KAK PAH TETAP SOKONG SHIHA

oleh Wan Asrudi Wan Hasan  (Harian Metro: Isnin, 29 Ogos 2011)

Sharifah Aini bangga anak didik tandatangani kontrak dua tahun bersama Monkey Bone untuk single pertama 'Bila Bertemu'

Bagaikan bonda dengan anakandanya, itulah yang boleh disimpulkan aura Biduanita Datuk Sharifah Aini dan Nurshiha Mohd Zikir atau Shiha yang pernah diasuh menerusi program terbitan TV3, Mentor 5.  Apatah lagi sesekali suara manja Shiha kedengaran melontar panggilan 'Ummi' kepada Sharifah Aini atau Kak Pah, kemesraan antara mereka berdua itu semakin menyerlah lagi.  Jelas pengalaman menyertai Mentor 5 dulu nyata mengukuhkan lagi keakraban antara mereka.  Pelbagai pengalaman suka-duka dilalui sepanjang mereka menyertai pertandingan yang menjadi bualan hangat peminat itu.

Sebagai mentor Shiha, Kak Pah pastinya rasa gembira dengan pencapaian anak didiknya itu yang menduduki tempat kedua.  Ternyata pemilihan Shiha berbaloi dan disifatkan sangat berbakat besar dalam arena seni suara.  Kak Pah akui turut berbangga dengan Shiha yang menjadi peserta pertama dari kalangan Mentor 5 yang menandatangani perjanjian bersama syarikat rakaman Monkey Bone.

"Saya rasa lapang dan gembira apabila Shiha sudah menandatangani perjanjian dengan Monkey Bone.  Selepas berakhirnya Mentor 5, dari semasa ke semasa saya memantau perkembangannya.  Malah, Shiha sendiri kerap menelefon saya untuk meminta nasihat dan panduan sekiranya dia perlukan rujukan.  Memang saya tak pernah keberatan dan tidak berdepan masalah untuk membantu anak muda berbakat sepertinya.  Saya harap orang tidak beranggapan saya seperti tidak mahu melepaskan Shiha.  Tanggungjawab saya sebagai mentor Shiha sudah selesai secara rasmi, namun secara realiti, saya akan terus memberikan bimbingan kepadanya selagi diperlukan.  Walaupun masing-masing sibuk dengan komitmen, sesekali kita akan bertanya khabar," jelas penyanyi Terbang Helang itu ketika ditemui dalam fotosesi khas Aidilfitri di kediaman indahnya di Petaling Jaya.

Shiha pula memaklumkan mentornya itu antara orang yang bertanggungjawab menentukan selain memastikan dia tidak menunggu lama untuk bernaung dengan label rakaman.  Malah, Kak Pah antara individu yang memastikan semuanya sesuai buat Shiha apabila menandatangani kontrak dua tahun bersama Monkey Bone.  Sebagai permulaan, Shiha akan muncul dengan empat lagu baru termasuk Bila Bertemumu ciptaan Ajai yang dinyanyikan pada final Mentor 5 lalu.

"Memang saya dan Ummi (Kak Pah) sepakat untuk tidak mahu menangguhkan perkara ini (menandatangani perjanjian dengan syarikat rakaman seterusnya menghasilkan single).  Buat permulaan, single pertama saya, Bila Bertemumu menjadi taruhan dan kalau tiada aral, single kedua pula akan muncul selepas Aidilfitri ini.  Setakat ini saya belum merancang membuat kolaborasi dengan Ummi.  Biarpun ada permintaan, namun buat masa ini saya lebih menumpukan kepada single terbaru.  Tidak dinafikan, saya juga menaruh impian untuk berduet dengan Ummi.  Dia penyanyi legenda Melayu yang sangat saya kagumi.  Saya sangat berbesar hati kerana pihak Monkey Bone sudi mengambil saya sebagai artis mereka.  Lebih-lebih lagi hanya saya seorang saja diambil daripada peserta Mentor 5 lalu," katanya.

Tahun pertama bergelar artis memberi makna tersendiri buat Shiha.  Pelbagai program disertai termasuk memenuhi undangan menjayakan persembahan sepanjang Ramadan.  Baginya, dia bersyukur kerana ramai yang sudah menerimanya dalam dunia seni dan ingin terus berjaya.  Malah, Shiha yang peramah itu tidak terlalu mengira soal bayaran jika dijemput menjayakan sesuatu program atau persembahan.  Sebaliknya, jika kelapangan dia cuba memenuhi setiap jemputan.

Bagi Kak Pah, lebih bermakna rasanya Ramadan ini apabila anak bujangnya, Aliff Ali, 29, yang kini masih belajar di Madinah pulang meraikan Ramadan dan Syawal di Petaling Jaya bersamanya.  Aliff pulang ke Malaysia sejak Jun lalu dan dijangka kembali semula ke Arab Saudi pada raya kelima bagi meneruskan pengajiannya dalam jurusan Syariah Undang-Undang.  Dalam kesibukan tugasnya, Kak Pah tetap menyimpan hasrat melihat Aliff menamatkan zaman bujangnya.  Setiap masa Kak Pah berdoa agar Aliff dipertemukan dengan jodoh yang baik.

"Aliff ada dua tahun lagi untuk menamatkan pengajian di Madinah.  Dia anak yang baik dan seorang yang pemalu.  Siang dan malam saya berdoa supaya Aliff dipertemukan jodoh dengan wanita yang baik.  Saya memang teringin tengok Aliff ada isteri dan anak," katanya.  Bagaimanapun, dalam sesi fotografi sempena Aidilfitri di kediaman Kak Pah yang cantik itu, baru-baru ini, Aliff tidak ada bersama kerana menziarahi saudaranya.  Sementara itu, Kak Pah yang sering terbabit dalam persembahan bercorak amal dijangka terus aktif meneruskan kempen berkenaan selepas Aidilfitri nanti.

Shiha dijangka menyambut hari raya pertama dan kedua di Kuala Lumpur kerana terbabit dengan beberapa program hiburan sebelum dapat pulang ke Pulau Pinang untuk bertemu saudara maranya di sana.  Mengulas persiapan Aidilfitri, anak bongsu tiga beradik ini akan menyambutnya secara sederhana.  Dia juga menyimpan impian untuk mengadakan majlis kesyukuran bersama peminat jika tiada aral pada musim Aidilfitri ini.