TANPA ANDA SIAPALAH SAYA

oleh Izza Safinaz Ibrahim  (Metro Ahad: Luahan Hati, 25 Jun 2000)

Sharifah Aini berjaya harungi pelbagai cabaran sepanjang 31 tahun menjadi perhatian umumSiapa yang tidak mengenali Sharifah Aini.  Wanita yang gigih mengharungi kehidupan sejak bergelar artis ini tidak pernah mengalah dan sentiasa berusaha memperjuangkan kerjaya yang menjadi landasan selama ini.  Tidak dinafikan dunia seni bukanlah seindah seperti yang disangka.  Bagaimanapun dia berjaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang 31 tahun menjadi perhatian umum.  Ikuti suka duka coretan Biduanita Sharifah Aini kepada Izza Safinaz Ibrahim.

"Seandainya saya mahu merencanakan keseluruhan jerih perih, susah senang, suka duka perjuangan saya dalam dunia seni sepanjang 31 tahun, wadah ini memang tidak mencukupi.  Oleh itu, biarlah saya berwadah secukup rasa, yakni menganggap wacana ini sekadar satu lembaran luahan rasa tulus ikhlas dari jiwa saya.

Perjalanan hidup saya penuh berliku.  Dengan pelbagai onak dan duri, saya bangkit semula menahan segala kesakitan dan mengubati sendiri luka di hati.  Bagaimanapun, saya tidak pernah serik dan kenal erti takut.  Dengan izin Allah, selepas 31 tahun, saya masih berada di sini dan terus menghibur serta melakukan apa yang terbaik.  Saya orang susah tetapi semuanya saya lalui dengan tabah, tenang dan penuh reda.  Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan.  Saya banyak berserah kepada Allah kerana hanya Dia yang tahu cita dan cinta saya.  Saya juga sentiasa berdoa agar tidak menjadi orang yang riak dan takbur serta tidak tamak dengan wang ringgit.

Tiga dekad berlalu dengan pantas.  Rasanya bagaikan semalam semua ini berlaku.  Era piringhitam EP, LP dan katrij sudah lama berlalu.  Malah zaman cakera padat diganti mini disc, pita video berganti DVD.  Keadaan ini membuat saya akur dengan perubahan masa dan teknologi yang begitu pantas.  Saya hanya manusia biasa ciptaan Allah yang diberikan fikiran, kudrat serta bakat.  Barangkali apa yang membuat saya terus berdiri di arena sini yang amat mencabar ini kerana saya tidak pernah lupa asal usul diri.  Malah, perit hidup sebagai penyanyi dan penghibur sentiasa membuatkan saya berpijak di bumi nyata.  Tetapi tiada sedikit kekesalan di hati.  Meninggi diri bukanlah sifat saya sebaliknya saya banyak merendah diri, peramah serta memupuk perasaan ikhlas di hati. Kejayaan yang dikecapi tidak pernah mengubah diri ini.  Saya masih lagi Sharifah Aini yang anda semua kenali sejak zaman 'Seri Dewi Malam'.

Dunia seni dan apa yang dilalui membawa jutaan kenangan pahit dan manis dalam hidup saya.  Ia banyak mengajar saya erti kehidupan, kesabaran, kedewasaan, kematangan dan jauh sekali sifat berdendam hati.  Jiwa saya tenang dan terus memijak bumi Allah.  Walaupun tangan ini sudah mampu mencapai bintang yang bergemerlapan tetapi saya tidak pernah membenarkan diri hanyut dalam dunia khayalan.  Saya adalah di antara insan yang paling bertuah di dunia ini.  Saya amat beruntung menikmati segala kesusahan dan kepayahan.  Saya bekerja keras untuk berada di sini hingga ke hari ini.  Saya mahukan berkat Allah dan doa Allahyarham abah dan emak saya berlarutan melindungi saya walau di mana saja saya berada, insya-Allah.  Begitu juga doa orang yang menyayangi saya, terutamanya anak dan doa ribuan peminat setia.

Saya memulakan dunia seni saya dari bawah.  Fitnah, umpat keji keluarga dan orang luar saya serahkan pada Allah.  Allah saksi saya.  Saya tidak pandai menjalani hidup berpura-pura.  Hidup bukan satu lakonan.  Kesusahan menjadikan saya berani, tidak takut onak dan duri serta tidak mudah patah hati.  Saya tidak mahu disanjung dan dipuji melangit tinggi bagaikan tiada cacat cela kerana saya hamba Allah yang lemah dan serba kekurangan.  Pujian yang melampau menakutkan saya.  Saya juga tidak mahu dikatakan mengecap kemewahan yang tidak berbaloi dengan kudrat saya.  Saya lakukan semua ini bukan kerana wang kerana jika itulah tujuan utamanya saya pasti tidak akan tidur lena sepanjang hayat.  Saya akan diganggu perasaan takut dan sangat malu kepada Allah.  Alhamdulillah, setakat ini saya cukup berhati-hati dan insaf serta takwa kepada rezeki yang Allah beri buat saya dan anak.  Biarlah ia halal dan benar-benar berbaloi dengan tenaga saya.

Saya seorang yang cukup berhati-hati mengenai penampilan.  Bukan sombong tetapi ini adalah yang terbaik untuk saya dan kerjaya saya.  Pergerakan dan persekitaran saya terhad, mungkin pada masa akan datang apabila saya tidak bergelar artis lagi, barulah sesuai untuk keluar ke mana-mana saja.  Saya tidak menikmati hidup seperti orang lain.  Tetapi ini adalah pilihan saya kerana saya sayangkan bidang yang diceburi ini.  Apabila kita senang dilihat di mana-mana, tiada apa yang istimewa atau eksklusif lagi mengenai diri saya.  Ini adalah sebahagian daripada pengorbanan.  Saya tidak mahu terdedah dengan fitnah kerana anak mengharapkan perlindungan saya.  Sebab itu, saya tidak perlu meluangkan masa dengan perkara yang tiada kaitan dengan urusan kerja atau keluarga.  Secara kebetulan, saya memang suka memerap di rumah kerana di sini saya temui kedamaian.  Banyak perkara yang boleh dilakukan di rumah selain kerja dan menghabiskan masa bersama anak.  Rakan baik juga turut bertandang ke rumah untuk berbual dan sesekali merasai air tangan saya.

Kadangkala, jika ingin mencari ketenangan saya akan keluar memandu bersendirian mengikut gerak hati dan berpatah balik hanya untuk menikmati keindahan terbenamnya matahari petang seperti satu lukisan indah sambil menikmati irama syahdu sepanjang perjalanan.  Sudah lumrah bergelar penyanyi, semua mata tertumpu pada kita.  Bagaimanapun tidak semua mata yang ikhlas, ada yang menanti-nanti kesalahan, ada yang ingin melihat kita kecundang.  Rupanya bukan mudah nenjadi bintang.  Pengorbanan beginilah yang membuatkan saya berada pada tahap sekarang.  Saya tidak meminta orang untuk menghormati saya, tetapi mereka yang memberikan penghormatan serta minat mereka pada saya kepada kerja seni yang saya lakukan selama ini.

Tiada apa yang perlu saya rungutkan lagi.  Kesabaran membawa saya sehingga kini.  Saya sudah melalui dua perkahwinan dan dua perceraian.  Saya menerimanya dengan penuh keredaan.  Saya tidak pernah menyalahkan bekas suami kerana tidak perlu membuka aib sesiapa.  Tidak dinafikan, hal ini menjadi tumpuan tetapi saya berpendirian dan ada batasan.  'Perkahwinan' saya dengan syarikat rakaman EMI selama 31 tahun yang kekal sejak mula menyertainya menjadi perhatian industri muzik.  Bagaimana saya lakukannya?  Kepercayaan.  Seperti juga satu perkahwinan, kita tidak seharusnya menceritakan masalah yang timbul atau tidak menyenangkan mana-mana pihak sama ada artis atau pengurusan di dada akhbar.  Soalnya di sini, selain kepercayaan, siapakah yang lebih amanah antara kita?

Saya sangat menyayangi dunia seni.  Justeru, saya ingin melakukan yang terbaik.  Saya ingin mencipta sejarah seni saya sendiri, kerja seni dan komitmen saya yang boleh dibanggakan penggiat seni golongan pelapis selepas saya pergi.  Sebagai artis, saya suka belajar dan terus belajar.  Mencari sesuatu yang baru yang boleh saya manfaatkan.  Saya tidak mahu meneruskan kerjaya semata-mata mengikut selera.  Yang penting selera peminat dan sumbangan saya untuk industri muzik tanahair.

Kepada semua peminat saya, jutaan terima kasih di atas semua sokongan. Ini sungguh bermakna untuk saya, tanpa sokongan anda siapalah saya.  Saya masih berada di sini kerana peminat dan penyokong saya.  Allah saja yang membalas jasa baik anda.  Kepada peminat yang masih belum berkesempatan bertemu mata dengan saya, mudah-mudahan dengan izin Allah kita akan bertemu.