KAK PAH MASIH INGIN DICINTAI

oleh Roslen Fadzil  (Metro Ahad: 25 Ogos 2002)

Setiap makhluk yang bergelar manusia tentunya inginkan kebahagiaan bersama pasangan hidup.  Tanpa seseorang di sisi, hidup ini kadangkala terasa begitu kosong dan sepi.  Lontarkanlah soalan itu kepada Sharifah Aini ... pasti Biduanita Seribu Tahi Lalat itu juga akan memberikan jawapan yang sama.  "Yes, I'm quite lonely ...," kata beliau kepada Bintang Popular apabila berkunjung ke villanya yang cantik di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Apakah wanita sejelita Sharifah Aini atau Kak Pah itu sukar mencuri perhatian lelaki?  Apakah ada sesuatu yang menjadi tembok penghalang hingga sukar dihampiri jejaka?  "Entahlah, mungkin mereka melihat saya ni sebagai Sharifah Aini bukan sebagai seorang wanita biasa yang juga mahu dicintai.  Saya bukannya mengharapkan jutawan untuk menjadi calon suami, tapi cukuplah lelaki yang romantis, berpendidikan dan beriman."

"Dan kalau ditanya, apakah jenis pekerjaan lelaki yang saya kagumi, saya amat tertarik dengan mereka yang menjadi doktor terutamanya pakar bedah.  Sebabnya, kalau saya mendekati masyarakat dengan seni, seorang doktor pula berkhidmat kepada masyarakat dengan pengetahuan perubatannya.  Itulah impian saya sebenarnya," kata Sharifah.  Sharifah akui soal jodoh adalah ketentuan Tuhan.  Lantaran itu dia hanya berdoa semoga suatu hari akan dipertemukan dengan lelaki yang dapat menjadi teman sejatinya hingga ke akhir hayat.

Sambil bercerita itu, timbul pula cerita lucu yang sampai ke telinganya baru-baru ini.  "Seorang kawan memberitahu, ada seorang peminat misteri yang terlintas mengenali saya dengan lebih dekat.  Tapi kata kawan saya itu, lelaki berkenaan was-was kerana dia cuma ada RM20 juta saja dalam akaun bank.  Saya hanya tergelak besar.  Begitukah pandangan lelaki terhadap saya selama ini kalau ingin berkawan?  Sesekali fikir saya juga rasa takut kerana persahabatan bukanlah terletak pada wang ringgit, tapi kejujuran dan keikhlasan," jelasnya.

Namun tertawa kecil mengenang kisah itu, nada suara Sharifah tiba-tiba bertukar.  "Sebenarnya, kesepian yang melanda hidup saya ini akan menjadi lebih hebat.  Ini kerana saya akan berjauhan dengan Aliff.  (Aliff, anak lelaki tunggalnya akan melanjutkan pengajian ke Islamic University of Madinah Al-Munawarah awal bulan depan).  Saya amat bersyukur kerana Aliff berjaya mendapat tempat belajar di sana dan menerima pembiayaan sepenuhnya daripada Kerajaan Arab Saudi."

"Terus terang, perasaan terharu saya ini (sebak lalu menangis teresak-esak) semakin dirasai sekarang.  Malah air mata saya tumpah lebih banyak, lebih teruk daripada bercerai dengan suami.  Inilah dugaan perpisahan yang begitu hebat buat diri saya dan Aliff.  Kalau selama ini saya biasanya berkunjung ke Madinah dua kali setahun, mungkin sekarang saya akan lebih kerap ke sana untuk melawat Aliff," katanya sambil mengesat air mata.

Sharifah juga menafikan anaknya seorang remaja yang ekstrem terhadap agama malah mengakui Aliff juga melalui hidup normal sebagai mana anak muda lain.  "Dia juga suka main ragbi, bowling, berenang dan memanah.  Malah Aliff juga sukakan kartun.  Bagi saya dia seorang remaja yang normal tetapi mempunyai visi yang tersendiri dalam kerjaya masa depan.  Saya doakan Aliff akan selamat pulang untuk berkhidmat kepada masyarakat," katanya.