BERSEMADI SI BUNGA TANJUNG

(Sinar Harian Ahad, 6 Julai 2014)

Bunga tanjung putih berseri

Kembang jelita harum baunya

Gagah sungguh pohonmu berdiri

Tegap rimbun gagah perkasa

Harum jelita si bunga suci

Idaman dara gadis rupawan

Sangat sombongnya bungamu menari

Melenggang-leggok dihujung dahan

Bait-bait lagu Bunga Tanjung ini begitu persis dengan si penyanyinya.  Dialah 'si bunga tanjung' itu.  Harum mewangi perindah industri seni tanahair.  Dia gagah dan tegap terus berdiri menempuh setiap onak ranjau sebagai anak seni.  Dia umpama si gadis rupawan, disenangi setiap insan.  Dialah biduanita Negara Datuk Sharifah Aini.  Pemergiannya awal pagi semalam, benar-benar mengejutkan.  Biarpun berkali-kali mendapat rawatan dek penyakitnya, namun tiada siapa menduga, penyanyi hebat ini pergi menghadap Maha Pencipta.

Dia dilihat begitu kuat melawan setiap sakit yang datang.  Sementelah, tidak mahu berkongsi banyak kisah perit sakitnya pada umum, Sharifah Aini tidak pernah mengeluh dengan penyakitnya itu.  Kini, hanya lagu menjadi peneman, Sharifah Aini atau lebih mesra dipanggil Kak Pah dilahirkan pada 2 Julai 1953 di Ngee Soon, Singapura.

Memulakan langkah dalam bidang nyanyian setelah memenangi pertandingan Bintang RTS di Singapura pada 1968 menerusi lagu Tiga Malam, beliau kemudiannya disunting syarikat rakaman EMI.  Album pertama, Seri Dewi Malam berjaya meletakkan nama Sharifah Aini sebaris nama penyanyi tersohor ketika awal 1970-an.

Anak kepada pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas ini, terus bersinar apabila menerima banyak undangan dan rakaman album.  Namanya bukan sahaja terkenal di Malaysia malah tersohor di beberapa negara serantau Asia seperti Jepun, Korea, Hong Kong, China, Singapura, Brunei dan Indoensia.

Bakatnya semakin menyerlah apabila mendapat sentuhan penggubah lagu terkenal Datuk Ahmad Nawab.  Mendendangkan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab seperti Hapuslah Airmatamu dan Seiring Sejalan, Sharifah Aini terus berdiri teguh dalam pentasnya sendiri.  Lagu Seiring Sejalan dinyanyikan bersama mendiang Broery Marantika menjadi siulan peminat Malaysia dan Indonesia sekaligus melonjakkan namanya dalam industri muzik tanahair dan luar negara.

Nyanyiannya terus berkembang di peringkat antarabangsa apabila Sharifah Aini mengadakan konsert besar di beberapa negara di Asia dan Timur Tengah seperti Kuwait.  Beliau turut bekerjasama dengan beberapa artis lelaki tanahair seperti Latiff Ibrahim, Herman Tino dan Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Antara konsert yang pernah di adakan termasuklah Konsert Simfoni Ghazal Bersama Datuk Sharifah Aini dan Muzika Arabia Bersama Datuk Sharifah Aini.  Sepanjang kerjayanya, Sharifah Aini merupakan satu-satunya penyanyi yang pernah merakamkan album terbanyak iaitu 93 buah album termasuk tujuh album Inggeris.

Antara lagu popularnya adalah Hapuslah Airmatamu, Bunga Tanjung, Kau Tinggi Di Awan Biru dan Seri Dewi Malam.  Tidak hanya itu, lagu-lagu hari raya seperti Tibanya Syawal, Minal Aidil Wal Faizin dan Nostalgia Aidilfitri menjadi siulan apabila menjelang lebaran.

Selain menyanyi, beliau juga berbakat besar dalam bidang lakonan.  Membintangi beberapa buah filem seperti Bintang Pujaan, Sumber Ilhamku, Diva Popular dan kemunculan terakhirnya dalam filem Penanggal pada 2011, Sharifah Aini tidak pernah mengecewakan peminatnya.

Dianugerah Datuk

Dengan pelbagai sumbangannya dalam industri seni, anak didik Datuk Ahmad Nawab ini dianugerahkan Pingat Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Di Pertuan Agong, Sultan Syed Sirajjudin Putra Jamalullail pada 2003 dan menerima gelaran Biduanita Negara pada 2006.  Walaupun bergelar Datuk, beliau tetap sama, tidak pernah lokek ilmu dan sentiasa berkongsi ilmu yang ada.  Beliau juga antara penyanyi yang sering dinanti-natikan kemuculannya dalam setiap program.  Nyanyiannya yang memukau membuatkan yang mendengar jadi terpesona.

Pahit Manis Kehidupan Peribadi

Sharifah Aini pernah mendirikan rumahtangga dengan penganjur konsert, Ali Bakar pada 1981 setelah menjalin hubungan cinta selama enam tahun.  Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Aliff Omar.  Namun perkahwinan itu tidak kekal, dan pasangan ini bercerai setahun kemudian.  Penyanyi ini bagaimanapun menerima lamaran seorang ahli korporat bergelar Datuk dan berkahwin buat kali kedua, namun tiada siapa menduga mahligai yang diimpikan bahagia musnah pada 1992.

Walaupun membesarkan anak sendirian, beliau cekal mengharungi kehidupan solonya.  Sharifah Aini tidak pernah mengabaikan tanggungajawabnya terhadap anaknya.  Aliff Omar mendapat pendidikan agama di Madinah selama 11 tahun.  Sharifah Aini juga pernah memberi ucapan selamat ulangtahun anaknya yang ke 31 pada tahun lalu dan berharap anak tunggalnya itu mencapai cita-cita menjadi pendakwah berjaya.  Menerusi kata-katanya itu, wanita cekal ini bersyukur dikurniakan Aliff sebagai anak yang bertanggungjawab jauh sekali meninggi suara kepadanya.

Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Al-Fatihah.

PM, TPM Suara Kesedihan Di Atas Pemergian Biduanita Negara

KUALA LUMPUR Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa sedih di atas pemergian Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini yang meninggal dunia awal hari ini.  "Saya sedih atas pemergian Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini.  Semoga ditempatkan dalam kalangan yang beriman.  Al-Fatihah," katanya menerusi akaun Twitternya di sini.

Sharifah Aini yang menyambut hari lahir ke-61 pada Rabu lepas, meninggal dunia kira-kira pukul 1.26 pagi ini di sebuah hospital swasta di Damansara, di sini kerana jangkitan paru-paru.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Sharifah Aini.  Muhyiddin menyifatkan pemergian Sharifah Aini atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Pah, sebagai satu kehilangan yang tiada pengganti dan berharap keluarganya sabar menghadapi berita sedih itu.  Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, Al-Fatihah," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ucapan takziah untuk keluarga Allahyarham turut disampaikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.  "Salam takziah buat keluarga Biduanita Negara Kak Pah.  Jasa besar dalam dunia seni tanah air.  Al-Fatihah," Hishammudin berkata menerusi twit terbaru di laman sosial Twitternya.