Kasih Kak Pah Dan Cinta Aliff Sehati Jiwa 'Kata Teman' dikendalikan Hanizam 'Kak Cham' Abdullah (Berita Harian: Isnin, 4 Jun 2007) |
Kalau tak kerana ramai sangat menulis kepada teman, mengajak berkata-kata mengenai konsert Hari Ibu Datuk Sharifah Aini di Dewan Perdana Felda pada 18 Mei lalu, tak kuasalah teman mencoretkannya di ruangan ini. Maaflah Kak Pah, bukan kerana konsert itu tak 'meletup' tetapi kalau teman yang bercerita akan ada yang kata, teman sengaja nak bodeknya dan berbuat begitu kerana berasa kasihan melihatnya. Bukan teman tak tahu buruk sangka sesetengah pihak di luar sana. Tetapi sudah banyak benar peminat kak Pah hantar e-mel tahniah diiringi ucapan 'welcome back' kepada Kak Pah. Jadi, teman tak dapat nak elaklah. Nanti kecil hati pula mereka yang juga pembaca setia akhbar teman. Diakui sambutan terhadap show Kak Pah memang luar biasa. Maklumlah, sudah lama benar dia berdiam diri sejak terpaksa melalui episod duka dan 'bodoh' itu. Big boss teman pun ada, seniwati Datuk Sarimah Ahmad dan Ku Yah pun tunjuk muka tanda sokongan mereka. Malah, kalau tidak kerana terikat dengan satu majlis lain, Anita Sarawak dan suaminya, Mahathir Abdullah pun nak pergi juga. "Alamak ... ! Memang Kak Nita nak pergi sangat tengok Datuk Sharifah. Tetapi nak buat macam mana kerana sudah berjanji untuk menjadi hos pada majlis pelancaran Mandalay," kata Kak Nita, terkilan tidak dapat datang. Begitu juga Julie Dahlan dan Fauziah Nawi yang memang nak pergi sangat tetapi pada saat akhir tak dapat datang kerana ada hal yang tak dapat nak dielakkan. Esoknya, Kak Nita menghubungi teman bertanya mengenai show Kak Pah. Begitulah ceritanya apabila Kak Pah muncul semula. Teman melihat sendiri betapa tetamu yang rata-rata peminat setia Kak Pah berasa rindu mereka diubati apabila melihat Kak Pah kembali di pentas. Vokal Kak Pah yang belum hilang lemak merdunya tak payahlah teman terlebih puji, nanti ada yang kata 'propa' dan nak angkat dia pula. Tetapi hakikatnya itulah – Sharifah Aini memang tiada klonnya dan dia berada di kelasnya yang tersendiri. Tak payah bergelek di pentas, memadai saja dengan jenaka spontan dan sesekali tetamu dititipkan dengan kisah pahit manis, ranjau duri sepanjang bergelar anak seni. Kak Pah memang kelakar malam itu – daripada bergurau mengenai bentuk badannya sehinggalah kepada jenakanya mengenai jodoh serta sempat mengusik tetamu yang rata-rata kalangan ibu agar menjodohkannya dengan anak lelaki mereka sambil berjanji dia akan menjadi menantu yang baik. Sebenarnya jenaka Kak Pah begitu menjadi kerana itulah sebenarnya Sharifah Aini yang penuh humor apabila dikelilingi mereka yang membuatkan dia berasa selesa. Namun, apa yang paling terkesan di hati kebanyakan tetamu adalah kisah sedihnya dengan Aliff Omar sepanjang menghadapi episod hitam itu. Cerita itu memanglah eksklusif kerana sebelum ini teman pun tak berapa tahu betapa anak beranak itu terpaksa sama-sama memujuk hati masing-masing tika saat getir itu. Iyalah, seorang di Kuala Lumpur dan seorang lagi Madinah. Tetapi teman kenal sangatlah anak bujangnya, Aliff yang akan berbuat apa saja untuk menggembirakan hati ibunya. Jadi, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila setiap hujung minggu Aliff akan menaiki bas ke Makkah. Tujuh jam perjalanan dari Madinah, tidur di Masjidil Haram, berdoa dan berdoa agar mereka sekeluarga terutama ibunya diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan hebat itu. "Dua tahun penuh air mata Cham. Tapi Ani serahkan bulat-bulat kepada Allah. Ani tak balas orang yang menganiaya Ani kerana masa hisab akan tiba di akhirat kelak," kata Kak Pah ketika dihubungi, baru-baru ini yang menyuarakan hasratnya untuk mengadakan majlis kenduri tahlil untuk arwah Azman Ahmad (Cleo) dan anak buah teman, Kay yang meninggal dunia dua tahun lalu. Alhamdulillah, majlis berlangsung Khamis lalu di surau pejabat teman. Kebetulan bercerita mengenai Aliff, teman teringat episodnya bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan ke Riyadh, Arab Saudi, Februari lalu. Ketika di sana Datuk Najib menyatakan hasrat hatinya untuk bertemu dengan anak bujang Kak Pah. Dengar ceritanya, Aliff difahamkan seram-seram sejuk juga kerana maklum sajalah yang nak jumpa adalah seorang pemimpin negara dan bukan calang-calang orang. Hai ... begitulah ceritanya si Aliff yang teman tahu seorang yang begitu pemalu. "Ani kongsi kisah itu pada malam konsert itu bukanlah untuk bermegah-megah. Tetapi ia dilakukan dengan penuh keinsafan dan takwa. Memang Ani bertuah dapat anak macam Aliff. Moga syurga balasannya untuk Aliff," kata Kak Pah yang hatinya semakin kembang berbunga kerana buah hati pengarang jantungnya akan balik bercuti dua minggu lagi. Emm ... kalau Aliff ada di sisinya memang lain macam saja sibuknya diva nan satu ini. Teman dah kata, awan mendung pasti berarak jua. Semoga tahun ini menjanjikan sesuatu yang manis buat Kak Pah. Teman dah dengar-dengar juga tetapi belum masanya untuk dikongsi dengan pembaca budiman. Tuhan kalau nak bagi rezeki bukan boleh sesiapa dapat menghalangnya. Dah kerja Tuhan pernahkah kita mahu mempersoalkannya? Jumpa lagi! |