SHARIFAH AINI TIADA TARA oleh Zaidi Mohamad (Berita Minggu: Bi Pop, 15 November 2009) |
Persembahannya di Singapura hujung minggu lalu bukti Biduanita Negara masih belum hilang sengat Namanya pasti akan terus dikenang sebagai lagenda dan khazanah seni negara yang tiada tolok bandingnya. Sekalipun, jika Datuk Sharifah Aini, 55, memilih untuk tidak lagi aktif dalam bidang seni yang dicintai, suara dan auranya sebagai penghibur pasti dirindu. Apabila beliau pernah menyuarakan hasrat untuk bersara sebelum ini, ada pihak yang tersalah anggap menyangkakan itu isyarat awal bahawa beliau akan menoktahkan perjalanan seninya. Selepas lebih 40 tahun menghambakan diri dalam bidang yang dicintainya itu, ironinya, tiada alasan konkrit untuk beliau mengucapkan selamat tinggal. Contohnya, konsert yang dirancang pada 2011 bagaikan satu petanda bahawa dirinya sudah bersedia untuk bersara. Hakikatnya penyanyi yang mesra disapa Kak Pah tiada hasrat untuk berhenti menyanyi. Katanya dalam nada berseloroh beliau bukan pekerja kerajaan, lalu tiada istilah untuk bersara. "Kak Pah mahu betulkan sedikit mengenai perihal bersara itu. Sebenarnya sudah lama Kak Pah rasa seperti mahu berhenti menyanyi. Tapi cakap saja macam nak berhenti, tengoklah sampai sekarang, Kak Pah masih tegar menyanyi. Jiwa Kak Pah masih memberontak untuk menyanyi. Apa yang Kak Pah maksudkan sebelum ini ialah untuk mengurangkan aktiviti seni dan bukannya untuk berhenti terus. Mungkin agak mustahil untuk Kak Pah meninggalkannya secara drastik. Tapi Kak Pah harus bersyukur ke hadrat Ilahi dan dengan sokongan peminat, Kak Pah masih terus bertahan. Kak Pah bangga diberi peluang untuk membuat konsert berskala besar seperti di Singapura ini. Tak sangka di kala usia kini, Kak Pah masih diberi kesempatan berharga. Ingatkan dengan usia yang semakin larut ini, Kak Pah hanya diundang untuk persembahan kecil-kecilan saja," katanya memulakan bicara. Bertemunya dua hari sebelum konsert amal Malam Lagenda Seri Dewi bersama Datuk Sharifah Aini di Stadium Tertutup Singapura di Kallang, Kak Pah sempat berkongsi debaran menjelang konsert anjuran Jamiyah Singapura itu. Penampilannya ketika menyambut rombongan media, penyanyi latar dan pemuzik dari Malaysia cukup ringkas. Namun, kejelitaannya cukup mempesonakan. Tersilap pandang, macam wanita Arab. Bukan pelikpun, darah campuran Arab mengalir di dalam badannya. Menariknya penampilannya ketika itu dengan mendedahkan rambut hitam ikal mayang ternyata berbeza sekali dengan gaya pentasnya yang lebih senang mengenakan rambut palsu. Sekali dipuji mengenai rambut aslinya yang baru dibikin kerinting, Kak Pah tersenyum lebar. Sepanjang berada di sana sejak Jumaat lalu, peluang mendekati Kak Pah secara dekat cukup terbentang luas. Kak Pah ramah melayan biarpun kepalanya runsing memikirkan konsertnya. "Sepanjang hidup, Kak Pah tak pernah mewarnakan rambut dengan produk yang mengandungi bahan kimia. Cuma dalam sebulan itu adalah beberapa kali Kak Pah akan melakukan rawatan rambut. Itu antara rutin biasa. Kak Pah memang jarang membuat persembahan dengan rambut asli tapi sesekali patut juga rasanya Kak Pah tampil dengan rambut sebenar untuk membuat persembahan," ungakpanya mengenai rambut hitamnya itu ketika majlis menyambut kedatangan rombongan Malaysia diadakan di JS Work & Grill. TAK LUPA PESAN PAK SAMAD Sehari sebelum konsert anjuran Jamiyah Singapura itu berlangsung, Kak Pah dan rombongan pemuziknya melunaskan sesi latihan terakhir (Sabtu). Pada perancangan awalnya, sesi sound check sepatutnya diadakan jam 4 petang, namun atas masalah tertentu ia hanya dapat dilaksanakan jam 11 malam dan berlanjutan hingga ke 5 pagi. Biarpun tidak cukup tidur dan Kak Pah hampir kehilangan suaranya, kemuncak malam konsert yang ditunggu-tunggu itu memberi dimensi indah apatah lagi sambutan penonton yang hadir cukup mengejutkan iaitu lebih 8,000 penonton membanjiri stadium. Jumlah penonton itu pastinya memberikan semangat untuk kak Pah melunaskan tanggungjawab dan amanahnya di atas pentas. Kata Kak Pah, biarpun sudah lama usia pembabitan seninya, perasaan gementar itu pasti ada dan ia sebenarnya bagus dan satu naluri normal. Tambah Kak Pah lagi, beliau masih mengingati pesan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said untuk menyanyi dengan penuh jiwa. Baginya, mengadakan persembahan mahupun konsert bukanlah perkara mudah kerana banyak perkara yang perlu dititikberatkan. "Nak menyenaraikan pendekkan lagu yang sesuai dalam durasi masa yang ditetapkan pun bukan kerja mudah. Ikutkan hati, Kak Pah mahu nyanyikan semua lagu yang perminat suka. Paling penting, konsert Kak Pah takkan sempurna tanpa deretan pemuzik yang diketuai Chobib atau Mohd Yusoff Ibrahim dan penyanyti latar diketuai Zaiyanis Mohd Zin. Kak Pah bersyukur semuanya berjalan lancar dan apa yang diharapkan pihak Jamiyah juga mencapai sasaran. Masalah teknikal dan soal terlajak masa itu sukar dijangka. Semuanya di luar bidang Kak Pah. Kak Pah selalu menganggap setiap persembahan yang dilakukan bukan yang terbaik tapi Kak Pah cuma boleh katakan Kak Pah sudah berikan yang terbaik," katanya selepas selesai konsert menyanyikan lebih 30 buah lagu. TAK KISAH MAKAN TEPI JALAN Selepas sidang media pada malam itu, Jamiyah Singapura membawa rombongan dari Malaysia (media, pemuzik dan penyanyi latar) serta Kak Pah yang diraikan ke sebuah premis makanan di tepi jalan untuk menjamu selera. Difahamkan inilah kali pertama Kak Pah menikmati hidangan makanan di tepi jalan. Sebagai simbolik acara pemotongan kek turut diadakan. Ternyata semuanya lega selepas kerja dan mandat dibereskan. Di sebalik kekecewaan Kak Pah dengan masalah masa dan teknikal yang terjadi ketika konsert berjalan, Kak Pah masih mampu tersenyum memastikan perjalanan ke Singapura terus menjadi memori indah untuk dikenang. Catatan perjalanan ini pastinya memberikan sisi indah buat Kak Pah yang terus bernyawa untuk menghiburkan peminatnya. Legasi seninya terus berpanjangan dan Kak Pah terus unggul di liganya yang tersendiri. Malaysia perlu berbangga mempunyai bakat seni sepertinya. Mungkin selepas ini, siapa tahu, Kak Pah bakal mengadakan konsert di Malaysia pula sebelum konsert pra selamat tinggalnya dua tahun lagi. Harapnya permata bernilai yang satu ini akan terus bergemerlapan cahayanya. Datuk Sharifah Aini memang tiada dua. "Cita-cita Kak Pah pada mulanya mahu bergelar doktor tapi mungkin inilah destinasi Kak Pah untuk menjadi penyanyi dan penghibur. Tak dapat jadi doktor dan menyelamatkan orang, Kak Pah, masih boleh tersenyum puas untuk menyanyi dengan harapan dapat menghiburkan orang," katanya yang sudah merakamkan lebih 1,000 buah lagu. Corat-Coret Kak Pah sudah beberapa kali terbabit menerima undangan persembahan bersama Jamiyah Singapura. Kali pertama pada 1981, ketika program Maulidur Rasul diadakan di Stadium Negara Singapura. April lalu, Kak Pah diundang sekali lagi untuk sambutan Maulidur Rasul di Terminal Stadium Singapura. Wang kutipan derma dan tiket konsert Kak Pah Ahad lalu yang berjumlah S$800,000 akan dimanfaatkan untuk kebajikan dan pendidikan anak yatim serta mereka yang memerlukan. Kak Pah menjadi artis pertama dari Malaysia yang membuat konsert solo di Stadium Tertutup Singapura. Pada malam konsert peminatnya datang berpusu-pusu dengan pakaian yang begitu glamor bagaikan ada acara permaidani merah. Barangkali itu sebagai tanda mengucapkan selamat datang kepada penyanyi kegemaran mereka. Ketika konsert berlangsung, ada peminat yang begitu teruja, terus berlari ke belakang dewan untuk bergoyang dan bergelek apabila mendengar lagu rancaknya seperti 'Ingatan Manis Di Bulan September' dan 'Simple The Best'. Malah, ketika Kak Pah mendendangkan lagu 'Zapin Budi', turut kelihatan dua orang penonton di barisan paling belakang dengan yakin diri dan berani menari mengikut rentak lagu terbabit. Hampir setiap kali berpeluang berbicara, Kak Pah tidak lokek memuji pemuzik iringan dan penyanyi latar yang terbabit dalam konsert ini. Malah ada di antara mereka seperti Chobib sudah lama berkerjasama dengannya. Diakui, Kak Pah memang bijak berkomunikasi dengan penonton. Ada usikannya yang membuatkan ramai tertawa terutama apabila menyentuh mengenai bentuk tubuhnya. Sesekali, Kak Pah membuatkan penonton sebak terutama ketika mengimbas kembali kenangan arwah bapanya yang membeli kasut berharga RM13, untuk dipakai semasa pertandingan nyanyian, Johan 1969. Bayangkan kasut itu dibeli dan dibayar secara ansuran sebanyak tiga kali. Kak Pah turut membuatkan segenap ruang stadium ketawa apabila menyentuh mengenai gelaran Datuk yang dimilikinya pada 2003. Katanya, selain gelaran dan panggilan Kak Pah, sudah ada juga panggilan Tok Pah yang diberikan kepadanya kerana pangkat Datuk terbabit. Ibu kandung Kak Pah, Sharifah Nor Syed Ahmad turut mengalirkan airmata ketika Kak Pah melabuhkan tirai persembahan dengan lagu 'Bunga Tanjung'. Lagu terbabit adalah lagu yang dinyanyikan Kak Pah demi tidak menghampakan peminatnya biarpun masa sudah suntuk. Seorang pemain keyboard, Rosmadi Ramli menitiskan airmata kerana terlalu terharu, sebak dan terpegun dengan lontaran suara Kak Pah apabila mendendangkan lagu 'Jatuh Cinta' dan 'Tiada Maaf Bagimu' hanya diiringi petikan piano, Faizal Uzir yang begitu asyik. Sepanjang persembahan, pihak Jamiyah Singapura turut menyediakan tabung bergerak mengutip derma daripada penonton. Masalah teknikal berlaku ketika Kak Pah mendendangkan lagu 'Terbang Helang' tetapi pengalaman memang mematangkan Kak Pah yang tidak tenggelam punca dengan kejadian itu. Untuk konsert terbabit, Kak Pah mengenakan dua busana rona hitam rekaan Calvin Thoo (Malaysia) dan butik Mona J (Singapura). Pada hari pertama (Jumaat) rombongan dari Malaysia hadir ke Singapura, Kak Pah tidak ketinggalan memesan akhbar Berita Harian daripada seorang pemuzik iringannya yang kebetulan memuatkan artikel mengenainya di muka hadapan sisipan HIP. Selain rakan media, beberapa rakan baik Kak Pah dari Malaysia turut hadir memberikan sokongan dan ia ternyata menjadi sumber kekuatan kepada dirinya. Artikel lain yang berkaitan: Penangan Biduanita Negara (Berita Harian – Rabu, 11 November 2009) Sharifah Aini Masih Berbisa (Harian Metro – Rabu, 11 November 2009) Kak Pah Terus Berbakti (Harian Metro – Jumaat, 6 September 2009) Sharifah's Night In The Lion City (New Sunday Times – Friday, 4 September 2009) Ikut Selera Peminat (Berita Harian – Jumaat, 28 Ogos 2009) |