LIMA TAHUN LAGI

oleh Abie Abdullah  (Metro Ahad, 31 March 2002)

Hampir empat jam berada di rumahnya.  Suasana tenang dan nyaman dengan kehijauan tumbuhan, membuat perjalanan masa tak terasa.  Tambah lagi dengan cerita-cerita menarik yang dikeluarkan biduanita negara, Sharifah Aini.  Bukan cerita kosong, cerita yang boleh dikongsi untuk menempuhi hidup.  Dia bukanlah dari kalangan ahli falsafah tetapi pengalamannya selama 34 tahun bergelar anak seni, harus menjadi teladan.  Tak pernah puas kalau berborak dengan insan istimewa ini.  Kak Pah, Kak Ani, Sherry dan macam-macam nama panggilan diberi kepada Sharifah Aini.  Namun orangnya tetap sama.

Blaus merah jambu dengan skirt kembang berbunga yang dikenakan petang itu menyerlahkan lagi kejelitaannya yang belum pernah pudar, biarpun usia makin memanjat.  Berbintang Cancer, wanita ini seorang yang romantik, lembut dan sensitif.  Tetapi tegas!  Apa lagi yang nak dikatakan mengenai penyanyi lagu Seribu Mawar ini.  Kak Pah bijak merencanakan hidup dan keluarganya, malah kariernya.  Masakan tidak dia bertahan sehingga kini sejak bermula pada 1968.  Bagaimanapun, hasratnya untuk memberi tempoh lima tahun lagi dalam industri ini, pasti mengecewakan ramai peminatnya.  Namun tak boleh persalahkan Kak Pah kalau peminat sendiri lebih gemar mencari album tiruan.  Banyak lagi yang ingin dikongsi bersama pembaca.

Metro Ahad:  Kenapa nak mengundur tiba-tiba?  Kenapa lima tahun lagi?

Sharifah Aini:  Kak Pah tak rasa industri kita berjalan dengan baik.  Kenapa Kak Pah harus teruskan?  Baik Kak Pah berehat.  Kak Pah dah 34 tahun menyanyi dan dah tiba masanya Kak Pah berehat.  Tetapi apabila Kak Pah berasa tak nak nyanyi, ada saja orang jemput menyanyi.  Macam tak boleh nak berhenti, itu yang Kak Pah masih lagi kat sini.

Metro Ahad:  Tak berjalan dengan baik 'macam mana' tu?  Cetak rompak ke?

Sharifah Aini:  Ya, cetak rompak adalah perkara pokok tetapi yang lain-lainnya ... tak tahulah, rasa macam kita kena bergerak ke depan.  Itulah, pasaran kita kecil dan Kak Pah tak nampak sama ada kerajaan kita betul-betul membantu mengatasi masalah cetak rompak.  Ini masalah yang tak berpenghujung.  Dari hari pertama Kak Pah menyanyi hingga sekarang, masalah itu masih berlarutan.  Tentunya Kak Pah kecewa.

Metro Ahad:  Lima tahun?

Sharifah Aini:  Dalam tempoh itu, Kak Pah harap Alif (anak sulung) dah keluar universiti dan Kak Pah ada perancangan sendiri.  Kak Pah nak berehat, nak berjalan ke negara orang atau mungkin akan tinggal di satu tempat untuk beberapa tahun.  Tempat itu Kak Pah belum kenal pasti.  Malah mungkin tahun ini Kak Pah nak ke luar negara, nak tengok di mana Kak Pah boleh tinggal untuk mungkin dua atau tiga tahun.  Kak Pah nak enjoy my life.  Setakat ini, Kak Pah tak pernah menjalani hidup biasa (normal life) kerana terlalu sayangkan karier di mana Kak Pah "did not allow myself to be seen", lakukan perkara yang orang biasa lakukan seperti ke tempat-tempat awam.  Kak Pah tak ke sana sebab kalau muka Kak Pah bersepah mana-mana, Kuala Lumpur ni kecil dan kebanyakan persembahan Kak Pah di KL, siapa nak tengok Kak Pah lagi?  Itulah harga yang harus dibayar apabila menjadi artis.

Metro Ahad:  Kak Pah harungi kekecewaan itu selama 34 tahun?

Sharifah Aini:  Kak Pah gembira dengan jalan yang dipilih tetapi Kak Pah tak akan teruskan selamanya kerana penghujung harinya, Kak Pah mahukan kebahagiaan.  Namun bukanlah Kak Pah kata, Kak Pah tak bahagia.  Kak Pah benar-benar bahagia, tetapi bahagia yang berbeza.  Bagaimanapun, selepas ini Kak Pah ada perancangan untuk anak-anak dan diri sendiri.  Kak Pah mahu menyaksikan persembahan besar-besar di mana-mana negara, benar-benar mahu melancong kerana Kak Pah sukakan alam semulajadi.  Tak tahulah untuk menetap atau tidak, tetapi Kak Pah suka Eropah.  Amerika Syarikat bolehlah untuk cuti.  Sebenarnya Kak Pah ramai kawan yang berkahwin dengan bangsa asing yang tinggal di Hawaii, Amerika dan negara-negara berbeza.

Metro Ahad:  Jadi Kak Pah nak ikut kawan-kawan?

Sharifah Aini:  Kak Pah hanya nakkan perkara berbeza.  Ada perancangan jangka panjang, mungkin perniagaan yang mana Kak Pah tak boleh dedahkan sekarang.  Bagaimanapun, ia bukan berkaitan dengan album, tapi perkara lain.  Sebenarnya dah lama Kak Pah rancang nak buat, tetapi Kak Pah tak boleh tinggalkan peminat Kak Pah begitu saja.  Masih banyak lagi yang Kak Pah nak buat dalam masa lima tahun ini.  Seperti nak terbitkan album terbaik, album warisan, nak keluarkan banyak benda sebelum Kak Pah benar-benar pergi.  Maknanya macam Kak Pah nak pergi ni, Kak Pah tinggalkan buah tangan.

Metro Ahad:  34 tahun, adakah puas menjadi 'Sharifah Aini'?

Sharifah Aini:  Tidak!  Sebabnya Kak Pah belum capai impian Kak Pah.  Kak Pah belum boleh beritahu tetapi kalau dah ada, baru Kak Pah dedahkan.  Insya Allah akan datang.  Malah impian itu sekalipun belum lagi.  Kak Pah belum pernah mencapai kepuasan yang benar-benar puas.  Tuhan tahu apa Kak Pah nak dan Kak Pah sedang bekerja ke arah itu.  Kak Pah nampak Tuhan sudah buka pintu untuk saya.  Insya Allah, kita akan lihat. Sesuatu yang besar, yang suatu hari nanti Kak Pah boleh katakan, Yes I Did It.  Insya Allah dalam masa terdekat ni.

Metro Ahad:  Mungkin ada rancangan lebih besar seperti buat arkib atau muzium?

Sharifah Aini:  Itu bukan perkara besar bagi Kak Pah.  Kak Pah nak tinggalkan kerja Kak Pah, suara Kak Pah.  Ini adalah apa yang dirancang.  Kahwin juga sebahagian daripada perancangan kerana Kak Pah tak boleh tinggal single selamanya sebab Kak Pah masih cantik.  Apa salahnya kalau ada jodoh, Kak Pah kahwin dengan seseorang.  Kak Pah bercakap bukan membelakangkan kuasa Allah, tetapi Kak Pah percaya dengan institusi perkahwinan.

Metro Ahad:  Kak Pah kesunyian?

Sharifah Aini:  Kadangkala ya.  Mana tidaknya, Kak Pah tak keluar.  Di sinilah Kak Pah bekerja, ke sinilah kawan-kawan datang.  I need to be loved and listen to good music.  Kak Pah banyak membaca, kat rumah ni ada tiga empat ribu buku.  Mungkin juga Kak Pah akan ke Hawaii sekitar hari jadi nanti (2 Julai).

Metro Ahad:  Saya percaya Kak Pah perlukan lelaki yang boleh peluk atau berkongsi hidup?

Sharifah Aini:  Setakat ini, belum ada lagi lelaki sesuai kerana Kak Pah tak keluar, jadi Kak Pah tak jumpa orang.  Macam mana Kak Pah nak jumpa the right person jika memerap di rumah.  Kak Pah perlu lebih berhati-hati.  Lagipun Kak Pah percaya my other half maybe on his way to my life.  Mungkin masa belum ada, mungkin jumpa ketika bercuti nanti, Kak Pah tak tahu.  Semua kerja Allah.

Metro Ahad:  Susah sangat nak tepati kriteria lelaki idaman Kak Pah?

Sharifah Aini:  Anda rasa ada orang nak Kak Pah lagi ke?  Kak Pah percaya keajaiban cinta.  Kak Pah seorang yang amat sentimental, 'incurable romantic', 'hopeless romantic'.  Kak Pah percaya dalam perkahwinan, kedua-dua pihak tidak harus ambil kesempatan ke atas satu sama lain.  Tak nak kahwin 10 tahun, kau buat hal kau, aku buat hal aku.  Kak Pah romantik, biarpun dia berumur 50 atau 60 tahun, tetapi Kak Pah masih mahu dia peluk dan cium Kak Pah.  Kak Pah suka masak kerana bagi Kak Pah itu perlu, pakaikan baju untuk dia, hidangkan makan untuk dia, biarpun Kak Pah ada pembantu rumah.

Metro Ahad:  Kak Pah sempat buat semua itu sebelum ini?

Sharifah Aini:  Ya!  Perceraian Kak Pah dengan Datuk berjalan dengan baik, kami masih rapat.  Selama lima tahun berpisah, Kak Pah belum dating lagi.  Orang tanya bagaimana Kak Pah lalui?  Sebenarnya Kak Pah seronok dengan hidup sekarang bersama anak-anak, membaca buku dan sebab itu Kak Pah ada rancangan untuk masa depan.  Kesunyian tak pernah membunuh Kak Pah sebab apabila kita bertakwa pada Allah, kita tak berasa kesunyian.  Apabila kita redha dengan keadaan itu, kita tak rasa sunyi itu.  Dekatkan diri pada Tuhan, mengadu pada Tuhan.  Kak Pah juga beruntung kerana ada ramai kawan rapat.  Bukan sebab Kak Pah artis tetapi kawan yang dah lama berkawan.  Kadangkala kami keluar, naik bot di PD (Port Dickson), Kak Pah suka berenang, tapi orang tak nampak sebab Kak Pah bawa bot tengah laut, baru terjun (ketawa).

Metro Ahad:  Selama ini Kak Pah begitu berahsia mengenai perkahwinan dengan Datuk.  Diam tak diam Kak Pah bertahan 17 tahun?

Sharifah Aini:  Sebab Kak Pah bukan jenis yang dah ambil suami orang, Kak Pah nak tayang pada media.  Kak Pah jenis yang redha dan beralah.  Yang penting Kak Pah sayang suami Kak Pah, kenapa harus Kak Pah bagi masalah padanya.  Kak Pah tak mahu itu.

Metro Ahad:  Pengalaman berkahwin dengan orang bujang dan suami orang.  Apa bezanya?

Sharifah Aini: Bezanya kahwin dengan Datuk, dia bukan saja seorang suami tetapi seorang guru, sahabat, kekasih dan dia mempunyai imej seorang bapa yang mana Kak Pah tak pernah ada.  Kak Pah tak begitu rapat dengan ayah.  Datuk ada semua, dia datang dalam satu pakej yang baik.  Ali (Bakar) muda.  Perkahwinan Kak Pah dengan dia tak menjadi kerana ada pihak-pihak yang tidak menerima kehadiran Kak Pah dalam kehidupan Ali.  Keluarganya!  Perkawinan itu menjadi susah, akhirnya Kak Pah beralah.

Metro Ahad:  Adakah kerana Kak Pah seorang artis?

Sharifah Aini:  Ya, itulah sebabnya.

Metro Ahad:  Adakah faktor lain seperti sama-sama muda atau kurang pengalaman?

Sharifah Aini:  Tiada kaitan dengan pengalaman tetapi Kak Pah tak tahan tekanan.  Anda tahu, apabila anda kena fitnah perkara yang anda tak lakukan, anda berasa jauh hati.  Tetapi dengan Datuk, tak ada masalah itu, tak ada langsung.  Kalau nak difikirkan masalah akan lebih banyak timbul sebab dia suami orang.  Tapi tak ada!  Dialah kekasih, orang yang kritik Kak Pah, dialah bapa, suami.  Dia juga romantik.  Jurang umur kami 25 tahun.  Dia berfikiran terbuka.  Jadi Kak Pah nak suami yang macam itu, lelaki yang boleh jadi kawan, boleh jadi kekasih hebat.  Kak Pah mahukan lelaki yang menerima Kak Pah seadanya.  Kak Pah pernah berkahwin, penyanyi dan ada anak.  Terima Kak Pah dalam pakej.  I still look good at my age, Kak Pah bangga dengan diri sendiri kerana Kak Pah rasa Kak Pah seorang wanita pertengahan umur yang masih kelihatan cantik dan hidup sempurna.  Kak Pah ada segalanya kecuali lelaki tetapi itu perlahan-lahanlah.

Metro Ahad:  Nampaknya Kak Pah memilih sangat?

Sharifah Aini:  Sudah tentu Kak Pah memilih kerana Kak Pah tak mahu membazirkan masa.  Kak Pah tak mahu lelaki yang membazirkan masa Kak Pah.  Kak Pah tak mahu lelaki yang ada masalah seperti maknya tak nak terima Kak Pah sebab dah kahwin dua kali, misalnya.  Terima Kak Pah seadanya.

Metro Ahad:  Bagaimana dengan umur?

Sharifah Aini:  Umur bukan perkara penting tetapi Kak Pah tak mahu lelaki terlalu muda.  Kak Pah suka lelaki tinggi, intelektual, berpengetahuan, worldly (yang banyak mengelilingi dunia), berbudaya, kelakar yang boleh membuatkan Kak Pah ketawa kerana Kak Pah juga boleh jadi lucu.

Metro Ahad:  Datuk memenuhi kriteria Kak Pah.  Macam mana boleh berpisah?

Sharifah Aini:  Kak Pah tak boleh nak cerita sebab perpisahan dengan Datuk.  Kami berceraipun tak ada masalah tapi yang perting dia lelaki terbaik yang pernah Kak Pah jumpa dalam hidup ini.