Sayangi Ibu Dalam Ketidaksempurnaan Itu 'Kata Teman' dikendalikan Hanizam 'Kak Cham' Abdullah (Berita Harian: Isnin, 15 Mei 2006) |
Biduanita Negara, siapa lagi kalau bukan Datuk Sharifah Aini, masuk hospital minggu lalu. Setelah suhu badan tak turun-turun selama beberapa hari, anak bujangnya yang sedang bercuti semester, Aliff Omar dan business partner Kak Pah, Rosman, membawanya ke Hospital Damansara. Periksa punya periksa, rupa-rupanya denggi. Kata Kak Pah, mulanya dia ingat demam urat biasa saja sebab beberapa hari sebelum itu, sibuk benar dia melayan tetamu yang hadir untuk majlis menyambut ulang tahun Aliff yang ke-24. Teman perhatikan, Kak Pah kalau ada Aliff memang lain macam saja gembiranya. Maklumlah, bukan selalu dia dapat bersama anak kesayangannya yang memang sibuk dengan pelajarannya di Madinah. Biasalah ibu kalau tahu anak nak balik, macam-macam dirancangnya. Macam ibu teman juga, kalau tahu teman nak balik kampung, pasti dia sibuk sediakan makanan kegemaran teman. Apa lagi kalau bukan gulai pisang masak lemak cili padi. Teman diberitahu beberapa hari sebelum Aliff tiba, Kak Pah shopping sakan untuk anak bujangnya. Sebelum itu pula, Kak Pah sibuk juga membeli-belah untuk dua anak daranya. Yang satu perlu menjalani latihan bagi memenuhi keperluan kursus di syarikat pengiklanan, yang seorang pula melanjutkan pelajaran di kolej. Memang macam itulah Kak Pah dengan anak-anaknya. Demi anak-anak sanggup Kak Pah buat apa saja. "Tak payah heboh-heboh pasal bab masuk hospital ni Cham," kata Kak Pah ketika teman mengunjunginya di hospital Jumaat lalu. Tetapi seperti biasalah, soal sakit demam ni kena bagi tahulah kat kawan-kawan. Tetapi yang kelakarnya dalam sakit-sakit itu pun, Kak Pah sempat bergurau, "Bukan apa, nanti ada pulak yang kata I pakat dengan nyamuk Aedes tu." Kenyataan selambanya itu mengundang hilai tawa rakan yang ada petang itu. Begitulah Kak Pah kita yang memang terkenal juga dengan sense of humournya itu. Siapa boleh lupa episod duka yang dialami Kak Pah dan mereka yang dekat dengannya terutama anak-anak dan keluarganya. Teman sendiri pun turut menerima tempiasnya dan sukar mengikis pengalaman pahit itu. Kalau boleh mahu dibuang saja jauh-jauh dari kotak minda ini. Suara dan jeritan Kak Pah meminta tolong masih terngiang-ngiang di telinga. Paling memeranjatkan apabila ada yang sanggup mendakwa 'semua itu hanyalah khayalan saja'. Hai ... episod duka, selagi mahu dibuang selagi itulah ia melekat di kotak minda. Paling teman rasa tak tahan ketika itu adalah apabila melihat wajah anak-anak Kak Pah. Pancaran mata mereka saja sudah menyatakan rasa sakit di dada tanpa perlu mengeluarkan kata-kata. Tetapi kasih sayang mereka itulah yang menjadi paksi kekuatan dirinya. Rasa cinta yang terpancar itu juga kerana dirinya yang tidak pernah kering kasih sayangnya terhadap mereka. Tetapi kasih sayang Kak Pah juga tiada syaratnya. Dia hanya memberi, memberi dan memberi sebagaimana lazimnya seorang ibu. Kadang kala sikap keibuannya begitu terbawa-bawa dengan sesiapa saja yang ditemuinya. Teman teringat ketika turut bersama Kak Pah ke Johor Bahru kerana dijemput meraikan Bintang Paling Popular, Mawi yang menerima sekalung mutiara Rafflesia di Johor Bahru. Dari pemandu limosin, kakitangan di KLIA sehinggalah ke pekerja Hotel Hyatt Regency JB, mereka menyapa dan bermesra dengannya bagaikan sudah kenal lama. "Aiyaaa Latuk, you dari dulu sampai sekalang masih cantik lo ...," tiba-tiba seorang wanita Tionghua menegurnya sambil berkata mahu mengambil gambar dengannya. Panggillah apa saja – Kak Pah atau Datuk – biduanita negara itu tetap melemparkan senyuman cantiknya. Apa? Nak cerita Mawi? Ala ... biarlah dulu Mawi tu. Takkan tiap-tiap minggu nak cerita Mawi saja. Teman tahulah dia tengah meletup sekarang, tetapi kita pun ramai artis lain yang tak pernah kurang hebatnya. Kebetulan ketika coretan teman ini ditulis, ia jatuh pada Hari Ibu, hari yang sewajarnya kita menilai semula apa yang sudah atau belum kita laksanakan untuk seorang wanita yang sudah banyak berkorban untuk kita – dari dua jari tapak kaki sehinggalah kini – tanpa sebarang syarat. Apabila bercakap mengenai ibu, teman terus teringatkan kisah Kak Pah kita dengan anaknya dan cara dia melayan peminatnya. Tak, teman tak pernah kata Kak Pah itu begitu sempurna orangnya. Siapa pun tak sempurna kerana yang sempurna hanyalah Yang Satu. Tetapi teman tahu masih ramai tetap menyayangi dan menyenanginya biarpun dalam ketidaksempurnaan itu. Macam juga ibu kita, mereka pun manusia biasa yang serba serbi kurang dan pernah buat silap tetapi kita tetap sayangkan mereka dan tidak akan kurang ajar. Tiada galang gantinya kasih sayang kita terhadap mereka. Biarlah orang nak cakap apa saja mengenai ibu kita, kita akan tetap berada di sisi mereka. Habis-habis pun kalau perkara itu tak betul, kita akan tetap bersuara untuk membetulkannya. Cakaplah baik-baik dengan ibu kita tu. Sebagai anak kitalah yang sewajarnya kena banyak mengalah. Nak buat itu semua sementara mereka masih adalah, kalau dah tak ada barulah kita tahu langit tinggi rendahnya. Bayangkanlah hari-hari kita tanpa ibu. Teman masih ada ibu tetapi bercakap mengenai hari-hari tanpanya pun dah buat teman sebak dan menitiskan air mata. Teman tahu sangatlah 'rasa hilang dan kosong' ini sebab pengalaman kehilangan seorang ayah memang begitu sakit dan pedih. Percayalah, rasa rindunya Tuhan saja yang tahu ... Selamat Hari Ibu dan semoga kita diberi kekuatan seperti ibu kita untuk mengharungi pelbagai onak dan duri dalam kehidupan. Jumpa lagi! |