KAK PAH INGAT ZAMAN SUSAH

oleh Roslen Fadzil  (Harian Metro: Rabu, 6 Julai 2011)

Terpaksa himpit himpit dengan rakan artis dalam kereta kecil untuk ke pertunjukan pentas

Sering terjadi kalau artis itu lekas naik, lekas pula dia jatuh.  Mungkin juga jalan pintas itu kadangkala tidak selamat buat anak seni kerana mereka boleh terkena 'litar pintas' dan menjadi kelabu mata.  Namun kesusahan dan kepayahan sudah menjadi makanan Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar terus berada di sini selama lebih 40 tahun.  Kalau hari ini kita melihat kelibatnya memandu sebuah Mercedes Benz yang mewah, pada awal kerjayanya dulu, Datuk Sharifah atau Kak Pah hanya mampu duduk berhimpit-himpit dalam sebuah kereta kecil dengan rakan-rakan artis untuk bergegas ke pertunjukan pentas.  Itulah kenderaan dan itulah juga bilik solek mereka.

"Ada satu hari, saya dan kawan-kawan artis dapat undangan.  Kami bertolak dari Johor ke Kelantan, naik kereta kecil dan duduk himpit-himpit.  Di dalam kereta itu ada saya, Aziz Sattar, Sanisah Huri, Dayang Sofia, S Shamsuddin dan Wahid Satay.  Itu belum masuk drebar.  Bayangkanlah bukannya dekat perjalanannya ke Kelantan dari Johor.  Di tengah-tengah jalan, kami berhenti sekejap untuk mekap dan guna lampu dalam kereta.  Ingatkan sudah cantik sangat dan apabila sampai ke tempat 'show', rupa masing-masing dah macam kucing beranak!" kata biduanita yang selesa disapa Kak Pah itu.  Itulah antara cerita lama Kak Pah ketika dia menjayakan Majlis Makan Malam Simfoni Kasih IKIMfm Bersama Datuk Sharifah Aini di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Memang sejak dulu lagi Kak Pah sinonim sebagai penghibur yang suka bercerita pengalaman susah payahnya menjadi anak seni kepada penonton.  Setiap lagu yang disampaikan Kak Pah pula ada cerita masing-masing yang menarik.  Lucu pula apabila satu ketika Kak Pah dengan jujur menunjukkan kasutnya yang 'simple' kerana katanya dia tidak sempat hendak memakai kasut tumit tinggi yang lebih cantik gara-gara kena bergegas turun ke 'ballroom' malam itu.  Sikapnya yang mesra itu membuatkan penonton tertawa.

Yang jelas, malam itu Kak Pah terharu kerana 'ballroom' berkenaan penuh sesak dengan tetamu daripada kanak-kanak, remaja hinggalah golongan matang.  Semua tidak berganjak menikmati alunan vokalnya yang merdu dan gemersik itu.  Menariknya, ada yang datang sejauh Singapura dan Brunei Darussalam serta sudi membeli meja bagi membantu hajat IKIMfm mengumpul dana, antaranya bagi membantu tiga rumah penduduk miskin di Pasir Mas, Kelantan, bantuan makanan bagi 200 penduduk di Sik Kedah serta 400 warga miskin di Bagan Serai, Perak.

Memang selalu terjadi, kalau Kak Pah menjayakan 'dinner show', meja yang depan atau paling mahal biasanya laris dulu kerana peminat mahu melihatnya dari jarak sedekat yang boleh.  Ternyata, sejak muncul dalam program realiti TV Mentor 5 dan menjadi guru kepada protégé Shiha, penyanyi Dekatlah Padaku itu semakin ramai mengumpul peminat remaja.  Gaya bertudung Kak Pah pula semakin digemari malah sudah ada ramai tetamu yang kelihatan menggayakan tudung cantik sepertinya.

Malam itu, diiringi tiga penyanyi latar serta iringan muzik oleh Belle, Kak Pah menyampaikan 24 lagu termasuk secara medley.  Sesuai dengan konsep muzik keislaman yang menjadi perjuangan IKIMfm, lagu-lagu yang berkumandang daripada Kak Pah menyejukkan kalbu seperti Panti Asuhan, Renungkanlah, Permaidani dan Inikah Balasannya.  Selain itu, beliau tidak lupa menyampaikan Terbang Helang, Janji, Seri Dewi Malam, Tunggu Sekejap, Di Malam Persandingan, Kini Hatiku Telah Tertawan, Dari Masa Hingga Masa serta berduet dengan tetamu dermawan dalam lagu Sedangkan Lidah Lagi Tergigit dan Seiring Dan Sejalan.

Turut hadir menyaksikan persembahan malam itu Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Prof Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin; Pengarah Radio IKIMfm, Nik Roskiman Abdul Samad serta Presiden Pertubuhan Islamic Relief Malaysia (IRM), Zawahir Abdullah.  Majlis itu juga dianjurkan bersempena sedekad penubuhan stesen radio ternama itu.  Malah Kak Pah sendiri dikejutkan dengan hadiah kek ulang tahun kelahirannya yang disambut 2 Julai lalu.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tetap Diminati (Utusan Malaysia Selasa, 12 Julai 2011)

  Jiwa Murni Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop 10 Julai 2011)

  Jom Tengok Konsert Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop 26 Jun 2011)

  Persembahan Amal Kak Pah (Berita Harian Selasa, 31 Mei 2011)