'SAYA JUGA KESUNYIAN' oleh Wan Asrudi Wan Hasan (Harian Metro: Khamis, 18 Jun 2009) |
Biduanita Negara, Sharifah Aini belum berjumpa jodoh meskipun ada lelaki mendekatinya Lebih 13 tahun hidup 'bersendiri' tanpa insan bergelar suami, bukan bermakna hidup Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar kosong dan tidak bahagia. Sebaliknya, Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah, 55 cukup selesa dengan kehidupan kini yang disifatnya dikelilingi inidividu yang cukup memahami dan menyayanginya. Biarpun ada yang cuba mendekati selain kenalan daripada teman-teman, akuinya, belum ada yang sesuai atau boleh dikatakan jodohnya belum sampai. Kak Pah ketika ditemui mengakui lebih selesa dengan kehidupannya sekarang biarpun kadang kala berasa sunyi dan memerlukan teman untuk meluangkan masa rehat atau menyambut perayaan. "Saya memang sendirian ketika ini. Memang ada yang cuba mendekati begitupun hubungan itu tidak berkekalan dan hanya sebagai kawan. Mungkin ada yang takut untuk mendekati saya. Entahlah, saya sendiri tidak tahu hendak kata bagaimana. Apapun, saya gembira dan selesa bersendirian kerana bila-bila masa saja saya boleh ke mana-mana. Selain melakukan apa saja yang saya mahu." "Begitupun, ada masanya saya berasa sunyi. Bohonglah kalau saya kata tidak ada. Ini terjadi apabila saya memerlukan seorang teman untuk bercuti atau bersama keluarga selain sambutan Aidilfitri bersama seorang yang lebih istimewa. Ada juga yang cuba melamar, namun tiada yang sesuai. Mungkin saya yang terlalu memilih. Saya selesa kerana di samping mempunyai orang gaji yang taat dan sudah bekerja dengan saya selama hampir 19 tahun. "Saya juga bertuah kerana dikelilingi mereka yang mengambil berat dan memahami," katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar An Evening with Datuk Sharifah Aini di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Malah, anak kandungnya, Alif yang kini menuntut di Madinah juga tidak berdepan masalah jika ibunya itu mempunyai teman. Sebagai anak, dia juga tidak mahu melihat ibunya hidup bersendirian. Saya tidak mencari dan tiada langsung istilah serik untuk mencari pasangan hidup. Saya percaya dengan qada dan qadar. Allah menjadikan manusia berpasangan. Siapa tahu pada masa akan datang saya bertemu dengan seseorang. Siapa saja tidak perlu takut untuk mendekati diri saya. Cuma apa yang saya perhatikan orang Melayu lebih suka gadis yang cantik dan muda," katanya. Mengenai majlis persembahan makan malam yang berlangsung di Dewan Perdana Felda pada 17 Julai ini, katanya, persiapan mengadakan persembahan itu sudah bermula sejak seminggu lalu hinggalah malam persembahan sebenar. Pada masa sama, dia turut melakukan senaman dengan bantuan jurulatih peribadi untuk memastikan tahap kecergasan dan kesihatan terjamin sebelum konsert nanti. Persembahan dijangka terbahagi kepada beberapa segmen membabitkan lagu asli, deli, ghazal dan beberapa lagu dinyanyikan sempena tribute untuk beberapa artis legenda tanah air seperti Datuk A Rahman Hassan, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Sudirman Haji Arshad. Tidak dinafikan pembabitannya dalam dunia seni lebih 40 tahun membuatkan nama Sharifah Aini cukup gah dan diiktiraf antara nama tersohor dalam dunia seni suara tanah air. Tidak dinafikan, Kak Pah juga masih menjadi pilihan syarikat korporat atau agensi kerajaan untuk menjayakan persembahan. Kesinambungan daripada persembahan itu, Kak Pah bakal mengadakan dua konsert khas sempena pembabitannya sepanjang lebih 40 tahun dalam dunia seni suara. Konsert solo berkenaan berlangsung di Stadium Tertutup Singapura pada 8 November serta Konsert Khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 7 dan 8 Mei depan. Kak Pah yang bakal menyambut ulang tahun pada 2 Julai ini berkata, konsert berkenaan cukup bermakna buatnya disamping mengimbau kembali sejarah pembabitan dalam dunia seni yang bermula di Singapura ketika muncul juara pertandingan Talentime 1969 selain menandakan sambutan lebih 40 tahun pembabitannya dalam dunia seni. "Konsert di Singapura cukup istimewa kerana di samping berhibur konsert yang dianjurkan oleh Persatuan Jamiah iaitu pertubuhan Islam yang terbesar di Singapura adalah untuk mengumpul dana bagi persatuan itu." "Konsert itu juga memahat memori paling bermakna dalam sejarah pembabitan dalam bidang seni. Persembahan selama dua jam lebih itu juga membuatkan saya terpaksa bersedia dengan pemilihan lagu. Justeru, saya terpaksa mendengar ratusan lagu. Begitupun, pengalaman menjayakan persembahan pada majlis tertentu memberi kelebihan kepada saya seterusnya tahu lagu apa yang perlu dinyanyikan pada persembahan itu nanti. Malah, kebanyakan lagu yang disampaikan digubah mengikut rentak masa kini dan sesuai pada konsert itu nanti," katanya. Mengenai persembahan di PWTC yang berlangsung selama dua malam pula, katanya, persembahan itu membabitkan penjualan tiket kepada peminat dan ada antaranya membabitkan jualan meja. "Begitupun kami belum memutuskan hari yang mana untuk peminat dan penjualan meja," katanya. Dalam pada itu, laman web rasmi Kak Pah di alamat www.sharifahainiweb.com turut dilancarkan. Ia boleh dilayari bermula 21 Jun ini. |