SHARIFAH AINI BAWA ANAK-ANAK BERSEMBAHYANG TERAWIH DAN MENGAJI DI BULAN RAMADAN

oleh Hamisah Hassan  (HAI: 11 Disember 1999)

Sesetengah artis mempunyai pelbagai cara menyambut bulan Ramadan.  Ada yang mahu berehat daripada menerima sebarang tawaran menyanyi ataupun berlakon di bulan yang mulia ini malahan ada juga yang memberi tumpuan pada amal ibadat.  Bagi biduanita Sharifah Aini, bulan Ramadan ini disambutnya dengan caranya yang tersendiri.  Meskipun sibuk dengan rakaman album terbarunya sempena memasuki tahun baru alaf baru ini, Sharifah Aini tetap tidak lupa menjalankan kewajipan sebagai umat Islam di bulan Ramadan.

"Pada bulan puasa, saya tetap masuk studio rakaman bagi rakaman lagu-lagu untuk album terbaru saya.  Album kali ini berbeza.  Semuanya baru dan saya betul-betul nak buat perubahan pada lagu-lagu terbaru saya khusus untuk pada peminat muda saya.  Tetapi apa saja amalan yang kita lakukan di bulan puasa adalah perkara peribadi yang tidak perlu diceritakan pada semua orang.  Tetapi kebiasaannya, selepas berbuka puasa, kami anak-beranak akan sama-sama bersembahyang terawih dan mengaji al-Quran.  Dan pada puasa yang ke 20 pula, saya dan anak-anak tak akan tidur malam untuk majlis qiamullail.   Fasal masakan pula, semuanya simple.  Tetapi anak-anak saya sukakan nasi beriani masakan saya, juga soto Johor, mi rebus dan laksa Johor.  Mengenai persiapan Hari Raya pula, saya dan anak sukakan yang serba sederhana," jelas Sharifah Aini sewaktu ditemui di majlis Seri Dewi yang khusus diadakan bagi meraikan ulangtahun ke 30 dia bernaung di bawah syarikat rakaman EMI.

Majlis yang turut dihadiri oleh sebilangan besar wartawan hiburan serta para peminat setia dan rakan-rakan rapatnya itu telah diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur, pada malam 6 Disember lalu.  Di majlis yang sama, pihak EMI turut menayangkan gambar-gambar Sharifah Aini dari kecil hingga kini serta program-program hiburan sepanjang 30 tahun penglibatannya sebagai anak seni.  Sharifah Aini turut menghiburkan tetamu dengan lagu-lagu daripada album TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA dan juga album SERI DEWI iaitu Hiburkanlah Hatiku, Jalak Lenteng, Bunga Tanjung, Di Malam Persandingan, Dekatlah Padaku, Hapuslah Airmatamu dan Hati Yang Terluka.

KONSERT SOLO DI SINGAPURA

Sharifah Aini mempunyai sebab untuk gembira sempena ulang tahun ke 30 dia bernaung di bawah EMI.  Sebabnya, Sharifah Aini menjadi artis Asia pertama yang akan mengadakan konsert solo dengan diiringi orkestra Simfoni Singapura di Victoria Concert Hall, Singapura pada 8 Februari 2000.  "Saya amat gembira kerana terpilih sebagai penyanyi Asia pertama untuk mengadakan konsert sambil diiringi sekumpulan pemuzik profesional dari seluruh dunia.  Saya gembira, sebab selepas 30 tahun saya masih lagi diterima peminat dan masih lagi dijemput untuk menyanyi di merata-rata tempat.   Konsert ini adalah antara hadiah istimewa sempena ulangtahun ke 30 saya bersama EMI," ujar Sharifah Aini yang akan mendendangkan sebanyak 20 buah lagu Melayu dan Inggeris dalam konsertnya itu nanti.