JIWA SHARIFAH AINI TERUSIK

oleh OM (Pesta, 20 Februari 1996)

Apakah yang dicari oleh setiap insan tatkala mendakap hening Subuh disulami gema takbir raya yang sahut bersahutan memecah ruang angkasa setiap jendela hati yang kudus, melainkan secebis kegembiraan bersama keluarga tersayang.  "Tapi apakan daya Ani sudah tiada itu semua.  Yang ada hanyalah Aliff seorang sebagai penyambung zuriat bersama anak-anak angkat Ani yang lain," bisik Sharifah Aini di saat-saat umat Islam sibuk membuat persiapan bagi menyambut hari dan bulan yang mulia ini.

"Atuk, nenek, umi, abah yang membesarkan Ani selama ini telah tiada di dunia ini, dalam saat begini ketiadaan mereka amat menghiris perasaaan Ani, tiada tempat lagi untuk Ani mengadu, tiada ruang lagi untuk Ani mengisi kerinduan dan kehausan kasih sayang.  Segala-galanya Ani serahkan kepada Tuhan Ya Rabbul Alamin," rintihannya semakin mendalam.  "Terus-terang Ani katakan, saat yang paling rasa bahagia menyambut raya, tika Ani baru melahirkan Aliff, Raya tahun itu memang benar-benar menggembirakan.  Apa tidaknya orang-orang tersayang semuanya berada di sisi Ani.  Memang Ani rasa itulah saat yang paling manis, paling tulus dan kudus bagi Ani dalam hidup ini," Sharifah cuba mengimbau kembali kenangan silamnya yang manis itu dengan titisan air jernih mengalir di pipinya.

Bagaimanapun katanya lagi, sebagai insan kerdil apalah yang mampu dilakukan, melainkan berdoa sebanyak mungkin kepada Ilahi agar dia dan anak-anaknya diberikan rahmat kesihatan semaksimum, dianugerahkan rezeki yang berkekalan.  "Ani hanya pasrah pada Allah, hanya dialah Yang Maha Penyayang dan Pengampun," ujarnya.  "Ani tetap bersyukur sehingga ke saat ini pembabitan Ani sepanjang 30 tahun di bidang senisuara terus mendapat sanjungan dari peminat setia.  Mereka tidak pernah jemu memberi semangat dan teman-teman wartawan juga sentiasa berada di samping Ani walau ketika mana pun."  Sharifah Aini juga menyatakan, hingga ketika ini pun kalau teman-teman wartawan tidak bersamanya semacam sesuatu yang kurang, sepi, kosong dan sebagainya.  Apatah lagi dia sebagai penyanyi kepunyaan ramai.

Sememangnya Sharifah Aini seorang penyanyi yang luar biasa.  Dia unik sekali orangnya.  Begitulah kebanyakan wartawan membuat kesimpulan terhadap dirinya.  Kalaulah dihitung, selama tiga puluh tahun Sharifah Aini dalam kancah senisuara yang tidak pernah gersang suasana persembahannya sudah sewajarlah dia dianugerahkan sesuatu seperti artis-artis yang lain.  Tetapi di manakah penghargaan dari negara atau dari negeri tempat tumpah darahnya hasil dari pembabitannya selama lebih suku abad dalam pentas senisuara.  Tiga puluh tahun dapat berdiri teguh sebagai penyanyi nombor satu negara, rasanya sudah sampai masanya untuk menobatkan Sharifah Aini sebagai Biduanita Negara atau setidak-tidaknya sebuah pingat yang membawa gelaran.

Rasanya, pihak-pihak tertentu seperti SENIMAN, PAPITA atau apa saja bolehlah mengambil langkah sesuatu ke arah maksud yang murni ini.  Penghormatan kepada seseorang tokoh hendaklah diberikan ketika hayatnya masih ada, sekurang-kurangnya dia boleh menikmatinya.  Rasanya tidaklah afdal setelah dia tiada baru hendak disanjung-sanjung dan dianugerah itu dan ini.  Sharifah Aini juga telahpun membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi sepanjang zaman bila konsert solonya mendapat sambutan luar biasa yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya baru-baru ini.

Mengenai perancangan masa depannya, Sharifah Aini memberitahu, dia akan masuk studio sebaik sahaja berhari raya nanti bagi membuat album terbarunya bersama komposer S Atan.  Bagi Sharifah Aini, dia tidak akan berhenti menyanyi selagi dia mampu untuk masuk studio, masih ada peminat.  Dia juga memberitahu dia akan teruskan kerjaya ini selagi cita-citanya tidak tercapai.  "Sejak jadi penyanyi lagi Ani bercita-cita mahu merakamkan lagu-lagu Arab.  Ani memang berazam untuk menjejak kaki ke Kaherah ibu negara Mesir itu untuk memenuhi cita-cita Ani.  Insya-Allah, Ani akan ke sana jika segala-gala persiapan berjalan lancar," ujarnya.  Menyentuh tentang aturcaranya di Hari Raya, kata Sharifah Aini, "Alhamdulillah, rezeki mencurah-curah."