PENGALAMAN SHARIFAH AINI: DUA KALI GAGAL DALAM PERKAHWINAN

oleh Norzeha Kasbi  (Mangga, November 1998)

Sebut sahaja Sharifah Aini, semua peminat seni suara memang tidak boleh melupainya.  Kak Ani sudah bergiat dalam dunia seni suara lebih 30 tahun dan sudah menghasilkan lebih 60 buah album dengan EMI.  Sekarang walaupun dalam keadaan gawat, kak Ani sedang berbahagia yang amat sangat kerana album terbarunya 'Yayadan' telah terjual melebihi 20,000 unit dalam masa yang singkat.  Lagu-lagu dalam albumnya kali ini banyak membawa kita kepada keinsafan, mengingati hari mati dan tidak boleh lalai dalam mengharungi kehidupan.  Tahniah kak Ani!

Bagaimana lelaki dari kacamata kak Ani?

Dari kacamata Kak Ani, seorang lelaki itu mestilah seorang yang jujur, dan yang boleh dipercayai.  Lelaki itu juga mestilah ada karakter.  Dia juga mestilah seorang yang tidak seperti lalang.  Kak Ani juga tidak suka kepada lelaki yang macam lalang.  Selain itu, seseorang lelaki itu juga mestilah berpendirian yang mantap.  Kak Ani juga tidak suka kepada lelaki yang pentingkan diri sendiri.  Kak Ani suka kepada lelaki yang mempunyai banyak sifat kasih sayang, bertanggungjawab dan berhemah tinggi, selain boleh diajak bicara dan berbincang. Itulah lelaki yang Kak Ani mahu.

Dalam menghadapi liku-liku kehidupan ini, apa sebenarnya yang Kak Ani tak suka?

Kak Ani tidak sukakan kepura-puraan.  Kak Ani benci kepada orang yang suka melaga-lagakan antara satu sama lain, sehingga memutuskan silaturrahim.  Tuhan tak suka malah murka terhadap perbuatan sebegini.  Kak Ani tidak suka kepada orang yang pentingkan diri sendiri.  Malah Kak Ani benci kepada orang yang munafik dan berbohong.  Kak Ani juga tidak suka kepada orang yang tidak ada kepercayaan pada diri sendiri.  Sebenarnya, dalam kehidupan ini dan dalam dunia yang begitu moden hari ini, nampaknya tidak banyak lagi kasih sayang sehingga orang sekarang lebih mementingkan kekayaan daripada kasih sayang.  Dalam kehidupan ini sebenarnya, kenapa kita tidak boleh hidup dalam kasih sayang?  Kak Ani juga sangat benci kepada orang yang buruk sangka kepada orang lain.

Bagaimana pengalaman Kak Ani menghadap kehidupan, setelah dua kali gagal dalam perkahwinan?

Dalam menghadapi kehidupan sebegini, Kak Ani tidak ada rasa marah walau sedikitpun . Mungkin ini ada sesuatu yang terbaik yang berlaku.  Kalau sudah tidak ada kebahagiaan, kita tidak boleh duduk satu bumbung lagi.  Dalam perkahwinan, Kak Ani sudah bersedia menghadapi sama ada akan berpisah mati atau hidup.  Kak Ani telah bersedia terlebih dahulu.  Kak Ani tidak mahu takut menghadapi itu semua.  Kak Ani tidak mahu patah semangat dalam hidup ini.  Dalam hidup ini, Kak Ani sentiasa menjauhkan diri daripada bermusuhan dengan sesiapapun.  Kak Ani juga tidak suka dengan kata-mengata.

Demikianlah semangat Sharifah Aini mengharungi liku-liku hidup ini.  Biduanita yang semakin jelita ini juga percaya bahawa cahaya nur yang terkeluar dan terpancar di muka dan wajah kita adalah gambaran apa yang ada di dalam hati kita.  Bila kita reda dengan kehidupan suka-duka, gembira dan sebagainya dengan sendirinya akan tercermin ke wajah dan muka kita.

Bagi Sharifah Aini, "Kehidupan Kak Ani ... okey.  Kalau Kak Ani ada masalah Kak Ani akan menangis sepuas-puasnya.  Biarlah Kak Ani hadapi sendiri.  Buat apa kita minta simpati daripada orang lain?  Tak perlu!".  Di samping itu juga, Sharifah Aini sentiasa amalkan banyak minum air mineral selain mencuci mekap sebelum tidur.  Itulah yang sangat penting, katanya.  Tambahnya lagi, "Yang sebenarnya dalam hidup Kak Ani ini, Kak Ani telah bersedia menghadapi hari tua dengan tenang.  Kak Ani tidak takut untuk mnghadapi hari tua.  Ini hukum alam. Kak Ani idak berasa gentar menghadapi hari tua yang tetap akan datang!"