'SAYA TAK MARAH, CUMA RASA TERHINA' oleh Zainuri Misfar (Berita Harian: Khamis, 27 September 2007) |
Datuk Sharifah Aini minta RTM keluarkan surat rasmi sahkan laporan mengenai lagu beliau digam dalam semua program terbitan media kerajaan "Saya rasa terhina, dihukum tanpa memberi peluang kepada saya untuk memberi penjelasan," demikian pengakuan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini berkaitan dengan laporan yang mendakwa beliau 'digam' oleh semua stesen radio di bawah RTM selain tidak dibenarkan muncul dalam program terbitan stesen penyiaran itu. Walaupun memang tiada surat pekeliling dikeluarkan oleh RTM, tetapi berdasarkan maklumat yang diterima daripada kakitangan stesen penyiaran sendiri, memang ada arahan yang dikeluarkan secara lisan dibuat oleh pegawai atasan yang mengarahkan supaya jangan menyiarkan lagu nyanyiannya. "Bukan saja tidak boleh siarkan, sebut nama saya juga tidak boleh," katanya lagi. Sehubungan itu, beliau meminta RTM mengeluarkan surat secara rasmi yang mengesahkan bahawa lagu nyanyiannya tidak disiarkan oleh semua rangkaian radio di bawah RTM. Menerusi surat yang sama juga, RTM juga perlu menyatakan bahawa namanya tidak boleh disebut atau ditulis dan beliau sendiri tidak boleh muncul dalam mana-mana program terbitan stesen penyiaran itu. Katanya, hatinya berasa lega jika RTM dapat mengeluarkan surat rasmi itu berbanding sekarang yang beliau berasakan arahan daripada pegawai atasan di stesen penyiaran ini hanya dikeluarkan secara lisan saja. Beliau menambah, permintaan itu bukanlah bermakna mencabar atau provokasi kepada RTM kerana tindakan seperti itu akan dianggap sebagai perbuatan 'kurang ajar' terutama kepada Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin.
"Saya tidak akan merintih atau membuat sebarang rayuan apabila surat rasmi ini yang menyatakan saya tidak boleh muncul di RTM dan lagu nyanyian saya tidak boleh disiarkan di stesen radio mereka," katanya dalam sidang media yang diadakan di sebuah restoran di Bangsar. "Saya tidak marah, cuma rasa terhina. Bagi saya, mereka kenalah berani mengeluarkan arahan secara hitam putih, bukannya berbentuk lisan saja. Arahan secara lisan ini menyebabkan saya dalam kegelapan. Kalau boleh perkara ini (penggantungan lagu) tidak datang dari pihak kedua atau ketiga, tetapi terus dari pegawai yang berkaitan," sambungnya lagi. Sidang media itu diadakan susulan daripada laporan kolum Kak Pora yang disiarkan dalam Bintang Popular iaitu sisipan Berita Minggu keluaran 23 September lalu yang mengatakan RTM 'gam' lagu Sharifah Aini. RTM dikatakan bertindak demikian kerana kegagalan penyanyi itu muncul dalam Konsert Orkestra Simfoni Putrajaya 2007 di perkarangan kediaman Perdana Menteri di Putrajaya, kira-kira dua bulan lalu. Walaupun tidak ada arahan secara rasmi atau bertulis, difahamkan semua stesen radio RTM, termasuk Klasik Nasional tidak menyiarkan lagu nyanyian Sharifah Aini. Beliau yang mesra dengan panggilan Kak Pah di kalangan media, berkata, RTM memang ada menjemputnya untuk menjayakan konsert itu dan undangan itu diterima kerana waktu tidak terikat dengan komitmen mengadakan persembahan di majlis makan malam. "Saya saling berhubung menerusi e-mel dengan penolong penerbit konsert itu yang dikenali sebagai 'Peace'. Memang saya sanggup menerimanya kerana memang saya tidak terikat dengan mana-mana pihak untuk mengadakan persembahan. Sepanjang bertukar-tukar e-mel dengan 'Peace', banyak perkara yang belum disahkan. Ada saja perubahan dibuat, malah ada 13 kali perubahan dari segi repertoire saja. Lagu apa yang hendak dinyanyikan, tempat untuk buat latihan juga tidak ditetapkan lagi," katanya sambil menjelaskan beliau bersedia mengemukakan semua salinan e-mel itu sebagai bukti jika diminta oleh pegawai atasan RTM. Kebetulan seminggu sebelum konsert berlangsung, beliau terpaksa bergegas ke Singapura untuk menziarahi ibunya yang sakit jantung dan radang paru-paru. Katanya, perkara ini sudah dimaklumkan kepada penolong penerbit menerusi e-mel dan tujuh hari adalah satu tempoh yang sangat memadai untuk RTM mencari pengganti bagi mengisi tempatnya. "Tapi saya tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak RTM. Saya andaikan penolong penerbit atau mereka yang terbabit dalam konsert ini sudah dimaklumkan mengenai penarikan diri saya. "Emak saya berumur 72 tahun. Menjadi tanggungjawab saya sebagai anak untuk berada di sisinya ketika dia sedang mengalami sakit macam itu," jelasnya. Ditanya, bagaimana sekiranya RTM memang 'gam' lagu nyanyiannya, Sharifah berkata beliau menerima secara terbuka dan meminta peminatnya mendengar di stesen radio lain. Saya sudah menyanyi 40 tahun. Saya sudah menjadi sebahagian daripada sejarah industri muzik tanah air. Saya tidak minta apa-apa pembalasan. Pada tahun 2001, saya sanggup menjayakan program untuk RTM di Shah Alam, walaupun ketika itu doktor nasihatkan saya berehat. "Saya tidak mencari makan dengan RTM. Selama saya terbabit dalam program terbitan RTM, saya tidak pernah tanya berapa banyak bayaran untuk saya. Dalam kes Konsert Simfoni Putrajaya, saya tidak menarik diri pada saat akhir. Saya menarik diri sebab emak saya uzur. Emak yang sakit, kalau saya sakit, saya masih boleh kuatkan diri untuk menjayakan konsert itu," katanya. Artikel lain yang berkaitan: Sharifah Aini Penuhi Hasrat Rakan Di RTM (Berita Harian – Isnin, 25 Februari 2008) Jangan Buat Begini, Dah 40 Tahun Saya Jadi Penyanyi (Berita Minggu: Bi-Pop – 30 September 2007) |