KAK PAH TERHARU MELIHAT NIRMALA

oleh Nor Akmar Samudin  (Harian Metro: Rabu, 25 Mei 2004)

"Jangan berdendam dengan orang Malaysia kerana bukan semua orang sini jahat", itulah antara kata-kata yang dilahirkan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah sebaik saja dia bertemu mangsa dera, Nirmala Bonat, 19 di Kedutaan Indonesia, semalam.  Kak Pah terpanggil menemui Nirmala bagi melihat sendiri keadaannya selepas melihat penderitaan dan kesengsaraan yang dialami gadis berasal dari Kupang, Nusa Tenggara Timur, Indonesia itu menerusi media.  Bergenang air matanya sewaktu menyaksikan keadaan Nirmala yang lemah dan ternyata gadis itu masih trauma.  Namun terpancar cahaya kelegaan pada wajahnya yang masih bengkak terutama pada dahi akibat dipukul cawan besi.  Kak Pah berkata, dia mewakili rakyat negara ini memohon jutaan ampun dan maaf kepada rakyat Indonesia yang berada di sini dan juga di Indonesia di atas apa yang terjadi terhadap Nirmala.  Ia adalah suatu tragedi yang menyayat hati.

"Keadaan fizikal Nirmala lebih teruk daripada zaman Jahiliyah.  Binatang pun tidak akan buat anak mereka seperti itu.  Ia kezaliman yang mesti dibongkar untuk dilihat oleh dunia.  Kita manusia bertamadun yang tidak sanggup memukul anak sendiri apa lagi untuk mendera insan lain.  Sebagai majikan masalah tetap ada tetapi mesti ditangani dengan cara bijaksana bukan dengan kekasaran.  Saya dulu hidup susah, keluarga tiada pembantu rumah.  Kini kehidupan saya semakin selesa jadi untuk meringankan tugas di rumah saya mengambil tiga pembantu.  Saya layan mereka seperti keluarga sendiri.  Alhamdulillah saya mendapat pembantu yang baik.  Saya percaya, buat baik akan dibalas baik.  Setakat ini saya tidak berhadapan dengan masalah berat.  Kalau ada yang tidak betul saya tegur dengan ikhlas.  Ikatan yang terjalin antara pembantu rumah saya, Muslikah Suhaimi, 45 (Mus) dan Sulami Marjo, 40 (Bibik) berdasarkan persaudaraan.  Mus sudah tinggal bersama saya selama 15 tahun dan Bibik pula 10 tahun.  Saya sudah bawa Mus pergi mengerjakan umrah di Makkah sebanyak lima kali manakala Bibik pula empat kali.  Saya bertuah kerana Mus, Bibik dan seorang lagi pembantu (balik bercuti) setia.  Mereka sangat mengambil berat hal saya terutama apabila saya sakit.  Mereka amanah dan saya tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti," katanya.

Tambah Kak Pah, semoga kejadian yang menimpa Nirmala boleh dijadikan iktibar.  Katanya, dia tidak dapat membayangkan tahap kezaliman majikan Nirmala yang sanggup menekap seterika di seluruh badan termasuk buah dada, memukul dengan penyangkut baju dan melemparkan cawan besi ke mukanya.  "Saya sokong sepenuhnya mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum ke atas majikan Nirmala.  Semoga ia menjadi pengajaran kepada masyarakat.  Jangan ada diskriminasi melayan orang gaji.  Mereka datang ke sini mencari rezeki dengan meninggalkan suami, anak, keluarga dan sanak saudara lalu meletakkan nasib mereka di tangan kita," katanya.

Kedatangan penyanyi itu ke kedutaan ditemani Ketua Inspektor Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Azida Ab Aziz.  Turut bersama ialah Kepala Bidang Penerangan Kedutaan, Budin Rahardjo dan Atache Perburuhan, Abdul Malik.  Difahamkan, Kak Pah turut memberi sumbangan peribadi RM5,000 kepada Nirmala serta menghadiahkan sekeping CD manakala Bibik dan Mus masing-masing menderma RM250.  Selepas bertemu dan berbual hampir 20 minit, Budin dan Abdul Malik mengiringi Kak Pah bertemu Duta Besar Indonesia Ke Malaysia, Drs KPH Rusdihardjo SH di pejabatnya di tingkat enam.