KAK PAH TAK MARAH oleh Farihad Shalla Mahmud (Berita Harian: Jumaat, 10 Mei 2013) |
Duduk bersembang dengan figura tersohor ini, banyak cerita dikongsinya. Walaupun sesetengah pertanyaan boleh dianggap sensitif, namun bagi Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini jika sesuatu perkara boleh menimbulkan keraguan, dia tidak segan silu memberi penjelasan. Baginya, adalah lebih baik jika persoalan yang bersarang segera dileraikan supaya tiada tanda tanya tertinggal. Kemunculannya selepas berehat selama enam bulan akibat penyakit asma menimbulkan persoalan kepada peminat penyanyi malar segar ini. Perubahan ketara pada bentuk wajahnya membuatkan ramai yang menyangka Sharifah Aini atau lebih akrab disapa Kak Pah, melakukan sesuatu pada wajahnya itu. Menjawab pertanyaan itu, Kak Pah menjelaskan perubahan pada wajahnya itu disebabkan kesan sampingan ubat melawan asma yang diambilnya. UBAT BUAT WAJAH SEMBAP Ubat atau steroids yang saya makan membuatkan wajah saya sembab. Dulu keadaannya lagi teruk, tapi sekarang berkurangan. Saya tidak pernah membuat apa-apa perubahan pada wajah saya. "Tuduhan yang mengatakan saya buat muka tidak benar. Itu semua fitnah. Tapi tak mengapa, saya tidak pernah marah pun dengan dakwaan itu," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Malam Amal Bersama 3 Diva di Petaling Jaya, kelmarin. Majlis anjuran Kaizen Asia itu turut dihadiri Pengarah Eksekutif Kaizen Asia, Sulaiman Ngah Dimin dan Pengarah Urusan Kaizen Asia, Suhaila Sharif. MAHU JADI PENCERAMAH MOTIVASI Mengenai luahan hatinya terhadap sikap sombong seorang anak seni seperti tertera di laman Facebooknya, Kak Pah berkata, semua itu dibuat kerana tidak mahu orang menyalah tafsir semua artis bersikap begitu. Sebagai anak seni kita tidak seharusnya bersikap sombong. Walaupun insiden itu bukan berlaku pada saya, tetapi ia terjadi di depan mata saya. Kalau rasa diri itu tak perlukan peminat, saya rasa tak perlulah jadi artis kerana ia membawa nama buruk kepada anak seni yang lain, pesan Kak Pah ikhlas. Ditanya perancangannya pada masa depan, Kak Pah berkata, dia berhasrat menjadi pendakwah dan penceramah motivasi. Cadangnya tahun depan, saya mahu memperlahankan kerjaya seni dan menjadi penceramah motivasi dan pendakwah. Semua ilmu yang saya ada, saya mahu kongsi bersama peminat. Sambil berceramah, saya juga akan menghiburkan mereka, ujarnya. TIGA DIVA BERGABUNG UNTUK HARI IBU Jika di Indonesia, gabungan tiga penyanyi hebat iaitu Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ digelar Tiga Diva, apa kurangnya dengan tiga penyanyi tempatan ini. Pengalaman berpuluh tahun dalam bidang seni, selain terus malar segar walaupun ramai penyanyi datang dan pergi, membuatkan Datuk Sharifah Aini, Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid layak digelar diva. Meskipun pernah berkongsi pentas, namun persembahan Malam Amal Bersama 3 Diva di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, pada 12 Jun depan bakal menyaksikan buat kali pertama mereka bergabung dalam satu persembahan selepas berdekad lamanya. Bertemakan sambutan Hari Ibu, tiga penyanyi ini akan menyampaikan lagu yang ada kaitan dengan wanita yang amat disanjungi ini. Bukan sekadar berhibur, penonton juga beramal kerana hasil kutipan jualan meja akan disalurkan kepada Persatuan Ibu Tunggal Selangor. BERI SOKONGAN MORAL Bagi Khatijah atau lebih dikenali sebagai Khaty, ini bukanlah kali pertama dia melakukan aktiviti seumpama itu. "Hubungan saya dengan ibu tunggal sudah lama terjalin. Saya banyak membuat persembahan untuk membantu mereka. Ada ketika, saya bukan hanya membantu ibu tunggal dari segi material, tetapi sokongan moral. Mereka ini kebanyakannya mencari pendapatan dengan berniaga kecil-kecilan, tapi cabaran dalam dunia perniagaan membuatkan semangat mereka terbantut. Jadi, menjadi tugas saya untuk memberi kata-kata semangat supaya mereka terus berjuang. Pesan saya kepada mereka, sesusah mana pun hidup, jangan sesekali biarkan anak tidak pergi ke sekolah. Ini kerana ilmu itulah yang akan membantu mereka pada masa hadapan," katanya. Pada persembahan bermula jam 8 malam nanti, Khadijah akan menyanyikan rangkaian lagu popularnya termasuk single terbaru berjudul Kurnia Baiduri yang berkisar seorang ibu. Majlis makan malam amal ini turut menampilkan Man Raja Lawak 5, manakala Didie Alias dan Acong Sweetchild bertindak sebagai pengacara. Artikel lain yang berkaitan: Usah Fitnah Saya! (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 12 Mei 2013) |