"SAYA TETAP SHARIFAH AINI ..." oleh Izah (Pesta, 5 Oktober 1992) |
Kehilangannya selama hampir empat tahun dalam dunia senisuara terjawab apabila dia muncul di persidangan akhbar pelancaran dua album terbarunya yang berjudul 'Kenangan Manis Sharifah Aini Volume I dan Volume II. "Kemunculan saya hari ini kerana saya sudah tenang, manusia memang tidak boleh lari dari masalah peribadi yang harus diselesaikan, saya tak mahu campuradukkan masalah peribadi dengan karier saya, tak elok kalau masalah itu terbawa ke pentas," ujarnya tenang. Dengan kembalinya Sharifah Aini ke pentas senisuara bermakna terubatlah kembali rindu para peminat yang selama ini sentiasa menanti kehadiran lagu-lagu merdu dari penyanyi evergreen ini. Dua albumnya akan dikeluarkan dalam bentuk kaset dan CD yang memuatklah lagu-lagu 'hitnya' suatu masa dulu seperti, 'Hapuslah Airmatamu', 'Bunga Tanjung', 'Terbang Helang', 'Seri Dewi Malam' dan lain-lain lagi. "Saya tetap dengan imej saya dan tak mahu diibaratkan lalang yang mengikut angin ke mana saja, kita mesti ada identiti sendiri, 'dulu dan sekarang Sharifah Aini tetap Sharifah Aini," ujarnya serius. "I stick to what I am doing, yang penting bagi saya, saya akan kekal dengan sifat keMelayuan yang ada dan mahu mengekalkan lagu-lagu irama Melayu seperti asli, deli dan pop," jelasnya bila ditanya mengenai konsepnya kini. Dia khabarnya akan merakamkan album barunya pada awal tahun depan bersama EMI malah telah menyambung kontraknya selama 5 tahun lagi. Mengenai persaraan dia berkata mungkin 5 tahun lagi, tapi bergantung kepada keadaan kerana baginya senisuara telah menjadi sebahagian dari hidupnya. Berbicara mengenai bidang lakonan katanya, "Selama ini pun saya tak serius dengan bidang lakonan, lagipun sekarang ni penerbit-penerbit kita masih lagi melihat kepada yang cantik-cantik dan muda bukannya pada bakat lagipun saya lebih berminat kepada nyanyian, ujarnya terus terang. Sebagai orang lama dalam bidang senisuara, dia turut memberikan pendapatnya mengenai perkembangan dunia seni dan muzik masa kini. "Kita sebagai orang seni bertanggungjawab untuk mempertanahankan lagu Melayu boleh dimodenkan tapi jangan lari terlalu jauh biar 'basic'nya ada contohnya lagu 'Siti Payung' kalau dijadikan jazz tentu senget. "Biarlah saya dengan cara saya malah selama ini saya tidak merasa 'diganggu' oleh muzik rock, saya tetap dengan 'style' saya dengan album yang mempunyai 'versatile'. Mengenai rakaman lagu Arabnya yang terbengkalai menurutnya ia sedang dalam proses dan mungkin akan siap tidak lama lagi, melalui album itu sebanyak 2 buah lagu Arab akan dimuatkan dalam tersebut iaitu yang pernah dipopularkan oleh Fairoz. |