SESUCI AIDILFITRI

oleh Farihad Shalla Mahmud  (Berita Harian: Sabtu, 11 September 2010)

KAK PAH, SITI HARAP KEIKHLASAN ABADIKAN GAMBAR BERSAMA TIDAK DISALAH ERTI

Langit 8 Ramadan tengah hari itu cukup cerah, secerah perasaan mereka yang terbabit dalam sesi fotografi penuh bermakna serta bakal mencatat sejarah dalam kalendar hiburan negara.  Perancangan yang diatur sejak berbulan-bulan itu akhirnya menjadi kenyataan.  Teruja dan pada masa yang sama perasaan sedikit terusik kerana niat menyatukan dua diva tersohor ini dalam satu sesi fotografi termakbul.  Begitupun, bukan mudah merealisasikan sesi ini.  Bukan sehari dua untuk kata persetujuan diperoleh, tetapi memakan masa berbulan-bulan lama.  Semuanya kerana jadual kerja dua penghibur terkenal ini yang tidak mengizinkan.  Bagaimanapun, doa akhirnya termakbul apabila Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza bersetuju, sekali gus memilih tarikh 18 Ogos sebagai tarikh sesi fotografi.

Saat kaki melangkah ke lokasi sesi fotografi ini diadakan, di The Royal Suite, Hotel The Royale Chulan, dua penyanyi ini sedang seronok bergaya di depan kamera.  Pelbagai gaya diberikan bagi memastikan foto diambil kelihatan cantik apabila disiarkan.  Sesekali, kelihatan Sharifah Aini yang lebih akrab di sapa Kak Pah membetulkan tudung Siti.  Sangat mesra, seolah-olah tiada apa yang berlaku antara mereka, sebelum ini.

Bukan mudah untuk menyaksikan saat begini pada hari biasa.  Justeru, kami berasa cukup bertuah apabila berpeluang melihat sendiri babak penuh bererti lagi menyentuh perasaan itu.  Pada hari terbabit, bukan saja Berita Harian diberi penghormatan merakamkan detik bersejarah itu, apabila dua media lain, Utusan Malaysia dan majalah URTV turut mengabadikannya.  Walaupun terpaksa bertukar lapan helai baju dan dikehendaki melakukan pelbagai gaya di depan lensa kamera, namun sedikit pun mereka tidak merungut.  Malahan kedua-duanya tetap memberikan pose menarik untuk tatapan peminat.

Bagi Sharifah Aini, sesi fotografi itu bukan satu agenda untuk berdamai seperti yang digembar-gemburkan pelbagai pihak.  Sebaliknya untuk memberitahu khalayak supaya tidak terus berprasangka buruk terhadap hubungan mereka berdua.  "Sebenarnya antara kami tiada apa yang berlaku.  Kami menjadi mangsa keadaan.   Pada Kak Pah, Siti seorang yang baik dan masih seperti yang saya kenal dulu," kata si pelantun Seri Dewi Malam ini.

Dan, fotografi ini dilakukan bukanlah untuk membuktikan apa-apa.  Cuma, selepas sekian lama kes mahkamah membabitkan mereka selesai, tentunya ramai yang ingin tahu bagaimana perasaan Kak Pah terhadap Siti.  "Jadi, untuk mengelakkan orang ramai berterusan menabur fitnah mengatakan kami berdua bermasalah, jadi Kak Pah harap sesi ini akan menjawab dan membetulkan semua spekulasi atau tanda tanya yang menghantui mereka," ujarnya sambil dipersetujui Siti yang berada di sebelah.  Kata Siti, mereka berdua sebenarnya sudah beberapa kali bertembung dalam beberapa majlis sebelum ini, cuma inilah kali pertama mereka digandingkan semula dalam sebuah sesi fotografi raya. 

Sebagai orang yang dikatakan mendapat tempias paling buruk sewaktu kontroversi membabitkan dia dan Sharifah Aini berlangsung, Siti bagaimanapun mengakui yang dia tidak pernah memendam perasaan terhadap apa yang sudah terjadi.  "Mungkin pada pada tahun pertama kejadian itu berlaku, Siti agak tertekan.  Tetapi selepas tiga empat tahun kemudian, Siti mula melupakannya dan menganggap apa yang berlaku sebagai asam garam dunia artis.  Siti anggap pertemuan hari ini sebagai keberkatan bulan Ramadan.  Harapan Siti agar dapatlah dihentikan segera semua cerita tidak betul mengenai diri kami," tegas penyanyi Air Mata Syawal ini.

Sepanjang lima jam di lokasi penggambaran, ada saja cerita yang diperbualkan mereka.  Sesekali kelihatan kedua-duanya tertawa kecil seolah-olah ada perkara yang sangat melucukan hati. 

Seperti dijangka, sebaik saja berita mengenai sesi fotografi ini disiarkan di akhbar arus perdana keesokan harinya, banyak maklum balas yang diterima.  Ada positif dan tak kurang juga melemparkan komen negatif, termasuk dakwaan mereka berpura-pura baik.  "Biasalah, perkara seperti ini memang ada pro dan kontranya.  Ada juga Siti terima maklum balas yang baik dan menyokong apa yang kami lakukan.  Suami Siti sendiri pun bersetuju dengan apa yang berlaku hari ini.  Jadi Siti tak kisah sangat kalau ada yang mempertikaikan keikhlasan kami bergambar bersama," kata Siti.

Begitu jugalah yang dialami biduanita negara.

"Kak Pah juga ada menerima panggilan telefon daripada peminat yang menyokong usaha baik media menyatukan kami kembali, tetapi ada juga satu dua panggilan yang marah-marah dan mempersoalkan tindakan kami.  Kak Pah tak rasa itu adalah peminat Kak Pah.  Mungkin itu adalah suara mereka yang tak senang hati melihat kami berbaik semula," tegas penyanyi lagu Nostalgia Aidilfitri ini.

Ditanya apakah mereka berdua sudi untuk bekerjasama dalam apa-apa projek selepas ini, balas kedua-duanya, mereka terbuka untuk perkara itu.  "Kalau ada peluang dan kesempatan, mengapa tidak?  Lagipun memang Siti minat semua lagu nyanyian Datuk Sharifah Aini.  Malah arwah bapa Siti pun minat pada Datuk sehinggakan kalau terdengar lagu Datuk berkumandang di radio, dia sanggup berhenti makan," imbau Siti.

ANJUR RUMAH TERBUKA

Ketika takbir dan tahmid bergema di pagi hari ini, dua insan ini meraikan Aidilfitri bersama sanak saudara masing-masing.  Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa menyambut perayaan itu di Sungai Petani, Kedah.  Manakala Sharifah Aini pula bersedia menyambut kedatangan tetamu di kediamannya di Petaling Jaya.

"Tahun ini Siti dan suami akan buat rumah terbuka dan kepada mana-mana peminat yang tahu di mana kediaman kami, bolehlah datang berkunjung.  Kebetulan tahun ini emak Siti akan pergi ke Kelantan kerana ada saudara yang akan berkahwin, jadi Siti berayalah di Kedah.  Lagipun Siti sudah pun pulang ke kampung di Kuala Lipis tempoh hari untuk menziarahi kubur arwah abah," ujar Siti yang baru saja pulang daripada menunaikan umrah, sehari sebelum fajar Aidilfitri disingkap.

SEDIAKAN PELBAGAI HIDANGAN LAZAT

Seperti lagu nyanyiannya Selamat Hari Raya yang liriknya ada menyebut pelbagai juadah popular menjelang Hari Raya, begitulah juga situasi sebenar di kediaman penyanyinya.  Saban tahun, rumah agam miliknya pasti menjadi tumpuan saudara mara dan juga sahabat handai.  Dan cerita penyanyi malar segar ini, dia suka menjamu tetamunya itu dengan pelbagai hidangan menyelerakan.

"Macam-macam hidangan yang Kak Pah sediakan seperti ketupat, lontong, laksa Johor dan soto.  Seronok bila sanak saudara dapat berkumpul di rumah Kak Pah.  Bukan saja saudara mara tetapi kawan-kawan juga akan berkunjung sama.  Lebih seronok tahun ini apabila Kak Pah dapat meraikan Aidilfitri bersama anak Kak Pah, Aliff Omar.  Cuma apa yang menyedihkan apabila Aliff terpaksa kembali ke Madinah pada hari raya keempat," cerita Sharifah Aini mengenai sambutan Syawal tahun ini.

Artikel lain yang berkaitan:

  Lebaran Harmoni Dua Diva (Utusan Malaysia Jumaat, 10 September 2010)