SHARIFAH AINI PENYANYI LEGENDA

oleh Azizah Ismail  (Mastika, Julai 1997)

Sharifah Aini mula menjinakkan diri dalam bidang nyanyian ketika usianya 11 tahun.  Pada peringkat awal, dia menyanyi secara sembunyi-sembunyi kerana tidak direstui oleh orang tuanya.  Mereka mahukan anak kesayangan mereka itu menjadi seorang ustazah memandangkan kecemerlangannya dalam bidang agama serta kemerduan suaranya ketika melagukan ayat-ayat suci.

Bagaimanapun hati Sharifah Aini meronta-ronta untuk menyanyi.  Secara senyap-senyap dia mencuri peluang untuk mencuba bakatnya.  "Ketika itu saya selalu berkata kepada diri saya sendiri bahawa saya ingin berjaya.  Pada waktu yang sama, saya juga mahu diri saya dihormati kerana dalam pandangan saya tiada gunanya kita berjaya kalau tidak dihormati.  Dan untuk dihormati, kita perlu menjaga disiplin, tingkahlaku dan maruah kita kerana kesemua ini saling berkait antara satu sama lain," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berbagai-bagai peristiwa lucu, pahit dan manis mewarnai kehidupan awal Sharifah Aini sebagai penyanyi.  Antaranya ialah peristiwa ayahnya membawa rotan sewaktu dia sedang menyanyi dalam satu majlis perkahwinan berhampiran rumah guru agamanya, Cikgu Leman.  Sebaik sahaja dijemput menyanyi, Sharifah Aini terus menanggalkan tudung dan berlari ke pentas.  Dia sempat mendendangkan tiga buah lagu sebelum matanya terpaku pada seorang lelaki yang sedang menggenggam rotan.  Seluruh tubuhnya menggigil ketakutan sebaik sahaja menyedari lelaki itu bapanya.  Selesai menyanyi, Sharifah Aini berundur ke belakang pentas sebelum memmbonceng basikal abangnya yang sedang menunggu untuk membawanya pulang.

Tiba di rumah, Sharifah Aini terus masuk tidur.  Ketakutan pada bapanya menyebabkan dia tidak berselera untuk makan.  Wajah bengis ayahnya serta rotan yang tergenggam erat di tangannya terbayang jelas di matanya.  Bagaimanapun, apabila pulang ke rumah, bapanya tidak sampai hati untuk bertindak kasar kerana menyangkakan anak gadisnya itu telah tidur.

Pembabitannya dalam dunia seni suara bermula sebagai penyanyi utama dengan kugiran The Families disusuli dengan kugiran D'Acrobat.  Setiap kali mengadakan persembahan, dia menerima imbuhan sebanyak RM10 atau membawa pulang 15 cucuk sate sebagai upah.

Tahun 1965 merupakan tahun keramat bagi Sharifah Aini, suara emasnya mula dihargai dan rezekinya melimpah-ruah.  Dia banyak menerima undangan menyanyi untuk pertunjukan pentas dan juga untuk Radio dan Televisyen Singapura (RTS).  Walaupun ghairah mengejar cita-cita, tetapi Sharifah Aini tetap taat pada pelajaran agamanya.  Malah minatnya terhadap seni suara sama dalamnya dengan cintanya terhadap pendidikan agama.  Pada 1967, Sharifah Aini menyertai pertandingan nyanyian RTS dan menduduki tempat ketiga sebelum dilamar oleh syarikat rakaman EMI pada tahun berikutnya.  Album pertamanya 'Seri Dewi Malam' dirakamkan setahun kemudian.  Kini, Sharifah Aini mencipta sejarah sebagai artis wanita pertama untuk kekal dengan EMI selama 29 tahun.

Demikianlah sketsa masa lampau kehidupan awal Sharifah Aini sebagai penyanyi sebelum dia mencipta nama sebagai seorang penghibur unggul dalam dunia seni suara masa kini.  Penyanyi itu ternyata telah mengorak langkah yang jauh untuk mencipta nama sebagai seorang penghibur.  Bakat nyanyiannya digilap sebaik sahaja mendapat restu daripada ibu bapanya yang sebenarnya adalah datuk dan nenek kandungnya sendiri,  Allahyarham Syed Sahil bin Ali dan Allahyarham Tengku Wan Mariam binti Tahir.  Bagi Sharifah Aini, kedua-dua insan itu dianggap sebagai ibu bapanya.  Merekalah yang bersusah payah memeliharanya sejak kecil dan memberi galakan serta dorongan sepanjang penglibatannya dalam dunia seni suara.

Hari ini nama dan suara Sharifah Aini tidak perlu diperkenalkan lagi.  Ketika penyanyi-penyanyi lain datang dan pergi, Sharifah Aini terus bersinar.  Kejayaannya mempertahankan populariti merupakan satu prestasi yang amat membanggakan.  Tidak hairanlah baru-baru ini beliau terpilih sebagai Penghibur Terbaik TV dalam Anugerah Seri Angkasa.  Sebelum ini Sharifah Aini merupakan penyanyi pertama yang digelar 'superstar' sebagai menghargai kejayaannya dalam bidang seni suara.  Pada 1979, beliau dianugerahkan oleh PAPITA sebagai Penghibur Wanita Paling Popular.  Sharifah Aini adalah tokoh legenda yang banyak menyumbangkan jasa dan bakti di persada seni tanah air.

Sejak lagu Seri Dewi Malam diperdengarkan pada 1968, namanya mula meniti dari bibir ke bibir.  Suaranya yang lemak merdu membuatkan lagu-lagu dendangannya diminati setiap lapisan masyarakat.  Menurut Sharifah Aini, ketabahan, kegigihan dan ketekunan adalah kunci kejayaan yang mengekalkan popularitinya sebagai seorang penyanyi terkenal.  Penyanyi bermata galak itu menganggap dirinya bertuah kerana masih diterima oleh peminat walaupun sudah 29 tahun melibatkan diri dalam seni suara.  "Kerana penerimaan peminatlah saya masih berada di sini.  Saya di sini kerana sokongan padu mereka bukan kerana hendak menyaingi penyanyi-penyanyi yang ada sekarang," katanya.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni suara, Sharifah Aini telah menghasilkan lebih daripada 60 album, termasuk LP, EP, soundtrack dan kompilasi.  Hampir kesemua lagu itu mendapat sambutan, antaranya Dekatlah Padaku, Kasihnya Ibu, Percayalah, Terbang Helang, Tiada Maaf Bagimu, Mawar Putih Untuk Mama dan yang terbaru sekali Kuntum-Kuntum Kasih.  Disiplin juga merupakan faktor-faktor penting yang membawa kejayaan kepada Sharifah Aini.  "Sebagai orang seni, gerak-geri kita sentiasa menjadi perhatian.  Disiplin dan tingkah laku kita penting untuk menjaga imej artis serta memelihara hubungan harmoni dengan semua pihak," katanya.  Penyanyi bersuara emas itu rajin meneliti perkembangan semasa tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan sekali-kali mengorbankan identitinya semata-mata untuk memberi laluan kepada trend baru.  "Identiti saya amatlah penting dan berharga kepada diri saya kerana ia mencerminkan keperibadian serta perwatakan saya," katanya.

Beliau juga menekankan betapa pentingnya seseorang itu mengingati asal usulnya dalam apa juga bidang yang diceburi.  Malah itulah nasihatnya yang paling penting untuk penyanyi-penyanyi baru bagi menjamin kejayaan dan kebahagiaan.  "Apa yang saya lakukan, sama ada pada masa lampau ataupun sekarang, mencerminkan identiti diri saya sebagai seorang wanita Melayu.  Saya mewakili kebudayaan Melayu.  Saya tidak pernah berlagak untuk menjadi orang lain atau meniru gaya orang lain.  Saya tetap saya," tegasnya.  Menurut Sharifah Aini, tidak salah bagi seseorang penyanyi itu mencari pembaharuan tetapi biarlah kena dengan caranya.  "Yang pentingnya, keperibadian dan identiti kita sebagai orang Melayu jangan sama sekali dikorbankan," katanya.

Penglibatan pelajar-pelajar sekolah sebagai artis menjadi satu trend dalam dunia seni sekarang.  Ada yang sanggup berhenti sekolah kerana ingin hidup glamor sebagai artis.  Bagi Sharifah Aini, perkembangan seumpama itu adalah sesuatu yang menggerunkan dan merugikan.  "Tak salah bagi seseorang pelajar itu melibatkan diri sebagai penyanyi asalkan dia pandai membahagikan masa dan mendapat restu daripada ibu bapa tetapi janganlah sampai berhenti sekolah," katanya.

Bidang nyanyian merupakan satu bidang yang sukar diramalkan.  Hari ini kita naik, esok kita turun.  Jadi, keputusan untuk berhenti sekolah semata-mata kerana hendak menyanyi bukanlah satu keputusan yang wajar.  "Yang pentingnya, kita mestilah ada motivasi dan perasaan insaf dan kasih sayang pada diri kita sendiri. Jika kita tidak sayang pada diri sendiri, itu bermakna kita tidak sayang pada masa depan kita," tegasnya.