Sharifah Aini Hasilkan Album Ke-98 'Gebang' dikendalikan Roslen Fadzil (Berita Minggu: Bi Pop, 19 November 2006) |
Memang ada jalan pintas untuk menjadi artis rakaman tetapi hakikat yang jelas, tak mudah untuk seseorang itu mempertahankan gelaran dan kualiti dirinya. Kalau orang tanya siapakah satu-satunya artis Melayu yang dapat survive paling lama dalam industri rakaman tempatan dan setia hanya pada satu syarikat rakaman saja, dia tidak lain daripada Ratu Seni Suara – Datuk Sharifah Aini. Setiap tahun kita dapat melihat kemunculan ramai bakat baru. Melalui pelbagai pertandingan dan anugerah hiburan, ramai bintang muda cuba mencuri perhatian tapi yang selalu terjadi, expiry date penguasaan mereka sungguh singkat. Lepas satu single atau kalau bernasib baik lagi satu album, ada yang terus tenggelam dan tidak timbul-timbul lagi. Kalau dikumpul-kumpul nama-nama artis itu, entah-entah boleh muat satu Yellow Pages! Begitulah bezanya artis zaman dulu yang mencari tapak bermula dari peringkat paling bawah dan seterusnya membina nama dengan jujur, bersungguh-sungguh dan berdisiplin. Bayangkanlah, selama 39 tahun dengan EMI Singapura dan Malaysia, Sharifah Aini atau Kak Pah sudah punya 97 album rakaman mahupun koleksi terbaik. Bukankah itu satu lagi rekod baru untuk penyanyi Malaysia? Penguasaan lagu Kak Pah merangkumi bahasa Melayu, Inggeris dan Arab manakala genre lagunya memang pelbagai. Dari pop, asli, joget, ghazal, inang, keroncong, zapin, deli hinggalah ke nasyid, semua rentak lagu pernah dirakamnya. Malah dalam album Breaking The Silence yang lalu, Kak Pah dengan suara emasnya itu mengabadikan bacaan beberapa ayat suci al-Quran termasuk terjemahannya. Ia tak pernah dibuat mana-mana penyanyi wanita Melayu sebelum ini bukan? Oh ya, kenapakah tiba-tiba hari ini saya bergebang mengenai Sharifah Aini? Kalau ada yang mengikut penulisan saya sejak dulu lagi, anda tentu perasan saya biasanya menulis cerita Kak Pah kalau ada sesuatu perkembangan yang relevan sama ada dengan album terbarunya atau konsert besarnya. Justeru apa yang dapat saya khabar di sini, khas untuk semua peminat Kak Pah di luar sana, artis pujaan anda itu sebenarnya sedang giat membuat persiapan untuk melangkah ke studio, bagi menghasilkan albumnya ke-98. Hebat bukan? Jadi kalau ada yang berkata, Sharifah Aini dah angkat bendera putih selepas apa yang menghimpitnya selama ini, mereka semua silap. Sebaliknya, kasih Kak Pah terhadap dunia seni tak pernah hilang dan tekanan biasanya membuatkan dia menjadi lebih kuat. Itu belum melihat penampilannya sekarang yang saya tengok makin cantik. Nyata Kak Pah dah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk kembali ke studio. Tapi buat masa ini saya sengaja rahsiakan dulu apakah bentuk album Kak Pah itu. Anda mungkin dapat mengagak tapi selepas berbual dengannya, ia lebih hebat daripada apa yang pernah saya fikirkan. Remang sekejap bulu roma ini apabila mendengar semangat dan konsep album itu. Memang idea dan pemikiran Kak Pah selalu grand, macam orangnya juga! Apapun, biarlah Kak Pah sendiri beri lampu hijau untuk wartawan mengumumkannya. Eloklah, kalau benda sudah hampir menjadi, barulah kita buat hebahan besar-besaran. Saya pun setuju sebab memang ada orang dalam industri ini yang jenis suka potong jalan. Tup, tup dengar, si polan itu terus kebas idea orang lain. Penat orang memerah otak, dia senang-senang buat cetak rompak! Yang boleh saya cakap, dua komposer dan penggubah lagu terhebat sudah diberikan tanggungjawab untuk mengemudi projek album Kak Pah itu. Kak Pah pula kalau dia mahu, dia sanggup keluarkan wang sendiri untuk membiayai albumnya. Kiranya, dia tidak suka hidup atas tajaan orang lain kerana dia bukan opportunist. Jadi sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya dalam sebulan dua lagi, insya-Allah. Pesan Kak Pah, doakan yang terbaik buat dirinya. Jumpa lagi! |