'SAYA BERASA DIANIAYA'

(Berita Harian: Sembang Sabtu, 24 April 2004)

Satu demi satu dugaan terpaksa ditempuhi Datuk Sharifah Aini. Tidak cukup dengan tuduhan sebaik saja majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 berakhir, 14 Mac lalu, kehidupan penyanyi itu terus dihimpit tohmahan. Sebagai manusia biasa dan ibu tentunya kisah yang dijaja mencalarkan perasaannya serta mereka yang berada di sekelilingnya. PERSADA SENI mendekati artis yang sudah 36 tahun menyertai arena hiburan itu untuk mendapatkan penjelasan mengenai semua peristiwa duka yang menimpanya.

Persada Seni:  Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk Persada Seni.  Apa khabar Datuk sekarang terutama selepas kecoh segmen 'tiga diva' di majlis Anugerah Bintang Popular bulan lalu?

Datuk Sharifah Aini:  Kak Pak okay, Alhamdulillah.

Persada Seni:  Ada orang kata Datuk tak buat latihan langsung?  Tetapi kami di Berita Harian tahu kedudukan sebenar.  Ramai juga orang tanya apakah peristiwa belakang pentas yang membuatkan Datuk terus hilang semangat?

Datuk Sharifah Aini:  Pada Kak Pah biarlah ia menjadi rahsia saya sendiri tapi saya ada beritahu kepada seorang wartawan.  Nampaknya wartawan itu tidak amanah kerana menceritakan kepada semua orang.  Apa pun Kak Pah tak nak komen apa-apa kerana sama ada betul atau tidak apa yang diberitahu saya di belakang pentas, soalnya ia bagi kesan pada Kak Pah.

Persada Seni:  Datuk tak marah ke dengan sesetengah laporan akhbar yang tidak memihak langsung kepada Datuk ekoran kejadian di puncak Genting itu?

Datuk Sharifah Aini:  Kak Pah tak kisah kerana orang tahu.  Ramai wartawan yang baik tetapi ada segelintir wartawan yang kerjanya tidak lain, memang hanya mencari kesempatan untuk 'menitik' walaupun dia tak tengok dengan mata kepala sendiri, tetapi dia berasakan ada hak memberi komen yang tidak sepatutnya.  Soalnya di sana (masa persembahan) terlalu ramai orang yang melihat saya membuat latihan.  Pada saya, apa yang dia rasa patut tulis, tulislah bagi pihak dia.  Orang sebegini tujuannya bukan baik, hanya mengambil kesempatan mengaibkan orang lain.  Maksud saya segelintir, tidak semua wartawan.

Persada Seni:  Ada juga orang kata Datuk memang cepat melenting apabila dikritik?  Baru-baru ini pula, ada laporan bahawa Datuk menghantar SMS berbau ugutan kepada seorang wartawan kononnya gara-gara dikritik.  Tetapi mengikut logiknya tentu ada sesuatu yang berlaku, yang ramai orang tidak tahu, membuatkan Datuk menjadi marah dan menghantar SMS sebegitu.  Boleh Datuk ulas untuk pengetahuan umum?

Datuk Sharifah Aini:  Saya telah lakukan yang terbaik dan kalau ada menuduh kononnya saya tidak boleh dikritik, itu adalah perkara yang sangat mustahil kerana saya telah berada di sini 36 tahun.  Masakan sepanjang tempoh itu saya tak pernah dikritik?  Sharifah Aini masih ada di sini lagi kerana saya menerima kritikan.

Persada Seni:  Tetapi ada yang kata, sebagai seorang yang sudah berstatus diva yang sudah 36 tahun berada dalam industri hiburan dan mendapat gelaran 'Datuk', Datuk tidak sewajarnya bertindak sedemikian kerana ia menjejaskan imej dan reputasi Datuk sendiri.  Apa komen Datuk?

Datuk Sharifah Aini:  Bertindak bagaimana?  Saya rasa peristiwa itu berlaku dan saya tidak pernah bertindak.  Saya hanya minta maaf (merujuk kepada kecoh segmen 'tiga diva') dan saya rasa itu perkara mulia.  Tidak ramai orang yang boleh memandang dunia dan mengatakan saya kesal dengan kesilapan saya.

Persada Seni:  Okaylah, tetapi yang paling sensasi, ada khabar angin yang sedang bertiup kencang dalam industri hiburan bahawa Datuk dalam proses terakhir mengambil tindakan mahkamah terhadap enam wartawan, akhbar mingguan dan akhbar harian, juga akhbar Internet.  Boleh Datuk jelaskan mengapa?

Datuk Sharifah Aini:  Saya rasa dalam perkara begini saya terpaksa kerana ini bukan sesuatu yang saya suka lakukan terutamanya apabila saya akan mengundurkan diri dalam masa dua setengah tahun lagi.  Tapi ia berlaku dan saya tidak nampak jalan untuk kita selesaikan masalah ini dengan cara terbaik selain mencari keadilan.  Di mana kita nak cari keadilan kalau tak di mahkamah.  Saya berasa teraniaya sebenarnya dan saya bukan seorang mudah melatah, dikenali dengan sifat yang pemaaf.  Orang tahu Sharifah Aini tidak ambil kira tapi apabila perbuatan mereka ini mencederakan hati anak-anak saya dan dilakukan dengan niat sengaja, saya tiada pilihan.  Saya terpaksa bawa mereka ke muka pengadilan.  Di sini saya cari keadilan bukan hanya menuduh tetapi mempunyai bukti yang telah ditulis.  Sebenarnya bukan wartawan saja, saya juga membawa dua orang daripada Istana Budaya.  Jadi ramai yang terbabit.  Sebenarnya perkara ini dimulakan seorang wartawan dan saya tidak faham kenapa wartawan lain ambil jalan mudah mempercayai cerita wartawan tidak bertanggungjawab ini dan akhirnya dia sama-sama ditarik ke mahkamah.  Cuba kalau mereka mengambil sikap terbuka daripada awal, saya tidak nampak kenapa saya perlu 'menarik' ramai ke muka pengadilan.

Persada Seni:  Mengikut cerita kalangan artis dan wartawan, mereka yang terbabit ini memang Datuk kenal.   Malah pernah datang makan dan minum di rumah Datuk dan membawa anak-anak sekali, ada juga antara mereka yang pernah Datuk tolong ...

Datuk Sharifah Aini:  Ya , betul. Mereka adalah kalangan yang sudah keluar masuk rumah saya, mereka yang saya tolong dan itu sebenarnya yang menambahkan lagi luka perasaan saya.  Mereka bukan tak kenal saya, mengadu susah dengan saya, datang bagaikan keluarga, makan minum, jadi saya rasa dikhianati.  Bercakap pasal ini, saya menyeru kepada semua artis, ambil iktibar perkara yang terjadi kepada saya.  Kalau boleh jangan buka pintu dan menerima wartawan keluar masuk rumah kita.  Apabila banyak mereka lihat rumah kita, ia jadi senjata menulis apabila dia tidak suka.  Kalau setakat jumpa di pertunjukan, press conference, cukuplah tapi jangan jadi Sharifah Aini.  Saya terlalu jujur dan percayai mereka, lihat apa yang terjadi sekarang?  Apa harus saya buat selain bawa perkara ini ke tengah.  Saya ingin artis lain melihat dan ambil apa yang terjadi kepada saya sebagai iktibar.  Kesabaran ada tahapnya...  Saya dipaksa melakukan apa yang perlu saya lakukan.  Saya rasa artis juga perlu berhati-hati menerima masuk kedatangan wartawan.  Pilih betul-betul yang ikhlas dan yang boleh dipercayai, bukan yang akan tikam anda selepas anda begitu baik.  Jangan terjadi apa yang berlaku kepada saya dikhianati dan dizalimi dengan umpat keji, fitnah yang tak habis-habis.  Saya perlu menjawab tuduhan fitnah.  Mereka sudah keterlaluan dan perlu bertanggungjawab di atas perbuatan mereka.  Jangan dengki dengan kehidupan dan rezeki orang lain.  Ini bukan kes sikit-sikit saman.  Kalau begitu sudah beratus wartawan saya saman.

Persada Seni:  Selama 36 tahun tidak pernah dengar yang Datuk mempunyai masalah dengan wartawan, apatah lagi untuk mengheret mereka ke muka pengadilan.  Adakah Datuk rasa dizalimi dan teraniaya dengan perbuatan mereka yang terbabit?

Datuk Sharifah Aini:  Saya memang rasa dizalimi, dikhianati dan hanya sekarang saya sedar dipergunakan segelintir wartawan.  Saya rasa ini tidak adil kerana wartawan ini juga yang datang ke rumah saya dan lagakan saya dengan wartawan lain, bawa cerita tidak menyenangkan.  Maknanya itu bukan perkara baik.  Saya tidak suka orang datang ke rumah dan kemudian mahu mengatur hidup saya dengan siapa saya boleh kawan dan dengan siapa saya boleh berbaik, sedangkan sebelum ini saya begitu akrab dengan mereka.  Saya layan dengan hormat dan perasaan kasih.  Apakah ini balasannya?  Selepas apa yang berlaku baru-baru ini, kononnya Sharifah Aini menerima ratusan ribu daripada Istana Budaya.  Itu sebenarnya yang menjadi mereka terlalu sakit hati.  Tapi apa kaitan saya menerima ratusan ribu dengan mereka?  Kalau mereka ingin merasakan duit macam tu, jangan jadi wartawan, jadilah selebriti.  Ada juga segelintir wartawan, perkara pertama dia tanya bukan persembahan tapi berapa Sharifah Aini dapat.  Saya sendiri tidak faham, perkara sebegini tidak pernah wujud sebelum ini.  Ada juga segelintir wartawan yang saya bawa ke mahkamah ini menuduh kononnya wartawan yang baik dengan Sharifah Aini sebagai wartawan envelope.  Sebagai orang lama di bidang seni, saya sarankan kalau ada persatuan, ia bukan persatuan untuk banned Sharifah Aini.  Buat satu persatuan yang boleh disiplinkan kerenah segelintir wartawan yang punya unsur samseng begini.  Dia berasakan dia Tuhan kerana punya pen.  Bukan semua begini, cuma segelintir.  Saya tahu kerana ia berlaku kepada saya.  Saya tidak minta pengiktirafan tapi kalau Sharifah Aini yang diiktiraf kerajaan dilayan begini, macam mana kita layan orang yang baik dengan kita.  Tapi nampaknya semakin saya diam, semakin saya dipijak.  Tulisan demi tulisan mencabar saya.  Itu yang dia hendak.  Saya tidak mahu bergaduh tepi jalan.  Orang tahu proses mahkamah mahal tapi pada saya ia berbaloi.

Persada Seni:  Kami difahamkan ini kes saman malu yang membabitkan jutaan ringgit, apa sebenarnya yang memaksa Datuk berbuat demikian?

Datuk Sharifah Aini:  Perkara ini hanya disebabkan seorang wartawan perempuan dan saya sendiri musykil.  Dia sudah mencari sokongan dan rakan lain yang tak tahu hanya mengikut.  Sudahnya mereka yang terbabit ini diheret sama ke mahkamah.  Cuba kalau mereka yang terbabit ini ambil sikap terbuka atau ambil komen saya juga.  Tapi masing-masing terlampau ikut perasaan.  Agaknya ada dendam serakah?  Jadi saya saman bukan kerana duit tapi mencari kebenaran.

Persada Seni:  Kami juga difahamkan, anak kesayangan Datuk, Aliff Omar, sakit gara-gara laporan negatif itu.  Adakah ini antara sebabnya Datuk mahu mengheret mereka ke mahkamah?

Datuk Sharifah Aini:  Memang ini sebab utamanya kerana tulisan mereka mencederakan perasaan Aliff dan anak-anak saya yang lain sehinggakan Alif tidak mahu belajar kerana malu.  Jadi saya rasa ia sudah keterlaluan.  Saya tidak boleh menerima perbuatan mereka.  Tapi jangan lupa, kita buka aib orang hari ini, esok Tuhan buka aib kita.  Dalam internet juga saya dituduh hantar surat layang kepada beberapa wartawan, perlu ke saya buat perkara begitu selepas 36 tahun?  Banyak lagi perkara saya perlu bongkar.  Mereka yang menuduh saya juga perlukan bukti.  Baik pergi mahkamah, depan hakim yang mulia.

Persada Seni:  Tapi ada juga orang kata, turun naik mahkamah ini sudah menjadi perkara biasa bagi Datuk Sharifah Aini.  Sejauh mana benarnya dakwaan ini?

Datuk Sharifah Aini:  Memang dulu saya ada menyaman sebuah akhbar tabloid tapi malangnya kes itu berlarutan bertahun-tahun.  Adakah ini bermakna Sharifah Aini berumah tangga di mahkamah?  Kalau keadilan yang saya cari, kenapa saya mesti takut menghadapi benda-benda macam ini.  Sekarang saya dapat melihat, kalau Sharifah Aini yang sudah di sini selama 36 tahun, ibu kepada beberapa anak, orang yang sudah dewasa, sudah menerima anugerah kerajaan berani diperlakukan sedemikian, masakan artis lain tidak akan diperlakukan lebih teruk?  Saya sebenarnya membuat ini bagi membantu artis lain pada masa akan datang.  Wartawan perlu bertanggungjawab.  Kita ada etika kewartawanan dan penulisan.

Persada Seni:  Dalam pada itu, kami juga dengar ramai artis, wartawan dan persatuan yang begitu mengenali Datuk memberi restu mereka di atas tindakan Datuk.  Apa perasaan Datuk terhadap sokongan yang diberikan?

Datuk Sharifah Aini:  Alhamdulillah saya punya ramai kawan yang berada di belakang saya termasuk 30 wartawan lain.  Mereka ini datang ke rumah saya dua tiga minggu lalu.  Adakah ini wartawan yang saya beli?  Tidak, saya tidak pernah membeli wartawan tetapi saya baik dengan wartawan.  Saya tidak pernah membayar duit untuk publisiti.

Persada Seni:  Terbaru kami difahamkan seorang lagi wartawan bakal menerima nasib yang sama.  Boleh Datuk komen?

Sharifah Aini:  Iya memang betul. Tapi saya tidak boleh komen lebih-lebih.

Persada Seni:  Apa perasaan Datuk dengan segala yang berlaku? Takkan tak ada jalan penyelesaian yang lain selain mengheret mereka ke mahkamah?

Datuk Sharifah Aini:  Selama 36 tahun saya punya rekod yang baik.  Saya bukan ada tabiat tahun ini saman lima wartawan, tahun lalu saman tiga wartawan.  Maknanya kalau macam itu, dalam tempoh 36 tahun sudah beratus wartawan saya saman.  Saya rasa, kebanyakan wartawan akan mengucapkan terima kasih kepada saya kerana yang membersihkan nama baik mereka.  Saya sebenarnya ingin mengembalikan maruah wartawan kerana hanya beberapa orang saja wartawan bersikap begini.

Persada Seni:  Adakah ini caranya juga untuk Datuk memberi pelajaran atau iktibar kepada beberapa wartawan yang terbabit supaya pada masa yang akan datang nanti tidak ada artis diperlakukan sedemikian?

Datuk Sharifah Aini:  Saya rasa orang yang buat macam ini sedar, mereka bukan saja bawa kesusahan kepada syarikat malah sudah memalukan orang sesuka hati.

Persada Seni:  Ertinya Datuk bukan saja melakukan ini hanya untuk diri Datuk seorang?

Datuk Sharifah Aini:  Iya. Seperti saya katakan, peristiwa yang menimpa saya ini diharap menjadi iktibar kepada artis lain.

Persada Seni:  Kami pasti ratusan ribu peminat dan orang yang menyayangi Datuk mendoakan Datuk, lebih-lebih lagi Datuk ada anak yang sentiasa mendoakan Datuk.  Ramai anak angkat Datuk, yang juga belajar di Makkah dan Madinah, tidak putus-putus mendoakan Datuk.  Terima kasih sekali lagi Datuk kerana sudi meluangkan masa bersama Persada Seni.  Semoga Datuk mendapat keadilan di mahkamah.

Datuk Sharifah Aini:  Terima kasih.