PERJALANAN HIDUP SHARIFAH AINI (1953-2014) oleh Syed Mussaddad Syed Mahdi (Mingguan Malaysia: Pancawarna, 13 Julai 2014) |
||||||
Pada dinihari 5 Julai lalu selepas tiga hari melewati usia 61 tahun, Sharifah Aini Syed Jaafar kembali menemui Tuhannya. Kepulangan biduanita hebat ini nyata menyentak dan secara tiba-tiba kita terasa kehilangan seeorang yang selama ini begitu berjasa besar dalam industri hiburan di negara ini. Tanpa berselindung, kita tidak mempunyai banyak penyanyi sehebat Sharifah Aini tetapi dibayangi ranjau duri perjalanan seninya yang pelbagai. Sharifah Aini bukan lahir dalam lingkungan keluarga seni dan ditatang dalam dulang emas. Lahir dalam keluarga yang sederhana cuma bezanya beliau bertekad untuk mengubah hidup kepada yang lebih baik. Nyata yang terlintas dihadapannya melalui bakatnya dalam bidang nyanyian. Apabila menyanyi menjadi pekerjaan, Sharifah Aini melakukannya dengan penuh kesungguhan, terus mengutip ilmu demi kelangsungan pekerjaannya. Kerana kesungguhan itulah, Sharifah Aini mampu bertahan selama hampir setengah abad sebagai penyanyi pada garis geraf yang tidak pernah menjunam. Beliau bukan sahaja mampu mengekalkan populariti tetapi kualiti suaranya mempesona dan memukau tatkala berdiri di depan khalayak sebagai penyanyi. Sharifah Aini menyanyi selama 46 tahun, tentunya bukan satu garis masa yang pendek. Dalam tempoh itu pelbagai ranjau dan onak duri telah ditempuhinya. Tetapi beliau tidak pernah sesekali sesal dengan apa yang telah berlaku kepadanya, malah menganggap perjalanan hidupnya dalam dunia artis sebagai pengalaman untuk menjadi lebih baik. Walaupun Sharifah Aini terbukti seorang penyanyi yang hebat dan kekal popular tetapi Sharifah Aini tetap sedar bahawa kerjayanya suatu ketika dahulu banyak bertentangan dengan agama, baik soal berpakaian, penampilan dan kepatuhan sebagai seorang Islam, terabai. Tetapi semuanya segera diperbaiki. Tanpa mengundurkan diri daripada dunia nyanyian, penyanyi berstatus Biduanita Negara ini membuktikan beliau tetap popular dan hebat sekalipun tidak menghina agamanya seperti kebanyakan artis muda sekarang. Teladan yang ditunjukkan oleh Sharifah Aini diharap boleh direnungi dengan mata fikir yang waras bahawa siapa pun mereka, tidak ada alasan untuk membolehkan atau mendapat kelonggaran melanggar perintah agama atas nama seni yang diceburi. Sharifah Aini telah meninggalkan teladan yang baik dan tentunya menjadi lebih baik kalau artis generasi baharu mengambil iktibar daripada Sharifah Aini. KONSERT AMAL Selain menjaga amal ibadah, Sharifah Aini juga terkenal sebagai penyanyi yang seringkali terlibat dalam banyak kerja amal. Beliau menggunakan suara lunak merdu untuk mengumpul dana bagi membantu berbelas-belas sekolah tahfiz di sekitar Lembah Klang yang sudah dianggap sebagai perkerjaan tetapnya. Baginya, anak-anak tahfiz sudah dianggap sebagai anak sendiri. Segala sumbangan sejak bertahun-tahun lamanya, Sharifah Aini juga menganggap mereka (anak-anak tahfiz) sebagai pelaburan, akhiratnya. Meskipun tiada rekod namun ada yang menyatakan beliau telah membuat lebih 2,000 persembahan amal sepanjang hayatnya. SEJARAH AWAL Sharifah Aini dilahirkan pada 2 Julai 1953 di Singapura tetapi dibesarkan di Johor Bahru oleh datuk dan neneknya. Sejak usia kecil, beliau sudah menunjukkan kebolehan luar biasa meskipun kehidupannya serba sederhana. Kehidupan wanita ini berubah tatkala berjaya menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura ketika berusia 15 tahun. Suara merdunya mendendangkan lagu 'Tiga Malam' terus merubah nasibnya. Meskipun mengambil masa dua tahun untuk menjadi artis rakaman sepenuhnya, pertemuan Sharifah Aini dengan Datuk Ahmad Nawab merubah kehidupan penyanyi ini apabila album pertamanya yang berjudul Seri Dewi Malam dikeluarkan pada tahun 1970. Bakat nyanyiannya mula dikenali ramai sehinggalah menaikkan nama penyanyi ini. Kepercayaan orang terhadap bakatnya diteruskan dengan kelahiran beberapa album lain termasuklah Kekasih Pujaan, Aku Dan Dia, Prasaanku dan banyak lagi. Tidak dinafikan ketika era 1970an nama Sharifah Aini begitu popular meskipun beliau masih baru. Suara lemak merdu, ditambah dengan kemanisan sang pemilk suara emas menambahkan lagi 'saham' penyanyi ini. Sejak melahirkan album Seri Dewi Malam, Sharifah Aini tidak menoleh ke belakang lagi. Suaranya terus didambakan oleh jutaan peminat dan terhasil album-album lain sehinggalah yang terakhir pada 2006. Sepanjang hidupnya, beliau telah menghasilkan 135 buah abum yang akan tersimpan menjadi khazanah paling berharga yang pernah dilahirkan oleh industri muzik tanahair. Jika dihitung, sebahagian besar albumnya diterbitkan oleh syarikat rakaman EMI. Tidak ada siapa menyangkal 'jodoh' Sharifah Aini bersama syarikat rakaman EMI mampu bertahan cukup lama. Pastinya tempoh 38 tahun bersama EMI menjadi antara kenangan manis buat penyanyi ini. Paling manis apabila nama Sharifah Aini tercatat di dalam Malaysia Book Of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman. Sharifah Aini bagai senama dengan EMI. Sekiranya syarikat itu tidak ditutup sudah tentu Sharifah Aini lebih lama lagi menjadi keluarga EMI. Kontrak Sharifah Aini dengan syarikat tersebut juga tamat bersama penutupan secara rasmi EMI di Malaysia kira-kira enam tahun lalu. Kemuncak kepada kerjaya Sharifah Aini apabila dianuegarahkan gelaran Biduanita Negara pada tahun 2006 bagi menghargai jasa dan sumbangannnya kepada industri seni. ANUGERAH Jika ada yang masih ingat Sharifah Aini kerap membuat persembahan baik di dalam negara dan juga di luar negara. Banyak kosert solo penyanyi ini menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan. Beliau juga pernah menjayakan Konsert Simfoni Ghazal Bersama Datuk Sharifah Aini di Istana Budaya dan persembahan di Victoria Concert Hall, Singapura pada awal tahun 2000 dan puluhan konsert lain di luar negara. Sharifah Aini dianugerah Pingat Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Selain itu beliau juga banyak menerima anugerah dalam bidang seni termasuklah Penghibur Terbaik, Anugerah Seri Angkasa (1972-1977), Penghibur Wanita Popular, Anugerah PAPITA (1970-1976 & 1979) dan Anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Hapuslah Airmatamu pada Festival Filem Malaysia (1977). Anugerah lain termasuklah Anugerah Lagu Terbaik (Anugerah Lagu Asia Pasifik 1975), Anugerah Penghibur Terbaik Asia Pasifik (Anugerah Lagu Asia Pasifik 1975), Anugerah Biduanita Sepanjang Zaman (Darjah Kebesaran Sultanah Kedah 2001) dan Anugerah Tertinggi Biduanita Negara (Anugerah Kecapi 2006). PERKAHWINAN Benar kata orang, kita hanya merancang tapi Tuhan yang menentukan. Pada tahun 1981, Sharifah Aini bertemu jodoh dengan Ali Bakar dan dikurniakan seorang anak lelaki, Aliff Omar Ali. Tetapi perkahwinan tersebut gagal bertahan lama. Hampir setahun berumahtangga akhirnya mereka bercerai. Pun begitu kekosongan hati Sharifah Aini akhirnya kembali terisi apabila dia berkahwin dengan seorang lelaki berstatus Datuk beberapa tahun selepas itu. Sekali lagi jodoh bersama lelaki tersebut tidak lama apabila mereka disahkan bercerai awal tahun 1990-an. Mungkin sudah ditakdirkan untuk wanita ini hidup sendirian sehingga ke akhir hayatnya. Walaupun sudah bercerai tetapi hubungan dengan Ali Bakar tetap baik. Pada akhir 19980-an, Ali Bakar menerusi syarikatnya Box Office pernah merancang menerbitkan filem biografi bertajuk 'Sharifah Aini' yang menyorot kehidupan penyanyi ini di sebalik tabir. Bagaimanapuin perancangan penerbitan filem tersebut tidak diteruskan oleh Ali Bakar. AMANAT Berikut ialah beberapa petikan temubual Profesor Muhaya dengan Sharifah Aini menerusi rancangan Celik Hati Prof. Muhaya yang disiarkan menerusi TV9 penghujung tahun 2013. Transkripsi disiarkan tanpa sebarang suntingan. Secara ikhlasnya saya tak pernah kesal dengan apa yang telah saya lalui. Pada saya pengakhir kita itu sebenarnya, kita nak berakhir dengan khusnul khatimah, kita nak berakhir dengan baik, masyaAllah. Mudah-mudahan segala-gala berlaku dengan baik. Kerana kita melalui satu fasa dalam pengalaman, masa saya mula menyanyi kita semua muda dan di zaman 70-an kita tak nampak ramai orang berhijab kemudian moved to 80's pun begitu juga. Bila masuk 90 dan 2000 saya merasa malu. Bila saya menyanyi saya bertanya diri sendiri atas pentas, kenapa aku tak tutup aurat aku. Setiap kali saya balik menyanyi, saya angkat wig saya, saya taruk atas meja ... bila lagi, bila? Kekesalan tu dah banyak. Saya ada permintaan kepada stesen TV, kawan-kawan di media, kalau nak keluarkan gambar tolong jangan keluarkan (gambar) dulu yang tak berhijab. Kesiankan kita semua, kami semua dan move on ke jalan Tuhan. Kita tak kata kita baik, tapi kita nak jadi baik. Kita nak dekat dengan Allah, setiap hari kita mencari keredaan Allah. Setiap hari, hati ini Allah sahaja yang tahu. Kalau 20 tahun sudah, waktu sembahyang ... nantilah 5 minit, nantilah 10 minit. Perubahan yang paling nyata, saya tak malu merendahkan diri untuk memberitahu saudara-suadara saya di luar sana terutamanya kawan-kawan artis, janganlah lambatkan waktu solat. Bila masuk sahaja waktu, saya memang dah siap dah dengan wuduk. Saya tak nak tinggal, saya tak nak lambat. Saya takut, in between kalau saya mati, 5 minit can be lot of different. Pada Kak Pah (masa) paling berharga apabila melahirkan anak. Bukan nama, bukan populariti, bukan sanjungan, bukan peminat, tapi melahirkan anak. Dan saya adalah insan bertuah kerana Alhamdulillah, Aliff berada di Madinah selama sebelas tahun belajar dan pada saya hanya itulah sahaja harta yang saya ada. Dalam perbincangan saya dengan Aliff kalau dia balik cuti, saya selalu bercakap dengan dia. Doa Mami mudah-mudahan Mami mati dekat pangkuan Aliff, kalau Allah izinkan Alifflah yang jadi imam untuk sembahyangkan jenazah Mami. Itulah harapan saya. Kalau dengan Aliff, saya selalu minta maaf, minta ampun. Mami bukan ibu yang sempurna. Di waktu muda, Mami mengejar cita-cita, mencari rezeki pusing the whole country. Because my plan to have, give him a good life. Nak menyediakan untuk masa depan dia. So kalau dalam masa itu, Mami tertinggal apa yang patut Mami buat, Aliff maafkan Mami. I do that all the time, even sampai today.
|