Aura Kak Pora, Semangat Kak Pah dan Kak Yan 'Kata Teman' dikendalikan Hanizam 'Kak Cham' Abdullah (Berita Harian: Isnin, 13 Ogos 2007) |
Kak Pora sudah semakin popular. Ke mana saja teman pergi, ada saja yang bertanya siapa sebenarnya Kak Pora tu? Yang paling kelakar, sudah ada yang kata Kak Pora itu sebenarnya teman sendiri. Biarlah teman berterus terang di sini dan untuk ke sekian kalinya bahawa Kak Pora itu bukanlah teman. Kerja teman sudah berlambak, apatah lagi masa ini Bintang Popular pun sudah teman jaga, mana ada masa untuk menulis lagi. Ruangan teman yang tak berapa besar ni pun, ada kalanya tak tercatat juga inikan pula hendak menulis untuk satu lagi ruangan. Siapa Kak Pora yang mengendalikan ruangan Jeling Kak Pora dalam akhbar sisipan Berita Minggu, Bintang Popular, itu tak penting tetapi ikuti dan hayatilah apa yang diperkatakan Kak Pora. Yang penting, Kak Pora ikhlas kalau dia nak buat sebarang teguran dan kritikan demi kebaikan industri hiburan tanahair. Jadi, kalau jumpa teman tak payahlah tanya siapa Kak Pora itu lagi. Teman membangkitkan hal ini kepada Kak Pora yang baru saja pulang dari Pulau Pinang. Mulanya dia sekadar menghadiri Festival Filem Malaysia ke 20, lepas tu Kak Pora lepak-lepak lagi di Pulau Mutiara itu, katanya untuk berehat seketika. Teman kata sudah lenguh hendak menjawab pertanyaan peminat hiburan tanahair. Teman tanya juga bila hendak tunjukkan identiti diri. Tetapi Kak Pora jawab, belum tiba masanya lagi kerana dia lebih senang menulis begini tanpa orang tahu siapa dirinya yang sebenar. "Biarlah rahsia!" kata Kak Pora. Bunyinya macam Datuk Siti Nurhaliza saja yang sebelum menamatkan zaman solonya sering kali berkata begitu apabila kalangan wartawan bertanya mengenai siapa buah hati pengarang jantungnya itu. Tak apalah, biarlah Kak Pora berahsia kalau itu membuatkan dia gembira dan selesa. Yang jelas, walaupun sudah ada yang mula panas punggung kerana Kak Pora, ada juga yang gembira dengan kehadirannya ibarat 'kekasih gelap' saja. Kita tinggalkan dulu cerita Kak Pora ini wahai pembaca budiman yang teman diberitahu sudah tidak sabar lagi untuk menyaksikan Konsert Muzika Arabia Datuk Shaifah Aini di Istana Budaya pada 16 Ogos sehingga 18 Ogos ini. Teman pun teruja juga kerana bukan selalu Biduanita Negara ini mengadakan konsert apatah lagi konsert penuh prestij ini. Bayangkanlah selama dua jam, Kak Pah akan menyanyikan lebih kurang 20 lagu Arab sambil diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Mustafa Fuzer Nawai. Teman tahu Kak Pah memang bekerja kuat untuk memastikan peminatnya terhibur dan duit yang dilabur untuk membeli tiket konsertnya itu berbaloi. Bukan sedikit juga cabaran yang terpaksa dilalui penyanyi bersuara lunak merdu ini. Ada satu hari itu, apabila teman telefon, suara Kak Pah lemah dan sengau saja, rupa-rupanya Kak Pah demam. Iyalah, bayangkan dalam sibuk menguruskan selok-belok rumahnya yang sedang diubah suai, Kak Pah berulang alik ke Istana Budaya untuk membuat latihan. Teman pun tak tahu, Kak Pah dapat tenaga daripada mana. Jadi marilah kita sama-sama berdoa keada Allah SWT agar Kak Pah diberi kesihatan yang baik dan perjalanan konsert lancar. "Nasib baiklah bukan selalu Ani buat konsert. Memang penat sungguh. Sekarang seluruh tumpuan Ani untuk konsert ini. Ani memang macam itu, kalau sudah commit, Ani mahu pasti berikan lebih daripada 100 peratus. Nasib baiklah orang keliling banyak membantu. Untuk konsert ini juga, Ani lantik seorang pengurus dan PA, senang nak uruskan jadual Ani. Kalau tidak sudah juga kerana mana nak meeting, mana nak latihan, mana nak tengok rumah lagi. Sebab konsert ini juga, Ani sudah slow sikit kisah rumah tu ... rumah tu boleh tunggu, tapi hati orang yang sanggup membeli tiket Ani tak nak hampakan. "Tiga orang pereka fesyen, Calvin Thoo, Jovian Mandagie dan Michael Shu serta pihak Rafflesia yang sudi menaja pakaian dan aksesori itu pun Ani amat berterima kasih. Terima kasih juga untuk Bill Bora yang memberi idea ini. Ani memang serahkan kepada mereka untuk membentuk penampilan Ani pada malam itu. Harap-harap Ani tak jadi macam Christmas tree sebab tahu sajalah body Ani bukan macam model," katanya sambil ketawa. Sesuatu yang teman suka mengenai diva nan seorang ini adalah sifat humornya dan selalu juga mentertawakan diri sendiri. Begitulah cerita Kak Pah yang semangat dan cintanya masih terhadap dunia nyanyian. Adakala teman bersuara juga, sudah-sudahlah tu kerana Kak Pah ada segala. Tetapi kalau hati sudah cinta, cakaplah apa saja pasti ada jawapannya. Hakikatnya, rasa cinta kebanyakan artis lama kita terhadap dunia yang mereka ceburi memang begitulah. Mereka memang komited dan disiplin mereka memang tinggi. Macam orang yang suka golf – makan golf, tidur pun golf! Tengoklah macam Azean Idawaty tu. Dalam keadaan yang sakit dan rambut yang semakin menipis itu, Kak Yan masih lagi menggagahkan diri untuk hadir pada anugerah Festival Filem Malaysia ke 20. Mana artis muda yang lain? Kak Yan tak tahu pun dia akan menggenggam trofi pada malam itu, tidak juga untuk menunjukkan kepada dunia betapa kepalanya sudah semakin botak gara-gara rawatan kimonoterapi itu. Tetapi dia hadir untuk memberi sokongan kepada majlis yang bertujuan untuk memartabatkan anak wayang. "Allah menghantar satu musibah, sambil mengirim 1,000 rahmat. Jika hamba-Nya sentiasa bersyukur, ikhlas dan jujur dalam usahanya mencari rezeki yang halal, rezeki yang limpah kurnia-Nya sememanglah yang tak disangkla-sangka. Terasa diri ini dipercayai, disayangi. Hilang sebelah anggota atau gugur rambut sekepala tak bererti apa-apa berbanding rahmat-Nya," begitulah kata Kak Yan dalam SMS kepada rakan media. Teman setuju saja. Jumpa lagi! |