PERmintaan sharifah aini tertunai

oleh Tengku Suzana Raja Hamat, Mohd Hafizi Ahmad & Najiy Jefri  (Kosmo!: Semasa Ahad, 6 Julai 2014)

anak tunggal jadi imam solat jenazah biduanita negara yang meninggal dunia semalam

KUALA LUMPUR Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, 61, meninggal dunia semalam selepas beberapa hari meluahkan perasaan kepada rakan-rakannya di laman sosial Facebook bahawa ajalnya sudah hampir sampai.  Jenazah Biduanita Negara itu yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail pukul 11.30 pagi dan disemadikan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.  Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pukul 1.26 pagi setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Pakar Damansara sejak Selasa lepas kerana kesukaran bernafas.

Apa yang pasti, permintaan terakhir Allahyarham mahu disemadikan bersebelahan kubur sahabat baiknya, Allahyarham Hasanah yang meninggal dunia tahun lalu akhirnya tertunai.  Allahyarham yang meninggal dunia tiga hari selepas hari ulang tahun kelahirannya pada 2 Julai lalu turut meminta kain kafan penutup mukanya tidak diselak, gambar jenazahnya tidak dirakamkan untuk tatapan umum dan anak tunggalnya, Aliff Omar Ali menjadi imam solat jenazahnya.

Pemergian Allahyarham sangat dirasai dan antara rakan artis yang hadir di Masjid At-Taqwa untuk memberi penghormatan terakhir ialah penyanyi sengkatan Allahyarham iaitu Uji Rashid, Hail Amir, Jeffri Din, Datuk DJ Dave, Nash, Herman Tinio, Mas Omar dan Datuk Khadijah Ibrahim.  Turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Datuk Hattan, Rohana Jalil,  Zaiton Sameon, Azlina Aziz, Nassier Wahab, Datuk Redzuawan ismail atau Chef Wan, Ellie Suriati, Aizat, Misha Omar, Joe Flizzow, Datin Paduka Umie Aida dan bekas suami Allahyarham, Ali Bakar.

Aliff Omar meminta semua pihak menghalalkan semua kesilapan Sharifah Aini dan berdoa untuk arwah ibunya.  "Terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat mengenai arwah.  Saya harap semuanya dapat mendoakan arwah dan mendoakan kami sekeluarga tabah menghadapi dugaan ini," katanya.

DJ Dave yang juga Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) turut menyampaikan sumbangan khairat kematian sebanyak RM3,000 kepada keluarga Allahyarham.

Sementara itu, Perdana Manteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa sedih di atas pemergian Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini yang meninggal dunia awal pagi semalam.  "Saya sedih atas pemergian Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini.  Semoga ditempatkan dalam kalangan yang beriman.  Al-Fatihah," katanya menerusi akaun Twitternya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman turut merakamkan ucapan takzah kepada keluarga Allahyarham.  Muhyiddin menyifatkan pemergian Sharifah Aini, atau Kak Pah, sebagai satu kehilangan besar kepada industri hiburan tanah air.  "Sumbangan Allahyarham dalam mengangkat bidang seni negara amat besar dan tiada duanya, dan pemergiannya adalah suatu kehilangan yang tiada pengganti.  Semoga keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan ini.  Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diletak dalam kalangan orang-orang yang solihin lagi beriman.  Al-Fatihan," katanya.

  Apa Kata Mereka

"Sampai sekarang saya masih tidak percaya dia sudah meninggalkan kita buat selama-lamanya kerana dia seorang wanita yang tabah dan kuat melawan kesakitannya." Uji Rashid

"Dunia seni kehilangan seorang legenda yang berbakat besar dalam bidang seni dan kehilangan itu sukar dicari ganti." Hail Amir.

"Sumbangan beliau kepada dunia seni tanahair sukar untuk diukur kerana terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan sepanjang penglibatannya di dalam industri seni hiburan." Ali Bakar

Artikel lain yang berkaitan:

  Perginya Seniwati Sejati (Kosmo: Semasa Ahad, 6 Julai 2014)