KAK PAH RAI USIA 60 TAHUN

oleh Zaidi Mohamad  (Berita Minggu: B*Pop 14 Julai 2013)

Biduanita Negara azam khatam al-Quran tiga kali setahun

Tanggal 2 Julai lalu genap 60 tahun usia Datuk Sharifah Aini.  Di laman Fanpage Facebook rasmi miliknya, penyanyi bersuara lemak merdu itu sempat mencoretkan isi hatinya kepada peminat.   Mewakili coretan perasaannya, beliau yang mesra disapa Kak Pah turut memuat naik gambar berdua di samping anak tersayang, Aliff Omar.  Aliff kini masih melanjutkan pelajarannya di Madinah dan dijangka pulang ke tanah air beberapa hari sebelum hari pertama Aidilfitri ini.

Kak Pah diraikan dua kali sempena ulang tahun hari kelahirannya, pada 2 Julai pada satu majlis kesyukuran dan solat jemaah membabitkan 40 orang tetamu termasuk kehadiran pakar motivasi, Prof Dr Muahaya.  Pada 6 Julai lalu pula, penyanyi lagu Seribu Mawar itu mengadakan majlis keraian bersempena ulang tahun kelahirannya sekali lagi di Tingkat 13, The View, Hotel Royale Chulan dihadiri 80 tetamu istimewa di kalangan teman rapatnya.

"Cuma yang kak Pah tak tahu ialah pengisian persembahan dan ucapan rakan baiknya pada malam itu.  Ia jadi kejutan buat Kak Pah.  Tema majlis malam itu ialah meraikan persahabatan.  Ada yang Kak Pah kenal sejak 40 tahun dan 22 tahun.  Kawan Kak Pah yang hadir bukan di kalangan artis.  Mereka lebih kepada orang korporat dan pekerja profesional.  Untungnya majlis itu, Kak Pah turut dibantu 12 kawan yang melancarkan perjalanan majlis."

KENANGAN MANIS

"Boleh Kak Pah katakan majlis sambutan hari lahir tahun ini di hotel itu cukup manis. Tak pernah Kak Pah rasai seumur hidup.  Ia bersifat jujur kerana majlis ini tidak glamor tetapi bermakna kerana dikelilingi sahabat baik," katanya.  Malah, Kak Pah turut menjelaskan, beliau sebenarnya paling tidak gemar menerima jambangan bunga daripada teman rapatnya kerana harga jambangan bunga memang sangat mahal dan paling lama boleh bertahan selama dua hari.

"Membazir saja beli bunga.  Kak Pah lagi alu-alukan jika orang berikan buah-buahan saja.  Maka sebab itu juga kalau Kak Pah jatuh sakit, Kak Pah tak suka orang tahu kerana nanti natijahnya penuhlah jambangan bunga dalam bilik Kak Pah.  Alhamdulillah, Kak Pah berterima kasih kepada rakan yang memberikan hadiah kali ini.  Hadiah yang Kak Pah terima daripada tetamu majlis dan yang mengirim sudah mencecah 160 bilangannya."

BELUM SEMPAT BUKA HADIAH

"Lucunya hingga saat ini, Kak Pah masih belum sempat membuka hadiah diterima.  Kalau 20 tahun sudah, secepat mungkin akan bukan hadiah untuk tahu apa yang Kak Pah dapat.  Tetapi sekarang tak lagi.  Tunggulah Kak Pah rehat dulu," katanya.

Sepanjang Ramadan ini, Kak Pah berkata, dia membataskan aktiviti seninya.  Beliau lebih banyak menghabiskan masa di rumah untuk bertumpu pada ibadat.  Solat tarawih tak ketinggalan disempurnakannya di masjid, selain berhasrat mahu khatam al-Quran lagi.  "Seboleh-bolehnya selesai bertarawih, Kak Pah akan balik rumah dengan segera untuk baca al-Quran.  Harapnya sebelum Ramadhan ke-20, Kak Pah boleh merealisasikannya.  Insya-Allah dengan keizinan Tuhan dan kesihatan, Kak Pah nak khatam al-Quran tiga kali setahun," katanya yang menjadikan khatam al-Quran sebagai acara tahunan.

Artikel lain yang berkaitan:

  Datuk Sharifah Aini Terharu (URTV Ogos 2013)

  Bersyukur Terus Disayangi (Harian Metro Jumaat, 12 Julai 2013)