KAK PAH TAK HAMPAKAN oleh Norhayati Nordin (Harian Metro: Isnin, 6 Jun 2011) |
Hadir pelancaran butik kedua Bahari Asyek walau sibuk bimbing Shiha dalam saingan kemuncak Mentor Di kala kesibukan membantu protege bimbingannya, Shiha berhadapan saingan kemuncak Mentor musim kelima pada 29 Mei lalu, penyanyi tersohor tanah air, Datuk Sharifah Aini masih sempat meluangkan masa berkunjung ke Butik Bahari Asyek Fabrik di Shah Alam. Kunjungan bersempena pelancaran butik kedua milik usahawan, Zahalina Ab Rahman di Plaza Shah Alam, Seksyen 9 itu pada 26 Mei lalu nyata dihargai. Siapa yang tidak bangga tatkala biduanita negara yang mesra dengan panggilan Kak Pah ini sudi hadir. Zahalina selaku Pengarah Urusan butik itu berkata dia dan suami, Zailani Ab Ghani yang berganding bahu mengusahakan butik berkenaan nyata tidak mampu menyembunyikan perasaan gembira kerana kemunculan Kak Pah di majlis itu sebagai tetamu kehormat. "Saya mengundang Kak Pah untuk hadir merasmikan butik Bahari Asyek Fabrik kerana mendapati beliau adalah selebriti ternama yang sesuai dengan konsep rekaan diketengahkan kami. Butik ini lebih menjurus pada rekaan klasik, moden dan kontemporari. Ia seiring dengan maksud Bahari Asyek itu sendiri yang mana Bahari bermaksud warisan, dahulu kala, indah atau molek manakala Asyek pula sesuatu yang mengagumkan. Begitu juga dengan Kak Pah yang cukup hebat pencapaiannya. "Memulakan karier seni pada era 70-an, Kak Pah diminati hingga kini. Justeru, pada saya beliau bukan saja penyanyi legenda, tetapi penghibur 'evergreen' tanah air. Ketika bersua dengan Kak Pah, saya melihat beliau seorang bintang yang berhati luhur dan mulia. Maklum sajalah, artis yang hebat dan terkenal seperti beliau sanggup meluangkan masa memenuhi undangan pengusaha butik yang baru seperti saya. Malah, apabila kami saling berbicara, peribadi murni Kak Pah cukup terserlah dalam tutur katanya. Hinggakan saya berasa kontroversi yang pernah tercetus dulu hanya sebagai asam garam dunia hiburan. Ia perkara yang biasa tetapi digembar-gemburkan menjadi besar. Hakikatnya, Kak Pah seorang yang cukup tahu akan perjuangan seninya," kata Zahalina. Menyentuh soal butiknya, Zahalina berkata pembukaan kedua itu juga adalah demi meneruskan kesinambungan dan legasi butik pertama yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu. Katanya pelancaran butik kedua ini bagi menampung permintaan yang meningkat. Berbeza dengan butik pertama yang menawarkan pilihan persalinan tradisi seperti kurung biasa, kurung Pahang, kebaya, kebarung, gaun malam, jubah kontemporari, aneka blaus, selendang juga tudung, butik kedua diberi nama Bahari Asyek Fabrik, khusus menjual pilihan fabrik eksklusif saja. Di awal pembabitannya dalam dunia perniagaan, Zahalina berkata dia memilih membuka ruang niaga kecil terlebih dulu. Bagaimanapun, dia tidak menyangka pula fabrik ditawarkan di butik pertama mendapat sambutan begitu menggalakkan. "Oleh itu, saya berasakan perlu untuk mendapatkan ruang lebih luas bagi menampung permintaan dan sambutan pelanggan yang menjadi keutamaan kami. Malah, atas permintaan ramai juga kami turut menawarkan pelbagai pilihan fabrik polos bermutu tinggi bagi kaum lelaki. Ia sesuai untuk dijadikan baju Melayu. Begitu juga bagi peminat fabrik yang tercari-cari pilihan material terbaik untuk dijadikan persalinan, di sini lokasi terbaik untuk mendapatkan kain benang kapas Mesir, kasa rubia bersulam dan sutera Perancis," katanya. Selain Kak Pah, hadir sama di majlis itu ialah pereka fesyen terkenal tanah air, Salikin Sidek. Pada majlis sama, Bahari Asyek turut mempersembahkan koleksi Hari Raya 2011, yang menampilkan mainan warna ceria dalam rekaan kurung pesak dan kebaya klasik. |