BROERY INSAN ROMANTIS

oleh Roslen Fadzil  (Harian Metro, 14 April 2000)

"Saya tidak pernah bercinta dengan Broery.  Kami hanya berkawan baik saja sejak sama-sama berlakon dalam 'Hapuslah Airmatamu'.  Begitulah kata-kata yang terpacul dari mulut biduanita pujaan bersuara lunak, Sharifah Aini.  Hanya selepas lima hari penyanyi lagu 'Angin Malam' dari Ambon itu pergi buat selama-lamanya, barulah saya dapat bertemu Sharifah di banglonya di Lorong Utara, Petaling Jaya, Rabu lalu.

Dalam pertemuan dinihari kira-kira jam 2.30 pagi itu, banyak topik yang kami bualkan termasuklah kisah lampaunya bersama Broery.  "Itu semua cerita lama, tinggal sejarah tapi kadang-kadang cerita lama juga orang cuba cungkil.  Terus terang, saya tidak pernah ada 'apa-apa' dengan Broery.  We're just friends," katanya sambil tersandar pada kerusi empuk di ruang pejabatnya yang begitu kemas itu.

Sambungnya lagi: "Saya mula bertemu Broery secara dekat di KL pada 1976 sebelum penggambaran 'Hapuslah Airmatamu' bermula.  Dia memang peramah dan sentiasa 'jovial'.  Masakan saya bercinta dengan Broery kerana ketika itu dia begitu rapat dengan Christine Hakim dan semua orang tahu.  Saya pula tengah tersangkut dengan 'pilot' Iraq (sudah meninggal dunia dan diabadikan dalam lagu 'Kau Tinggi Di Awan Biru'), jadi soal cinta di antara saya dan Broery tidak pernah timbul".

Sambil tersenyum kecil, Sharifah mengakui secara peribadi, dia menganggap Broery, kacak, seksi dan memiliki cirri-ciri lelaki sejati.  Sikap baik hati dan sayangkan kawan-kawan memang boleh dilihat dalam dirinya.  Kalau bercakap atau jalan-jalam, dia suka pegang tangan.  Itulah yang kadang-kadang membuatkan orang fikir bukan-bukan.  Saya ingat lagi, dia suka panggil saya Perempuan Arab.  Sikap kelakarnya memang seronok kalau dilayan," kata Sharifah.

Penyanyi 'Bunga Tanjung' itu terharu kerana lagu 'Seiring Jalan' yang mereka dendangkan untuk filem 'Hapuslah Airmatamu' ciptaan Datuk Ahmad Nawab, menjadi popular dan 'evergreen' hingga ke hari ini.  "Sewaktu penggambaran 'Hapuslah Airmatamu', mak saya (nenek yang memeliharanya sejak kecil), Tengku Wan Mariam, meninggal dunia.  Saya ingat lagi Broery sudi hantar saya balik sampai Singapura.  Jadi banyak kenangan melintas di fikiran saya, setiap kali mendengar lagu 'Seiring Jalan'," kata Sharifah.

Namun siapa di kalangan peminat Broery menyangka penyakit angin ahmar yang dihidapinya sejak September 1998 akhirnya membawa berita sedih dan mengejutkan ke seluruh nusantara pada 7 April lalu.  Broery atau nama sebenarnya, Simon Dominggus Pesolime, 55, menghembuskan nafas terakhirnya di Rumah Sakit Puri Cinere, Jakarta, kira-kira jam 7 pagi, di sisi rakan karibnya, Bob Tutopoly.  Dia meninggalkan seorang balu, Wanda Latuperissa serta dua anak mereka, Pesolima Putra, 10 dan Nabila Metayu Putra, 8.  "Saya mendapat tahu berita sedih itu pagi Jumaat lalu daripada seorang kawan di Indonesia menerusi e-mel.  Saya benar-benar terkejut.  Nampaknya dunia muzik Melayu sudah kehilangan sebutir bintang," ujar Sharifah yang kali terakhir bertemu Broery di Kuala Lumpur, empat tahun lalu.

Broery 1977 ... imej kemasBroery 1981 ... tampak kacakBroery 1995 ... semakin matangBroery 1999 ... terlantar sakit

Ahmad Nawab seorang lagi teman penyanyi itu, mempunyai kisah tersendiri.  Seperti juga Sharifah, komposer veteran itu mula mengenali Broery ketika pembikinan filem serta album soundtrack 'Hapuslah Airmatamu'.  "Sebenarnya saya mula minat suara Broery sejak dia berlakon dalam filem 'Akhir Sebuah Impian'.  Lagu nyanyiannya yang paling saya gemari adalah 'Jatuh Cinta'," katanya ketika dihubungi kelmarin.

"Jadi, bila ditawarkan oleh Deddy M Borhan (produser Sabah Filem) untuk membuat muzik dan lagu filem itu, saya ragu-ragu.  Maklumlah ketika itu Broery sudah terkenal di Indonesia dan mahukah dia menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya?  Kemudian saya buat demo tape dan terus hantar ke Jakarta.  Bila pengurus Broery dengar, dia tertarik dan kemudian mereka turun ke Singapura.  Sewaktu mula-mula berjumpanya di studio, saya mainkan lagu 'Sabar Menanti' tanpa lirik.  Bila bergema, saya lihat Broery terduduk diam di tepi dram.  Kemudian dia suruh saya mainkan lagu itu sekali lagi.  Selepas itu, saya minta dia sendiri menulis liriknya dan dalam masa 15 minit, lagu itu pun siap.  Akhirnya album soundtrack 'Hapuslah Airmatamu' berjaya disiapkan dan beberapa lagunya menjadi siulan," katanya.

Memori ... disamping Ahmad Nawab, komposer yang banyak menaikkan namanya di MalaysiaSejak itu, hubungan Ahmad Nawab dan Broery terus rapat.  Apabila komposer terkenal itu menyertai WEA (sekarang Warner Music Malaysia), dia diberi peluang menerbitkan album penyanyi itu, 'Mimpi Di Siang Hari' diikuti beberapa album lain termasuk 'Senja Di Kuala Lumpur' dan 'Balada Seorang Nelayan Tua'.  "Rapatnya perkenalan kami mendorong dia menulis sebuah lagu 'Mady' yang ditujukan kepada saya.  Dia panggil nama saya sebagai 'Mad' saja.  Sebenarnya saya rasa berbesar hati apabila Broery banyak menyanyikan lagu ciptaan saya.  Kalau di Malaysia, saya bangga bekerja dengan P Ramlee tetapi di Indonesia saya puas bila dapat mencipta lagu untuk Broery.  Seperkara lagi yang saya amati, suara Broery bagus dan tidak perlu dibantu oleh peralatan teknikal.  Berilah dia apa sahaja jenis mikrofon dan suara yang lunak akan tetap terserlah," kata Ahmad Nawab.  Beliau berkata, dia sepatutnya pergi menziarahi Broery di Jakarta, 10 Mei ini tetapi hajat itu tidak kesampaian apabila penyanyi itu pergi lebih awal.  "Kata-katanya yang tidak dapat dilupakan ialah penilaiannya terhadap saya iaitu Ahmad Nawab adalah gabungan A Riyanto dan Idris Sardi."