SHARIFAH AINI LUPA DIRI? oleh Mirieatie (Mingguan Wanita, 13-20 Oktober 2000) |
Sharifah Aini membuktikannya menerusi album 'Seribu Mawar' yang merupakan album ke 72nya. Maklum balas yang diberikan dalam tempoh baru sebulan album berkenaan cukup memberangsangkan. 'Alhamdulillah, feedback yang saya terima sejak dipasaarkan sebulan lalu nampak begitu bagus sekali. Saya tak sangka dalam pasaran sekarang album berkenaan mendapat sambutan begitu menggalakkan. Dengan aLbum ini saya tak sangka dapat menarik peminat muda. Masa dah berubah. Orang nak ambil yang 'simple' macam dalam album ini. Peminat hari ini sudah pandai menilai. Sama seperti 'Seribu Mawar', ia ada berbagai-bagai yang ada didalamnya." Perubahan yang ada dalam 'Seribu Mawar' ternyata berbeza daripada kebanyakan album terdahulunya. Pemilihan lagu dan komposer yang terlibat iaitu LY, Ramli MS dan Azmeer ternyata percaturan berani yang mahu Sharifah tampilkan. Sememangnya itulah yang Sharifah Aini mahu. Selain mahu memberikan yang terbaik kepada peminat setia sebaya, Sharifah Aini juga mahu golongan muda menerima sumbangannya. Secara keseluruhan, album berkenaan sudah berjaya memenuhi sebahagian besar impiannya. "Saya bertuah kerana selama 31 tahun berada di bawah EMI, antara kami saling memahami. Mereka faham apa yang saya hendak dan begitu juga sebaliknya." Justeru, Sharifah Aini tidak mahu mempersia-siakan peluang alaf baru untuk menghasilkan sesuatu yang baru. Demi 'Seribu Mawar', Sharifah Aini betul-betul 'all out'. Setiap jelajah promosi seluruh negara yang disediakan dipenuhi. Persembahan pentas, rancangan hiburan TV atau apa saja berkaitan kerjayanya memenuhi jadual hariannya sehingga ada ketikanya Sharifah Aini 'lupa diri', mengenepikan soal kesihatan sehingga pernah ketika rakaman sebuah rancangan hiburan untuk RTM, Sharifah Aini jatuh sakit. Walau bagaimanapun, komitmennya mengenepikan rasa sakit yang ada. Sharifah Aini meneruskan juga rakaman di bawah perhatian doktor. "Doktor yang merawat saya kata saya ni 'crazy' (gila) bekerja sehingga tidak menghiraukan kesihatan," ceritanya mengingati kembali peristiwa berkenaan. Walaupun tak sihat, persembahan tak mantap tapi persembahan harus diteruskan memandangkan ramai peminat yang sanggup datang dari jauh, dari semua tempat dari Singapura, Brunei dan seluruh Malaysia. Alhamdulillah, sekarang saya berasa lebih tenang dan 'relaxing'. Saya tak nak berasa risau," ujarnya yang masih di bawah perhatian doktor setiap bulan.
|