SHARIFAH AINI SEMANGATNYA TAK PERNAH LUNTUR

(Lagu-Lagu Filem & TV, Jun 1998)

Dunia seni seakan sudah menjadi darah daging buat penyanyi, Sharifah Aini.  Penglibatannya dalam dunia senia sejak 30 tahun lalu merupakan satu pengabdian diri yang tidak terhingga dalam bidang seni ini.  Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah, tidak pernah menyesal walaupun sebahagian hidupnya sering dihabiskan untuk menghiburkan peminat-peminatnya.

Semangat yang ada dalam diri Kak Pah tidak pernah luntur, biarpun kini kehadiran penyanyi-penyanyi baru seolah-olah melenyapkan penyanyi-penyanyi veteran seperti Kak Pah.  Namun keunikan suara yang begitu merdu ketika mengalunkan sesebuah lagu, tidak akan melenyapkan nama Kak Pah dari persada seni tanahair.  Kerana suaranya punya keistimewaan tersendiri dan tidak mungkin mampu ditandingi oleh mana-mana penyanyi terkini.  Ziana dengan nada tingginya, Siti Nurhaliza dengan lenggoknya sendiri, jadi Sharifah Aini tetap Sharifah Aini seperti zaman 70an dan 80-an dulu.

Sejak konsert solonya dulu, Sharifah Aini senyap buat seketika,tambah-tambah lagi setelah kembali dari mengerjakan umrah tahun lepas.  Kak Pah semakin terasing dari dunia seni.  Tetapi kerana minat dan peminat, Kak Pah akan turun padang sekali lagi untuk album terbarunya tidak lama lagi.  Album tersebut masih melebalkan EMI sebagai syarikat yang sehingga kini menjadi pilihan Kak Pah.

Namun begitu album ini bukanlah memuatkan lagu baru tetapi merupakan sebuah album kompilasi lagu-lagu yang berentak lagu nasyid dan Arab.  Album ini diterbitkan oleh Ramli MS, Pak Ngah dan S Atan dan album ini juga sempena 30 tahun Sharifah Aini bersama EMI.  Antara lagu yang terkandung dalam album terbaru Kak Pah ini ialah Yayadan, Kepulangan Dalam Iman, Syukur, Keagungan Tuhan dan Permaidani.  Kata Kak Pah, sambutan yang baik terhadap lagu-lagu nasyid telah menyebabkan dia bersemangat untuk merakamkan album tersebut.  Dan berharap kehadirannya kali ini masih diterima oleh peminat-peminat. 

Walaupun kehidupannya dikelilingi oleh popularitinya sebagai anak seni tetapi itu bukanlah satu tiket untuk meninggikan diri.  Para peminat adalah segala-galanya bagi Kak Pah, selain dari anak tunggalnya Aliff.  Sudah besar panjang anak teruna Kak Pah ni tetapi, nampaknya Alif tidak berminat untuk menceburi bidang seni bagi menyambung perjuangan ibunya.  Nak buat macam mana, bukan itu minatnya kan ...

Kak Pah akan terus menyanyi dan menyanyi selagi dirinya diterima oleh peminat dan beliau mungkin akan bersara seandainya sampai seru untuknya berhenti dari dunia seni ini.  Masa tu mungkin dunia seni kita sudah tidak macam sekarang.