KAK PAH BELUM 'SEJUK'

oleh Firdaus Sahat & Mohd Azam Shah Yaacob (Harian Metro: Isnin, 29 Oktober 2012)

Dulu hebat, kini tetap hebat.  Itu antara aura yang ditunjukkan sesetengah artis yang sudah lama bertapak dalam industri seni tanahair.  Walaupun artis baru lebih muda, cantik serta menawan muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan, populariti artis lama bukan saja sukar ditandingi, sebaliknya tetap berbisa.  Mereka mampu menghiburkan peminat yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia termasuk golongan muda.

Antara artis istimewa ini termasuk Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini yang kini aktif mengadakan persembahan selain mampu menghasilkan album.  Bertapak dalam dunia hiburan sejak 44 tahun lalu, Sharifah Aini atau lebih mesra dipanggil Kak Pah mengaku bersyukur kerana masih dihargai peminat.  Katanya, sebagai artis yang sudah berusia, dia tahu cabaran tidak kira sama ada membabitkan lakonan atau nyanyian memang cukup sukar.  Kemunculan artis muda mampu menenggelamkan bakat veteran terutama soal mendapatkan peluang atau tawaran berlakon, menyanyi, mengadakan persembahan atau kontrak.

"Sejak mula menceburi bidang seni, Kak Pah sedar antara cabaran yang bakal dihadapi ialah ketika usia kita semakin meningkat.  Bila usia meningkat, bermakna kita terpaksa bersaing dengan artis lain yang lebih muda, cantik dan menawan.  Kerana itu, jika kita tidak menjaga kedudukan kita, sudah pasti kita akan tenggelam dalam populariti artis baru ini," katanya.  Menurut Kak Pah, sebagai artis, mereka perlu  memikirkan soal masa depan apabila meniti usia tua.

"Dalam industri seni kita, lazimannya populariti seseorang artis itu akan menyusut apabila meningkat usia.  Bila ini berlaku, secara automatik tawaran membuat persembahan, menerbitkan album serta berlakon akan berkurangan.  Jadi, sebagai artis, kita perlu beringat untuk tempoh akan datang ... untuk tempoh 10, 20, 30 atau 40 tahun lagi.  Masa apabila kita sudah tua dan mungkin sudah tidak ada lagi tawaran dalam bidang seni," katanya.

Menurutnya, antara perkara yang perlu diambil perhatian setiap artis dan penggiat seni sepertinya adalah dengan melabur dalam sektor hartanah serta menggambil insurans kesihatan.  "Dua perkara ini kebiasaannya diambil ringan segelintir artis menyebabkan bila meniti usia tua dan mengalami masalah kesihatan, ada antaranya tidak mampu untuk membiayai kos rawatan mereka.  Bagi saya memang tidak salah untuk seseorang artis itu berbelanja bagi memastikan penampilan kekal menarik.  Cuma apa yang perlu, mereka hendaklah berbelanja secara terancang dan fikirkan soal masa depan," katanya.

Menurut biduanita itu juga, seseorang artis itu perlu menjaga penampilan mereka di khalayak ramai dan tidak terlalu menyerlah setiap masa.  "Harga serta populariti artis ini bukan saja terletak pada kebolehan dan paras rupa, ia juga terletak pada tahap penampilan kita.  Kalau 'over expose' (terlalu kerap muncul di media), bukan juga sesuatu yang baik kerana nanti umum serta peminat jemu melihat kita.  Macam Kak Pah sendiri,  bagi mengekalkan populariti, Kak Pah terpaksa memilih apabila dapat jemputan untuk buat persembahan.  Bukan kerana sombong tapi kerana mahu menjaga periuk nasi sendiri.  Alhamdulillah, ia berhasil mengekalkan poplariti saya," katanya.

Sebagai panduan kepada artis baru, Kak Pah berkata, mereka bukan sekadar menyimpan, sebaliknya melabur dalam bidang yang boleh menguntungkan demi jaminan masa depan.  "Nasib kita ini tidak menentu, tidak kira artis ataupun bukan.  Hari ini kita sihat, esok lusa mungkin ditimpa musibah.  Jadi, jika kita ada melabur dalam bidang yang tidak menyalahi undang-undang, ia boleh menjadi penyelamat kita untuk masa depan," katanya.