TERUS MELANGKAH

oleh Serimah Mohd Sallehuddin  (Berita Harian: Jumaat, 21 Julai 2006)

Tiada sebab untuk meletakkan titik noktah dalam karier nyanyian selagi perjuangannya dalam bidang seni masih diterima.  Tidak lama lagi genap 39 tahun, penyanyi bersuara lemak merdu Datuk Sharifah Aini melayari kehidupan sebagai anak seni.  Jemu?   Perkataan itu tidak pernah diluahkan dari bibir manisnya.  Sebaliknya dia gembira kerana dalam usia lebih setengah abad perjuangannya masih didambakan peminat.  Apa lagi di saat sedang mengharungi dugaan paling besar dalam kalendar hidupnya, peminat tetap terus memberikan sokongan dan kekuatan untuk dia menepis semua dugaan itu.

Malah, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah bersyukur lantaran dugaan itu rakannya semakin bertambah.  Bukan sekadar peminat tetapi mereka umpama sebuah keluarga yang sering mengambil berat antara satu sama lain.  Kala anak teruna kesayangannya Mohd Alif Ali atau Alif berada jauh di perantauan, peminat dan sahabat baiklah yang menjadi pemecah kesunyian.  Mereka juga sangat bermakna dalam hidupnya selepas keluarga.  "Kak Pah percaya kepada persahabatan dan Kak Pah juga tidak pernah merasa seperti diva.  Kak Pah hidup macam orang biasa kerana itu Kak Pah mempunyai ramai kawan.  Walaupun Kak Pah melalui pelbagai dugaan dan rintangan, mereka tidak pernah lari malah Kak Pah rasa jumlah kawan baik Kak Pah semakin bertambah," kata penyanyi itu yang baru saja meraikan ulang tahunnya pada tanggal 2 Julai lalu.

Cukup istimewa apabila anak kesayangannya Alif berada di sisi ketika menyambut hari bermakna dalam hidupnya.  Ramai teman rapat menghadiri majlis sambutan hari jadinya dan banyak juga hadiah yang diterima antaranya tas tangan, aksesori, alat solek dan paling istimewa pakej percutian daripada seorang rakan.  Penyanyi yang popular dengan lagu Seri Dewi Malam itu bersyukur umurnya bertambah setahun lagu.  Dan dia hanya memohon kepada Tuhan agar hidupnya, keluarga serta teman karib dilimpahi kesejahteraan.  Malah, setakat ini dia bersyukur kehidupannya dipermudahkan.

ALBUM BARU BAKAL MENYUSUL

Akhir-akhir ini, nama Kak Pah agak sepi dari kerlipan cahaya kamera.  Penyanyi itu mengakui agak 'perlahan' sejak kebelakangan ini.  Hampir 39 tahun dalam arena ini, sudah cukup limpahan populariti yang dikecapinya sebelum ini.  Penyanyi itu lebih selesa untuk tidak terlalu menonjol jika tiada sebarang perkara berkaitan karier yang ingin dikongsikan bersama peminat.

"Kalau tidak ada apa-apa lebih baik Kak Pah berdiam diri.  Memang ramai peminat dan sahabat yang bertanya mengenai album dan perkembangan terbaru Kak Pah.  Untuk album terbaru Kak Pah memilih merakamkan lagu dalam bahasa Inggeris.  "Ada lagu lama yang pernah Kak Pah rakamkan serta lagu baru.  Tidak lama lagi Kak Pah akan mula sibuk di studio dan kami sekarang menantikan penerbit yang pernah bekerjasama dengan Kak Pah sebelum ini.  Kak Pah akui pasaran album sekarang tidak begitu memberangsangkan.  Namun, Kak Pah mempunyai ramai peminat setia yang memang menantikan kemunculan album terbaru dari Kak Pah," katanya.

Memandangkan Ramadan akan tiba dua bulan lagi, penyanyi yang baru muncul dengan album kerohanian Bukan Cinta Biasa awal tahun ini akan merakam album berunsur demikian dengan lebih banyak surah ayat suci al-Quran.  Dijangkakan album berkenaan akan menemui peminat terlebih dulu sebelum Kak Pah memberi tumpuan untuk album Inggerisnya.  Sharifah amat tidak bersetuju jika ada pihak menganggap kehidupan sebagai anak seni tidak punya masa depan.  Buktinya, dia sendiri hidup dengan hasil menyanyi dan masih utuh hingga kini.  Akuinya, dia amat geram seandainya ada yang memandang hina anak seni.

Demi menghargai peminatnya, Kak Pah merancang konsert hebat buat peminatnya.  Biarpun masih dalam peringkat awal perbincangan, Kak Pah sudah memikirkan untuk menyelitkan beberapa segmen menarik, khusus buat peminat yang membesar bersama lagunya sejak era 1970-an.

SEDIA MENYAMBUT MENANTU

Hasrat setiap ibu bapa, selepas melahir, membesar dan mendidik anak-anak dengan ilmu agama dan dunia secukupnya, kini harapan orang tua tentulah mahu melihat anak-anak mereka membina keluarga bahagia.  Anak lelaki kesayangannya, Alif kini berusia 24 tahun.  Meskipun masih menuntut di Madinah, Kak Pah tidak akan menghalang sekiranya Alif ingin berumah tangga jika sudah ada pilihan hati.

Sebagai ibu, Kak Pah mahu anaknya gembira, justeru tidak kisah siapa saja pilihan hati anak teruna kesayangannya itu.  "Tahu sajalah mereka yang belajar agama ini bukannya tahu dan ada masa untuk ber'dating-dating'.  Kak Pah tidak kisah kalau satu hari nanti Alif menyuarakan hasrat hati untuk menamatkan zaman bujangnya.  Siapa saja yang dia pilih Kak Pah tidak kisah.

"Kak Pah percaya dapat menjadi ibu mentua yang baik.  Kebahagiaan anak Kak Pah adalah kebahagiaan Kak Pah juga.  Walaupun Alif ada lagi lima tahun pengajian, Kak Pah bersedia kalau sudah sampai masa untuk dia berkahwin," katanya.