SHARIFAH AINI BERTITLE 'PUAN SRI'?

oleh Haszrul Mohamed  (HAI: 18 Julai 1998)

Pangkat dan kedudukan tidak pernah menjadi ukuran untuk biduanita negara, Sharifah Aini terus berkecimpung dalam duania seni.  Selama 30 tahun, Sharifah Aini menyanyi, dia hanya pernah dikurniakan dengan darjah Setia Mahkota Johor (SMJ).  Anugerah itu tidak membawa sebarang 'title' pada dirinya.  Namun begitu, bagi Sharifah Aini sendiri, gelaran atau pangkat bukanlah faktor utama yang dikejarnya.  Sebaliknya, Sharifah Aini berkata, dia sendiri tidak dapat untuk membayangkan jika dirinya dipanggil oleh para peminat dengan sesuatu gelaran.

"Saya tidak pernah melihat atau mahu diukur pada pangkat atau pingat.  Bagi saya, itu semua bukanlah perkara utama.  Sebaliknya, bayangkanlah kalau saya ni diberikan 'title' Puan Sri ke ... susahlah peminat-peminat nak memanggil saya dengan panggilan biasa, Kak Pah.  Selama ini, panggilan Kak Pah sudah melekat di bibir semua peminat saya.  Panggilan itulah juga yang melambangkan kemesraan antara saya dengan para peminat.  Saya jadi takut jika saya ni diberi 'title' Puan Sri ... nanti akan wujud pula jurang antara saya dengan peminat.  Nanti, saya sendiri rasa kurang selesa," kata Sharifah Aini.

 SUDAH BERSARA?

Sebagai penyanyi evergreen, Sharifah Aini tidak merasa bimbang dirinya sudah tidak sepopular dulu.  Ataupun Sharifah Aini kehilangan peminat kerana dia jarang-jarang sekali muncul di kaca TV sejak sekian lama.  Ini kerana, Sharifah Aini mempunyai kelompok peminat setianya yang tersendiri.  Oleh itu, ramai yang bertanya, sampai bilakah Sharifah Aini akan menyanyi?

"Sebenarnya, saya tidak ada had masa atau limit sampai bilakah saya akan menyanyi.  Bagi saya, bakat saya adalah anugerah dari Tuhan.  Bakat ini semakin berkembang dan bertambah matang.  Kalau dibandingkan kematangan suara saya dulu dan sekarang, rasanya, sekarang ni saya lebih bagus.  itulah sebabnya, saya berhasrat mahu jadi seorang karyawan, bukan sekadar penyanyi semata-mata," kata Sharifah Aini.

Sharifah Aini juga menafikan yang selama ini, keadaan 'low profile' dirinya membawa tanda-tanda yang dia bersara dari bidang nyanyian secara diam-diam.  Kata Sharifah Aini lagi, dengan kemunculan album barunya, Yayadan Doa Dalam Lagu yang menampilkan empat orang penerbit, Pak Ngah, S Atan, Eddie Marzuki dan Ramli MS, bukanlah sebagai sebuah album 'come back'.

"Saya akui memang agak lama juga saya low profile.  Tetapi low profile saya itu bukanlah bermakna saya sudah bersara daripada dunia nyanyian.  Sharifah Aini tidak pernah bersara daripada karier yang sudah 30 tahun saya ceburi ini.  Cuma dengan usia saya yang sudah memecah awal 40-an, Sharifah Aini bukan lagi layak menyanyi di stage-stage show.  Masa saya muncul di stage show sudah berlalu.  Saya masih lagi menyanyi.  Tetapi di majlis-majlis rasmi.  Memanglah menyanyi untuk di majlis tertutup seperti itu tidak diberikan publisiti.   Jadi, orang ramai tidak tahu yang saya ni tidak pernah berhenti menyanyi.  Saya ada niat untuk mengadakan persembahan terbuka.  Tetapi masa belum sesuai.  Oleh itu, kalau tak ada majlis korporat atau dinner show, saya duduklah kat rumah," kata Sharifah Aini yang tetap peramah seperti dulu.

RAHSIA MENGEKALKAN KECANTIKAN

Wajah Sharifah Aini masih tetap jelita seperti usia mudanya dulu.  Apakah rahsia di sebalik wajahnya yang awet muda?

Sambil ketawa, Sharifah Aini berkata, "Manalah ada awet-awet muda.  Itu semua pemberian Allah.  Saya sudah beberapa kali mengerjakan umrah.  Dan munajat saya memanglah banyak.  Termasuklah meminta ketenangan jiwa dan kesihatan yang baik.  Insya'Allah ... saya akan ke tanah suci Mekah sekali lagi pada bulan Ogos ini.  Kalau tidak ada halangan, insya'Allah, saya akan mengerjakan umrah," ucap Sharifah Aini.

STATUS PERKAHWINAN

Penampilan Sharifah Aini kali menampakkan perbezaan pada berat badannya.  Sharifah Aini sudah 'loose weight'!.  "Syukurlah kalau berat badan saya ni dah turun.  Saya memang buat exercise.  Lagipun, dalam usia saya ni, kesihatan perlu diutamakan.  Bukannya lagi nak nampak cantik ... itu semua dulu kala.  Dalam hidup ni, saya mahukan ketenteraman jiwa.  Saya juga sering mengucap syukur kepada Tuhan dalam segala pemberian-Nya.  Prinsip hidup saya cuma satu ...  Segala apa yang jadi ke atas diri kita janganlah dianggap sebagai satu musibah.  Sebaliknya, anggaplah ia sebagai satu rahmat.  Jadi, apa juga masalah yang menimpa kita, insya'Allah akan dapat mengatasinya dengan sebaik mungkin," ujar Sharifah Aini.

Status diri Sharifah Aini sering menjadi teka-teki.  Selepas gagal dalam perkahwinan pertamanya dulu dengan promoter Ali Bakar, para peminat Sharifah Aini hanya tahu yang dia mempunyai seorang anak tunggal bernama Aliff.  "Saya tidak mahu memberikan sebarang komen tentang soalan status itu.  I'm too old for all these ...  Rasanya lebih baik dibiarkan begitu.  Tunggulah ... kalau tiba masanya, mungkin suatu hari nanti, saya akan ceritakan segala-galanya pada HAI.

"Aliff dah besar.  Dia seorang anak yang baik dan patuh pada nasihat.  Sekarang ni, Aliff dah berusia 16 tahun lebih.  Seperti juga anak-anak orang lain, saya mahu melihat Aliff berjaya dalam hidupnya.  Saya tidak pernah mengongkong anak saya.  Saya tidak pernah juga tentukan hala tuju dan masa depannya.  Apa juga pilihan yang dia ingin lakukan, sebagai seorang ibu, saya berikan sokongan," jelas Sharifah Aini.