahsia di kalangan kawan-kawan rapat!

Bertemu kemudian berpisah!  Apakah ini sudah SURATAN TAKDIR?